Banyakkan Memberi Pujian


Sebagai majikan, kita perlu banyakkan memberi pujian bagi kerja-kerja yang dijalankan oleh kakitangan kita.

Ada beberapa perkara yang perlu diberi pujian:

(i) Berikan pujian setiap kali pekerja kita cuba melakukan sesuatu yang baru, yang belum pernah dicuba sebelumnya.

Pujian hendaklah diberikan walaupun hasil usahanya itu tidak berjaya. Pujian yang kita berikan itu akan mendorong dia mencuba lagi sehingga berjaya.

(ii) Setiap kali pekerja kita berjaya menghasilkan kerja yang berkualiti tinggi.

Pujilah hasil kerjanya itu. Pujian kita akan mendorong dia terus menerus menghasilkan kerja-kerja yang berkualiti.

(iii) Setiap kali pekerja kita menampakkan sifat-sifat yang baik dan terpuji.

Pujian yang kita berikan dapat memperkukuhkan lagi sifat-sifat yang baik itu.


Menikmati Kejayaan Bisnes


Di sekeliling kita banyak dapat dilihat bagaimana orang-orang bisnes yang berjaya sedang menikmati kejayaan bisnes mereka dengan gaya hidup material yang mewah. Rumah mereka besar dan mewah, manakala kereta-kereta mereka besar-besar dan mewah-mewah.

Namun banyak juga orang bisnes yang sangat berjaya telah memilih gaya hidup yang sederhana meskipun mereka mampu membiayai gaya hidup mewah sekiranya mereka mahukan gaya hidup begitu.

Walau apa sekalipun gaya hidup yang kita pilih, gaya itu tidak percuma melainkan ada kebaikannya dan ada risikonya.

Kelebihan memilih gaya hidup sederhana adalah lebih banyak daripada memilih gaya hidup yang bermewah-mewah.

Disebabkan kos gaya hidup sederhana adalah lebih rendah, lebihan daripada keuntungan bisnes dapat dilaburkan semula ke dalam bisnes kita supaya bisnes-bisnes kita berkembang lebih pesat, dengan demikian kita dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Kita juga dapat membesarkan bisnes dengan tidak menggunakan lebih banyak wang bank, apatah lagi apabila kemudahan bank itu memaksa kita membayar riba'.

Gaya hidup sederhana juga dapat mengelakkan jatuhnya semangat kerja dan dedikasi kakitangan dan pekerja syarikat kita disebabkan mereka berasa mereka diekspolitasi. Mereka terfikir, mereka yang teruk-teruk bekerja tetapi keuntungannya kita habiskan bagi membiayai kehidupan mewah kita, manakala mereka sendiri hidup cukup-cukup makan sahaja.

Gaya hidup mewah majikan adalah salah satu punca kakitangan dan pekerja syarikat tidak puas hati.

Pekerja yang tidak puas hati tidak akan menjaga harta-harta syarikat, malah mereka mungkin sengaja membiarkan harta syarikat cepat rosak, oleh itu kerosakan sering berlaku dan kos maintainance naik tinggi, akibatnya kerja-kerja kerap tergendala, pelanggan tidak puas hati, pengeluaran terganggu, lalu keuntungan syarikat jatuh.


Tidak Cukup Menjadi Orang Bisnes yang 'Baik'


Dalam dunia bisnes, kita tidak cukup setakat menjadi bisnesman yang 'baik'. Kita perlu menjadi bisnesman yang 'sangat baik'.

Menjadi bisnesman yang sangat baik penting kerana beberapa faktor yang sangat penting demi survival dan perkembangan bisnes kita sendiri:

(i) Kakitangan dan pekerja syarikat kita akan yakin bahawa bekerja dengan kita adalah pilihan yang baik, oleh itu mereka tidak mudah meninggalkan kita dan mencari kerja di tempat lain. Dengan demikian kita tidak kehilangan kepakaran mereka.

(ii) Para pembekal kita akan yakin berbisnes dengan kita adalah peluang yang baik, kurang berisiko, maka dengan itu mereka akan lebih berhati-hati menjaga hubungan bisnes mereka dengan kita.

(iii) Para pelanggan kita suka terus membeli daripada kita kerana mereka suka menyerahkan wang mereka kepada peniaga yang sangat baik, dengan itu kita dapat menikmati kesetiaan mereka kepada produk-produk kita.

(iv) Imej kita sebagai bisnesman yang sangat baik adalah duta bisnes kita yang amat penting peranannya. Disebabkan kita sangat baik, pekerja kita akan bercerita tentang kebaikan kita dan syarikat kita, begitu juga para pembekal dan para pelanggan kita. Testimoni mereka menyebabkan lebih banyak orang menaruh kepercayaan kepada bisnes kita.

Jika kita setakat menjadi bisnesman yang baik, pekerja kita mempunyai banyak pilihan kerana banyak bisnesman lain adalah baik juga, yakni sama baik dengan kita. Jadi, dorongan mereka bertukar kerja lebih tinggi apabila mereka ditawarkan gaji yang lebih sedikit sahaja daripada gaji yang kita bayar.

Sebaliknya, apabila kita adalah bisnesman yang sangat baik, mereka lebih berat hati hendak bertukar majikan.

Banyak cara dapat kita lakukan supaya orang melihat kita sebagai bisnesman yang sangat baik.

Selain kita melakukan perkara-perkara asas seperti tidak menipu sesiapa, tidak rasuah, sentiasa membayar hutang, tidak terlibat dengan skandal perempuan, tidak riak dengan wang, dan lain-lain perkara seperti itu, kita perlu melakukan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dipandang amat mulia oleh masyarakat.



Sumber Estim Bisnesman


Secara amnya, gaya hidup orang bisnes dapat dibahagikan ke dalam dua kategori:

(1) Bisnesman yang hidup dengan mengamalkan gaya mewah, yakni dia mahukan kereta besar, rumah besar dan lain-lain manakala bisnesnya sendiri tidaklah berapa besar, malah akaun banknya pun tidak sebesar mana dibandingkan dengan gaya hidupnya.

(2) Bisnesman yang mengamalkan gaya hidup sederhana, yakni dia memandu kereta sederhana, tinggal dalam rumah sederhana manakala bisnesnya yang besar di mana bangunan pejabatnya besar, kilangnya besar, kedainya besar, jumlah pekerjanya besar, akaun banknya besar dan lain-lain.

Sebagai orang bisnes, kita perlu memilih sama ada mahu hidup gaya (1) ataupun gaya (2).

Apabila kita memilih gaya (1), orang-orang yang tidak tahu hal-ehwal dunia bisnes akan mengagumi kita dan mereka yakin kita orang bisnes yang berjaya alias banyak duit kerana mereka menyangka hanya orang yang banyak duit dan mempunyai bisnes besar sahaja mampu hidup mewah.

Orang kampung dan orang-orang yang makan gaji mudah mempunyai persepsi begitu. Jadi mereka mudah dapat kita perdaya. Sebagai contoh, mereka akan mengucapkan kata-kata pujian terhadap kereta besar kita lalu estim kita naik.

Tetapi kakitangan dan pekerja kita sendiri tahu bahawa bisnes kita tidak seberapa, malah hutang kita banyak dan kita hanya berlakon. Oleh itu pekerja kita berasa tidak selamat bekerja dalam syarikat kita yang tidak stabil kedudukan kewangannya, dan mereka sentiasa mencari peluang mencari kerja dengan syarikat lain yang lebih stabil.

Apabila kita memilih gaya (2), sesama orang bisnes, para pembekal, pelanggan dan pegawai-pegawai bank akan tahu dan kagum, hormat dan menaruh kepercayaan yang tinggi kepada integriti kita. Mereka akan memuji kejayaan bisnes kita, lalu estim kita naik.


Makna Menjadi Orang Kaya


Angka-angka bukan ukuran kekayaan. Kita tidak boleh mengatakan orang yang mempunyai pendapatan RM50,000 sebulan ataupun RM500,000 sebulan sebagai orang kaya sebab orang itu sendiri belum tentu mengatakan dirinya sudah kaya.

Isu kekayaan adalah isu cara seseorang itu berfikir tentang duit, isu sikap terhadap duit, isu perasaan mengenai duit, dan isu gaya hidup dengan menggunakan duit.

Selagi kita sendiri masih bekerja keras demi mencari banyak duit, itu namanya kita belum kaya, meskipun kita mendapat RM50,000 sebulan.

Kita kaya apabila duit kita sudah bekerja untuk kita, yakni dengan menggunakan duit, kita dapat menjadikan orang-orang lain bekerja membuat duit untuk diri mereka sendiri dan untuk kita juga. Itu baru kaya, namanya.


Jadi Mentor kepada Pekerja


Setiap orang yang kita ambil bekerja dalam syarikat kita hendaklah dilayan sebagai orang harapan kita, bukan sebagai pekerja yang kita bayar gajinya.

Bagi tujuan menjadikan mereka orang-orang harapan, yakni orang-orang yang dapat kita harapkan, caranya adalah dengan menjadi diri kita mentor mereka. Maknanya, kita jangan ada mentaliti bahawa kita adalah majikan mereka, dan mereka adalah orang-orang yang kita bayar gajinya. Dalam erti kata lain, kita jangan jadi towkay.

Sebagai mentor, kita mahu mereka menjadi bisnesman dalam syarikat kita, dengan itu mereka mempunyai kuasa menjalankan dan membesarkan bisnes yang kita serahkan kepada mereka.

Dengan sikap sebagai mentor kepada pekerja-pekerja kita sendiri barulah nanti kita berani:

(i) Mengajarkan kepada mereka rahsia-rahsia kejayaan bisnes kita.

(ii) Melatih mereka dengan tujuan kita mahu supaya mereka mengambil alih kuasa dan kerja-kerja yang selama ini kita buat sendiri.

(iii) Membimbing mereka supaya akhirnya mereka dapat menjadi bisnesman
yang lebih baik daripada kita sendiri, dalam syarikat kita.

Jika kita tidak melakukan 3 perkara di atas, sampai bila pun kita akan teruk bekerja kerana kita tidak mempunyai orang-orang yang dapat diharapkan mengambil alih tempat dan kuasa-kuasa kita.


Kongsikan Rahsia Kejayaan Kita


Apabila bisnes kita mula menampakkan tanda-tanda kejayaan kerana jumlah pelanggan kita semakin banyak, produk kita semakin laku, dan permintaan semakin meningkat, manakala kita semakin sibuk melayan kemahuan pelanggan, bersaing dengan bisnes orang lain, menaikkan keuntungan, maka tibalah masanya kita perlu mengajarkan kepada orang lain rahsia kejayaan kita.

Kita perlu mengajarkan kepada pekerja-pekerja kita cara-cara yang kita gunakan dalam bisnes kita, malah kita perlu mengajar mereka bagaimana menjadi orang bisnes yang lebih pandai daripada kita sendiri.

Kita jangan anggap diri kita tidak dapat digantikan oleh orang-orang lain. Justeru, kita perlu mengajar rahsia-rahsia kejayaan bisnes kita supaya mereka dapat memperbaiki lagi cara-cara yang kita gunakan. Jika tidak, kita tidak dapat menjadikan orang-orang lain itu bekerja supaya kita dapat membuat lebih banyak duit untuk diri kita dan untuk mereka semua.

Jika kita sibuk melayan kemahuan pelanggan yang sedia ada, kita tidak akan mempunyai masa dan tenaga bagi mencari jalan bagaimana hendak memperbanyakkan dan mengembangkan lagi bisnes kita dengan membuka outlet baru, memperbanyakkan jumlah pelanggan baru, dan bagaimana hendak menjual lebih banyak jenis-jenis produk dalam kawasan yang lebih luas.


Jangan Buat Kerja yang Kita Pandai


Banyak peniaga kecil terus menerus kekal dengan bisnesnya yang kecil. Salah satu puncanya adalah disebabkan si peniaga terus menerus membuat kerja-kerja yang dia sangat pakar membuatnya.

Sewaktu mula-mula kita membuka bisnes, memang betul kita terpaksa buat sendiri produk yang menjadi item utama bisnes kita.

Sebagai contoh, kita membuka gerai mee udang sebab memang resepi mee udang buatan kita itu sedap, lebih sedap daripada mee udang orang lain. Justeru kitalah yang memasak sendiri mee udang itu.

Bertahun-tahun kita tidak mahu mengajar pekerja kita memasaknya, sebab kita takut kalau orang lain yang memasaknya, rasanya berubah.

Kita mahu mengekalkan kualiti air tangan kita sebab sudah sekian lama terbukti menjadi kesukaan pelanggan kita. Kalau orang lain yang memasak, kita khuatir rasanya tidak serupa dengan air tangan kita, jadi ada risiko pelanggan tidak puas hati, lalu lari.

Dalam bisnes, kita tidak boleh terus menerus membuat kerja-kerja yang kita pandai. Kalau kita terus memasak mee udang sendiri, nanti sampai bila-bila bisnes kita tidak dapat membesar.

Dalam bisnes, kita mesti ajar orang lain membuat kerja-kerja yang kita pandai. Biar mereka yang buat kerja-kerja itu. Dengan cara itu barulah kita dapat membuat kerja-kerja lain yang lebih penting, seperti bagaimana mahu membesarkan lagi bisnes mee udang kita.

Tetapi banyak peniaga gerai dan restoran tidak mahu mengajar pekerjanya resipi rahsianya sebab mereka takut nanti pekerjanya berhenti kerja lalu membuka bisnesnya sendiri dan mencuri pelanggannya.

Akibatnya, sampai tua dia terus membuat kerja-kerja yang dia pandai, bukan membuat kerja-kerja yang sangat penting dalam bisnes, seperti bagaimana hendak mengembangkan bisnes yang ada, membuka cawangan baru, ataupun melabur dalam bisnes-bisnes lain yang berkaitan....


Persepsi Pelanggan adalah Ibu Duit


Pembeli sentiasa mahukan yang lebih murah. Memang begitulah tingkah laku normal manusia. Mereka mahukan harga yang separuh lebih murah tetapi kualitinya 2 kali lipat lebih tinggi.

Namun isu 'murah' ataupun 'mahal' bukan isu berapa ringgit dan berapa sen.

Isu murah ataupun mahal adalah isu persepsi pembeli. Persepsi adalah perkara pokok mengapa pembeli membeli ataupun tidak membeli. Banyak produk yang sebenarnya lebih mahal tetapi dibeli kerana pelanggan melihat harganya sebagai lebih murah, oleh itu lebih menguntungkan.

Sebagai contoh, ambil kes jualan ayam goreng dalam kotak besar dengan harga RM48. Banyak orang membeli kotak besar apabila hendak mengadakan makan-makan di rumah. Mereka yakin membeli satu kotak besar lebih murah daripada membeli kotak-kotak kecil. Tetapi sebenarnya apabila dikira ketul demi ketul, membeli kotak besar adalah lebih mahal.

Jadi dalam kes meletakkan harga jualan, yang penting, pembeli berasa harga itu lebih murah, meskipun sebenarnya tidak lebih murah!

Justeru, jangan fokuskan kepada menurunkan harga dalam erti kata berapa ringgit ataupun berapa sen lebih murah.

Fokuskan kepada isu bagaimana kita mahu membuat sampai pelanggan melihat produk kita, ataupun perkhidmatan kita itu lebih murah.

Selagi pelanggan berasa produk kita lebih murah, manakala kualitinya lebih tinggi, maka dia akan membeli daripada kita.

Inilah yang dikatakan 'persepsi pelanggan adalah ibu duit'.


Kongsikan Kekayaan Kita


Supaya bisnes kita dapat buat lebih banyak keuntungan, kita mesti dengan suka hati membahagi-bahagikan keuntungan bisnes kita dengan semua pihak yang membantu perniagaan kita berjaya.

Jumlah keuntungan yang kita kongsikan itu tidak boleh sedikit, tetapi mesti banyak!

Orang-orang lain mesti mendapat lebih banyak duit daripada kita sendiri.

Daripada jumlah keuntungan itu, ambil sedikit sahaja untuk diri kita. Yang selebihnya berikan kepada orang-orang yang menyumbang kepada bisnes kita.

Dengan cara begitu sahaja barulah kita dapat buat lebih banyak bisnes.

Kita mesti tolong orang-orang lain dapat banyak duit, barulah kita dapat lebih banyak duit.

Bayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja. Bayar caruman KWSP mereka. Bayar caruman SOCSO mereka. Bayar insuran kesihatan mereka. Beri komisen. Beri bonus.

Kepada pembekal, bayar harga yang berpatutan dengan mutu barang dan perkhidmatan yang mereka bekalkan. Jangan laga-lagakan pembekal dengan niat mahu mendapatkan bekalan paling murah.

Jangan suka tukar-tukar pembekal. Bantu pembekal membesar bersama-sama dengan kita. Bisnes kita membesar, bisnes mereka pun membesar.


Meremajakan Semula Bisnes


Banyak gerai makan orang Melayu makin hari makin buruk. Kerusi mejanya makin buruk. Pinggan mangkuknya makin buruk. Sudu garpunya makin buruk. Alas mejanya makin buruk. Dapurnya makin buruk. Peti aisnya makin buruk.

Pemilik gerai tidak mampu membuang semua alat itu dan membeli yang baru.

Banyak sebab mengapa mereka tidak mampu. Sebab yang utama adalah mereka tidak melakukan seperti yang dilakukan oleh pengurusan hotel.

Setiap 3 tahun hotel-hotel menukar cat dinding, langsir, selimut, tuala, cadar, lapik tilam, sarung bantal, lapik kaki, tirai bilik mandi, dan lain-lain barang yang digunakan dalam kamar supaya semuanya baru semula.

Dengan itu, setiap tiga tahun, hotel itu macam baru dibuka.

Wang bagi membiayai kos itu datang daripada sebahagian keuntungan yang sengaja diambil dan disimpan bulan demi bulan, dan tidak diusik-usik.


Mengekalkan Bisnes


Memulakan bisnes adalah perkara mudah.

Menjalankan bisnes selama 1 ataupun 2 tahun pun perkara yang tidak terlalu sukar. Tetapi meneruskan bisnes lebih daripada 5 tahun adalah sangat sukar.

Semua bisnes menjalani kitaran yang serupa: mula-mula kita buka bisnes, kemudian bisnes kita menjadi mapan, kemudian bisnes kita menjadi tua, lalu lama kelamaan mati kerana tidak dapat lagi bersaing dengan bisnes-bisnes yang lebih baru.

Kalau kita mahu terus kekal menjalankan bisnes kita, maka kita perlu meremajakan semula bisnes kita itu. Kita mesti perbaharui bisnes kita, kalau tidak kita akan tutup kedai.

Kita mesti keluarkan belanja bagi meremajakan bisnes kita.


Bisnes Jatuh Disebabkan Terlampau Laku


Bisnes kita takkan serupa sahaja sepanjang masa. Ada masanya bisnes kita naik, ada masanya bisnes kita turun.

Banyak syarikat kecil akhirnya tutup disebabkan bisnesnya terlampau laku. Perkara ini bagaikan tidak logik, tetapi ia adalah realiti.

Punca utama mengapa bisnes yang terlampau laku boleh menyebabkan bisnes tutup adalah kerana apabila bisnes terlampau laku, jumlah kerja meningkat sehingga menjadi terlalu banyak.

Kerja yang terlalu banyak, apabila tidak diurus dengan betul, ia menyebabkan pelanggan lari.

Kita tentu pernah pergi membeli nasi lemak di gerai yang pelanggannya amat banyak, sehingga masa menunggu menjadi terlalu lama, akhirnya kerana tidak sabar kita tidak jadi membeli.

Pelanggan yang terlalu banyak juga boleh menyebabkan kualiti perkhidmatan jatuh, dan kualiti produk juga jatuh.

Apabila mutu perkhidmatan dan produk jatuh, pelanggan yang ada akan berhenti membeli. Bukan itu sahaja, mereka bercakap kepada orang-orang lain bahawa produk dan perkhidmatan kita sudah buruk, lalu lebih banyak pelanggan lari.



Kualiti Lebih Tinggi, tetapi Harganya Separuh Lebih Rendah


Strategi bisnes yang paling efektif adalah menjual barang yang serupa dengan harga 50% lebih rendah tetapi kualitinya 2 kali ganda lebih baik.

Dua kekuatan strategi menawarkan barang yang sama tetapi harganya separuh lebih murah, manakala kualitinya 200% lebih baik adalah:

1. Kerja menjual barang itu menjadi sangat mudah.

2. Pelanggan akan datang berkali-kali dan setia kepada kita.

3. Pelanggan akan lebih mahukan kita daripada kita mahukan mereka.


Kita tidak perlu belajar strategi dan teknik-teknik jualan yang susah-susah. Kita hanya perlu menerangkan bisnes kita kepada pelanggan baru.


Imam Hanafi adalah Seorang Kontraktor


Imam Hanafi adalah seorang service-provider dan beliau aktif dalam bidang struktur sivil.

Dalam sebuah buku yang bertajuk 'Sejarah Kota Banghdad' (Tarikh al-Baghdad) dicatatkan bahawa Imam Hanafi adalah seorang bisnesman-kontraktor-jutawan yang sangat terkenal.

Pada suatu masa pemerintah Baghdad mengeluarkan tender bagi pembinaan tembok keselamatan kota itu. Antara begitu banyak penender, Imam Hanafi berjaya dipilih sebagai kontraktor projek itu.

Nabi-nabi Bisnesman


Nabi Idris adalah seorang service-provider - tukang jahit.

Nabi Shuib adalah seorang producer - petani.

Nabi Musa adalah seorang service-provider - pembina bangunan.

Nabi Muhammad adalah seorang trader - pedagang eksport-import.

Nota: Nabi Yusuf makan gaji sebagai menteri kepada Raja Mesir.


Menegur Pekerja


Banyak peniaga mempunyai niat yang betul apabila mereka menegur dan mengkritik pekerjanya, tetapi akibatnya mereka merosakkan hubungan baik dan dibenci.

Mereka percaya aktiviti menegur orang lain adalah aktiviti yang baik kerana ia mempunyai banyak manfaatnya. Menurut mereka, fungsi utama teguran dan kritikan ialah membantu orang yang ditergus supaya dapat memperbaiki dirinya. Mereka percaya kritikan yang bermanfaat ialah kritikan yang membina, iaitu kritikan yang bertujuan membawa kebaikan.

Oleh itu, banyak orang yakin salah satu cara yang berkesan bagi membantu orang lain adalah dengan cara menegur kesilapan-kesilapan dan kelemahan-kelemahan mereka. Dengan demikian, mereka yang ditegur dapat mengambil tindakan bagi membetulkan kesilapannya dan memperbaiki kelemahannya. Dengan itu mereka akan menjadi seorang yang lebih baik pada masa hadapan, dalam erti kata tingklah laku dan prestasi mereka akan bertambah baik.

Kebanyakan pakar percaya aktiviti kritikan yang membina banyak faedahnya. Namun ada pakar-pakar yang percaya, tidak ada kritikan yang membina dan bahawa pada dasarnya semua kritikan bersifat 'merosakkan' kerana semua jenis teguran dan kritikan adalah sejenis maklum balas negatif. Aktiviti mengkritik adalah salah satu jenis aktiviti memberi maklum balas negatif kepada orang yang dikritik.

Maklum balas yang disampaikan dengan cara menegur dan mengkritik boleh disampaikan dengan lebih berkesan lagi lagi tanpa menggunakan cara kritikan. Kita dapat membantu rakan sejawat dan orang bawahan menaikkan prestasi tanpa menegur dan mengkritik mereka kerana kritikan tidak sentiasa mendorong orang yang dikritik menjadi lebih baik.

Sebenarnya kebanyakan orang tidak memiliki kemahiran menerima kritikan dengan cara-cara yang terbuka. Apabila dikritik, mereka menjadi defensif. Mereka membela dan mempertahankan apa yang mereka lakukan. Mereka menolak kritikan itu.

Salah satu faktor yang menyebabkan orang yang ditegur itu menolak teguran dan kritikan adalah cara bagaimana kritikan itu kita ucapkan.

Kebanyakan orang tidak memiliki kemahiran menyampaikan teguran dan kritikan dengan cara-cara yang betul. Kerap kali, apabila kita menegur dan mengkritik, kita tidak membezakan antara “orang” dengan “isu.”

Biasa sahaja berlaku di mana kita menujukan kritikan mereka kepada 'orang'-nya, bukan 'isu'-nya.Kita mengkritik peribadi orang itu, bukan tingkah-lakunya ataupun perbuatannya. Inilah yang menyebabkan kritikan jarang menghasilkan pembaikan.

Kebanyakan orang juga tidak tahu membezakan yang mana satu 'kritikan' dan yang mana satu 'tuduhan'.

Ayat-ayat seperti di bawah kerap kali diucapkan sebagai kritikan, padahal ia adalah tuduhan. Sebagai contoh, ayat yang berbunyi, "Awak perlulah lebih bertanggungjawab." bukanlah teguran, tetapi tuduhan.

Tidak semua kritikan yang disebut 'membina' benar-benar membina. Kebanyakan kritikan sebenarnya hanya mematahkan semangat dan menjatuhkan maruah orang yang dikritik.

Apabila seseorang itu selalu ditegur, lama-lama dia berasa takut ditegur. Akibatnya, dia belajar mengelak daripada ditegur dengan tidak melakukan apa-apa, kerana apabila dia tidak melakukan apa-apa maka dia tidak akan membuat sebarang kesilapan. Tanpa kesilapan, maka tidaklah dia dikritik. Jadi di cuma membuat akan sesuatu kalau disuruh sahaja, dan tidak lebih daripada itu. Jadi dia sentiasa menunggu suruhan dan arahan, seperti pahat dengan pemukul. Dia tidak berani mengambil sebarang daya usaha berfikir sendiri apa yang sepatutnya dilakukan, kerana dia takut silap, nanti dia kena kritik lagi.

Kritikan boleh membunuh semangat sukarela, daya usaha, inisiatif dan kreativiti. Apabila seseorang itu berani mengambil inisiatif, mencuba cara-cara baru, besar kemungkinan apa yang dibuat tidak serupa dengan cara-cara yang dikehendaki oleh ketuanya. Sekiranya dia ditegur dan dikritik, lain kali dia bukan memperbaiki kerjanya, sebaliknya semangatnya jatuh lalu dia langsung tidak mahu mencuba lagi. Dia akan ikut sahaja cara yang dimahukan oleh ketuanya, oleh itu dia tidak menggunakan daya kreativitinya.

Disebabkan teguran dan kritikan banyak membawa kesan negatif, pakar-pakar psikologi membuat garis panduan cara-cara mengkritik yang betul.

Pertama, jangan gunakan kritikan melainkan dengan tujuan membantu. Sebagai contoh, jangan mengkritik sebab hendak melepaskan geram.

Kalau terpaksa mengkritik juga, jangan sekali-kali berlebih-lebihan apabila menyampaikan kritikan. Jangan meleteri, jangan marah-marah.

Kedua, seboleh-bolehnya, gantikan kritikan dengan penilaian jujur. Perbezaan antara kritikan dengan penilaian jujur adalah, kritikan hanya memberi maklum balas negatif sahaja. Sebaliknya, penilaian jujur memberi kedua-dua maklum balas, iaitu yang positif dan yang negatif.

Ketiga, jangan sekali-kali mengkritik peribadi orang itu kerana perbuatan itu amat menjatuhkan maruah. Nilailah dengan jujur perbuatannya ataupun tingkah lakunya sahaja.

Keempat, jangan ucapkan kritikan dalam bahasa negatif. Gunakan bahasa positif. Jangan berkata begini, "Awak suka datang lambat." sebaliknya katakan, “Lain kali datang cepat.”

Kelima, jangan gunakan bahasa 'awak.' Gantikan dengan bahasa 'saya'. Jangan berkata, "Awak silap." sebaliknya katakan, "Saya tidak setuju dengan cara awak."

Keenam, jangan mengkritik secara terlalu am, tepapi katakan dengan tepat apa yang di maksudkan. Jangan berkata, "Awak pemalas." Perkataan ‘pemalas’ tidak memberitahu dengan tepat malas apa. Katakan begini, "Tolong bersihkan semua meja.

Ketujuh, jangan mengarah-arah dan menyeru-nyeru supaya orang itu berubah. Jangan berkata, "Awak mesti ingat awak lebih tua, sepatutnya awak menjadi contoh kepada pekerja yang lebih muda."

Kelapan, jangan fikir orang-orang lain tahu apa yang ada dalam hati dan fikiran orang lain. Jangan berkata, "Kenapa awak tak fikir dulu habis-habis sebelum melakukan perbuatan itu?" -- dari mana kita tahu orang itu tidak berfikir habis-habis?

Niat yang betul tidak menjamin hasil yang betul. Banyak orang mempunyai niat yang betul apabila mereka menegur dan mengkritik, tetapi akibatnya mereka menyebabkan orang yang dikritik tidak seronok mendapat ketua seperti mereka. Niat yang betul disertai dengan teknik yang betul, barulah hasilnya menjadi betul.


Gerai Melayu Bising


Majoriti gerai-gerai makan milik pengusaha Melayu membuka TV ataupun radio dengan kuatnya sehingga pelanggan yang duduk di meja makan tidak dapat berbual dengan suara rendah.

TV dan radio itu dipasang oleh pemilik gerai sebab mereka yang mahu mendengar muzik.

Suasana makan yang sedap adalah suasa yang tenang dan relaks. Keadaan itu membantu makanan terasa lebih lazat. Ia membantu meningkatkan kepuasan pelanggan.

Suasana bising mendorong pelanggan cepat-cepat makan dan pergi, oleh itu mereka tidak membuat pesanan tambahan.

Pelanggan yang tidak selesa juga tidak berminat datang lagi, melainkan terpaksa sebab tiada pilihan.


Memarahi Pekerja


Sebagai majikan, jangan memarahi pekerja. Apa lagi jika pekerja lain dapat mendengarnya.

Walaupun kita cuma memarahi 1 orang pekerja, hal itu mendatangkan kesan sampingan ke atas emosi dan psikologi pekerja-pekerja lain.


Disebabkan 1 orang yang dimarahi, semua pekerja lain hilang rasa seronok bekerja, kerana mereka yang nampak ataupun mendengar kita marah-marah berasa diri mereka pun terkena juga.

Nota: Nabi Muhammad adalah seorang majikan sebab beliau mempunyai (hamba) pembantu peribadi. Beliau tidak pernah memarahi pembantunya.


Sila Yang Salah


"FREE Insurance Consultation & Quotation: Sila hantarkan butir-butir nama, tarikh lahir, status merokok, pekerjaan, no telefon, email dan bajet caruman bulanan ke pru.azam@gmail.com atau 012-340 8494"

Perkataan 'sila' adalah perkataan kata-arahan. Itulah sebabnya 'sila' hanya boleh digunakan oleh individu yang mempunyai hak mengeluarkan arahan.

Salesman tidak mempunyai hak mengarahkan pelanggan.

Perkatakan 'sila' tidak serupa dengan perkataan 'dipersilakan'.


Memilih Warna Lapik Meja


Apabila memilih plastik penutup meja makan di restoran, pilih warna-warna polos. Jangan pilih plastik yang berbunga-bunga.

Ikut macam restoran-restoran yang mahal. Kain alas meja mereka tidak ada gambar bunga-bungaan.

Warna alas meja yang polos menjadi latar belakang yang menaikkan seri pinggan di atasnya. Makanan dalam pinggan kelihatan lebih cantik, lebih menyelerakan....


Ego dan Duit


Apabila kita berniaga, lupakan ego kita, fikirkan duit.

Ego pelanggan adalah sebahagian daripada kalbunya. Jaga ego pelanggan baik-baik. Apabila egonya kita urut, dia tidak sayang menyerahkan duitnya kepada kita.

Panggil pelanggan kita dengan nama panggilan 'tuan', 'puan', 'encik' dan 'cikpuan'. Mereka mahu mendengar kata-kata itu, maka ucapkanlah.

Kita mahukan supaya duit pelanggan mengalir masuk ke dalam akaun bank kita.

Jangan bersaing siapa lebih egoistik dengan pelanggan kita sendiri.


Walaupun Meja Bersih Tetap Dilap


Salah satu perbuatan yang dilakukan oleh pembantu di kedai makan Mamak adalah, sebaik-baik pelanggan duduk, sebelum pelayan mengambil pesanan, dia akan mengelap meja, meskipun meja itu bersih.

Perbuatan seperti itu sangat disukai oleh pelanggan.

Skrip Menjual


..................
Apabila kita mahir menggunakan kata-kata untuk mengurut jiwa pembeli, mereka akan berulang-ulang kali datang membeli apa yang kita jual.
..................

Pernahkah kita berasa dihina oleh kata-kata jurujual?

Apabila seorang jurujual bercakap kepada pelanggannya, beliau sebenarnya sedang berkomunikasi.

Kemahiran menggunakan bahasa yang betul sangat penting dalam bidang perniagaan. Dalam bahasa Cina ada pepatah yang maksudnya ialah “Dengan kata-kata, orang yang pandai berbahasa boleh memanggil burung yang sedang terbang di langit, turun hinggap dan makan di tapak tangannya.”

Malah ramai juga orang menyangka bahawa bercakap itu serupa maknanya dengan berkomunikasi. Oleh sebab profesion kejurujualan menggunakan kemahiran berkomunikasi, ramai orang menyangka sesiapa sahaja yang pandai bercakap mempunyai bakat menjadi jurujual. Oleh itu ramai orang yang menyangka, orang-orang yang tidak malu bercakap, suka bercakap, dan mereka yang petah bercakap adalah orang-orang yang tentu pandai menjadi jurujual. Sangkaan ini adalah tidak benar sama sekali.

...............
Pelanggan kita adalah orang-orang yang mengharapkan dengan membeli daripada kita, mereka menerima penghargaan dan penghormatan, dan kalau boleh, dengan kasih sayang juga.
...............

Kita mengurut tubuh badan orang dengan menggunakan jari-jemari. Orang yang mendapat urutan jari-jemari yang mahir boleh menjadi ketagih diurut oleh jari-jemari yang sama. Mereka akan datang berulang-ulang kali untuk diurut oleh jari-jemari itu sahaja. Mereka tidak suka diurut oleh jari-jemari lain.

Kita tidak boleh mengurut jiwa orang dengan menggunakan jari-jemari, sebaliknya kita menggunakan kata-kata. Jari-jemari dan kata-kata mempunyai kuasa yang sama kuatnya untuk membuat orang ketagih.

Apabila kita mahir menggunakan kata-kata untuk mengurut jiwa pembeli, mereka akan berulang-ulang kali datang membeli. Sebenarnya, mereka itu bukan ketagih kepada barang-barang yang kita jual kepada mereka, sebaliknya mereka ketagih mendengar kata-kata yang kita gunakan sewaktu melayan mereka.

.............
Teori Maslow digunakan secara profesional dengan sangat meluasnya dalam kegiatan perniagaan dan periklanan di seluruh dunia.
.............

Sebagai contoh, kalau kita menjual syampu kereta, atau alat mekap, atau intan berlian, barang-barang itu tidak boleh menyebabkan orang ketagih menggunakan syampu, atau mekap atau berlian. Mereka datang berulang kali membeli disebabkan mereka ketagih hendak mendengar kata-kata yang kita ucapkan apabila berkomunikasi dengan mereka dalam proses menjual dan membeli.

Salah seorang pakar psikologi yang terkenal ialah Prof. Abraham Maslow. Beliau mengemukakan teori berkenaan jenis-jenis keperluan jiwa manusia yang mendorong mengapa seseorang individu sanggup melakukan sesuatu atau tidak sanggup melakukan sesuatu. Teori beliau digunakan secara profesional dengan sangat meluasnya dalam kegiatan perniagaan dan periklanan di seluruh dunia.

Menurut Maslow, salah satu keperluan jiwa yang ada pada setiap manusia ialah hasrat mahu dirinya supaya dihargai, dihormati, disanjungi dan dikasihi oleh orang lain. Beliau mengatakan bahawa keperluan itu adalah keperluan yang sangat mendalam, sehingga jikalau anda tidak mendapatnya anda boleh menjadi manusia sedih dan murung, serta ada kalanya ia boleh menyebabkan anda tidak ada keinginan untuk hidup lagi.

...............
Ramai wanita sanggup membeli mekap mahal-mahal mengharapkan dengan menggunakan mekap itu mereka akan dan dicintai oleh lelaki.
..............


Menurut teori ini, salah satu dorongan mengapa kita membeli barang-barang yang kita beli ialah disebabkan kita mengharapkan barang-barang itu akan membolehkan kita memenuhi keperluan jiwa kita. Ramai orang membeli kereta disebabkan dengan memiliki kereta itu mereka berharap orang-orang lain akan menghormati mereka dan melayan mereka dengan layanan yang lebih baik. Ramai wanita sanggup membeli mekap yang mahal-mahal semata-mata disebabkan mengharapkan dengan menggunakan mekap itu mereka akan dikasihi dan dicintai oleh lelaki.

Setiap pelanggan yang datang adalah orang-orang yang mengharapkan bahawa dengan membeli daripada kita, mereka akan dibayar dengan penghargaan, penghormatan, kemuliaan, sanjungan dan kalau boleh, dengan kasih sayang juga.

Barang-barang yang dibelinya dapat membeli daripada orang lain. Tetapi, kata-kata yang kita ucapkan kepada mereka, tidak mungkin dapat mereka dengar daripada bibir orang lain, disebabkan tidak mungkin ada dua orang yang akan mengucapkan ayat-ayat yang serupa, kecuali ayat-ayat itu adalah ‘skrip’ palsu yang dihafal seperti "Terima kasih.” dan “Sila datang lagi.”

Teori Maslow mengatakan banyak daripada perkara-perkara yang kita buat setiap hari sebenarnya menggambarkan usaha kita untuk memenuhi keperluan jiwa kita. Sebagai contoh, kita terdorong menolong orang-orang lain, walaupun orang itu tidak kita kenal, disebabkan kita mengharapkan orang-orang itu akan menghargai diri kita.

Kita terdorong melakukan perbuatan-perbuatan yang baik supaya orang menghormati dan memuliakan kita.

Kita sanggup bekerja kuat untuk mengisi jawatan-jawatan dalam pertubuhan kebajikan dan sukarela disebabkan jawatan itu akan membuat kita berasa diri kita orang yang penting.

Kita sanggup mengorbankan kepentingan diri sendiri demi orang lain disebabkan kita ingin supaya diri kita disanjungi. Seterusnya kita terdorong mengasihi orang lain semata-mata dengan harapan orang itu akan mengasihi diri kita.

Kajian menunjukkan, orang-orang yang pandai berkomunikasi dengan menggunakan kata-kata yang dapat memenuhi keperluan jiwa orang-orang lain akan dapat menambat hati pelanggan mereka supaya terus setia membeli daripada mereka. Itulah sebabnya, antara nasihat pakar-pakar komunikasi ialah, jangan bercakap melainkan kata-kata kita itu memenuhi keperluan jiwa orang yang mendengarnya.

Kisah ini kisah benar. Seorang pemandu singgah ke stesen minyak. Sementara minyak sedang di isi, seorang jurujual krim pencuci kereta datang kepadanya untuk menjual krim itu.

Jurujual itu berkata, “Encik, kereta encik ni, kotor. Nampak macam kereta lama. Macam dah berbulan-bulan tak dibasuh. Warnanya pun macam dah dimakan matahari. Kalau encik malas nak cuci kereta encik tiap-tiap minggu.....”

Si pemandu sakit hati mendengar kata-kata jurujual itu lalu menguis-nguiskan tangannya memberi isyarat supaya jurujual itu pergi. Walaupun dia tahu keretanya kotor, tetapi dia tidak suka orang lain mencaci keretanya. Malah kepadanya, keretanya yang kotor dan tidak dijaga rapi itu adalah lambang dia seorang yang mempunyai wang disebabkan barang mahal seperti kereta pun dia mampu gunakan dengan lasaknya, bukan seperti orang yang tak cukup wang untuk membeli kereta baru, itulah sebabnya mereka sangat hati-hati menjaga kereta yang ada.

..............
Apabila kita menggunakan kata-kata yang memenuhi keperluan jiwa orang-orang lain, kita dapat menambat hati pelanggan supaya terus setia membeli daripada kita.
..............

Seorang jurujual di kaunter produk-produk mekap di dalam sebuah pasaraya cuba memujuk seorang pelanggan wanita dengan berkata, “Kak, belilah gincu ini. Kalau kakak pakai gincu ni, kakak akan nampak cantik.”

Mendengar kata-kata seperti itu, wanita itu terus tidak jadi membeli apa-apa daripada kaunter tersebut. Hatinya sakit bukan kepalang disebabkan dihina oleh jurujual yang biadab dan berani mengatakan dirinya tidak cantik.

Seorang ejen jualan langsung yang cuba menjual sabun pakaian berjenama mahal cuba meyakinkan seorang isteri usahawan yang kaya supaya membeli sabunya dengan berkata, “Walaupun sabun ini mahal, tetapi kita gunakan sedikit sahaja sudah pun cukup. Sebenarnya puan boleh jimatkan RM3 setiap kotak. Lagipun sabun ini tak tajam pada kulit tangan puan. Jadi puan boleh membasuh banyak kali, tapi tangan puan tak rosak.”

Isteri usahawan itu berasa terhina mendengar kata-kata jurujual itu. Baginya, apalah besarnya berjimat RM3? Lebih celupar lagi mulut ejen itu bila dia menyangka isteri orang kaya seperti dia membasuh baju dengan tangan.

Dalam kisah-kisah sebenar di atas, tiap-tiap jurujual itu gagal membuat jualan disebabkan kata-kata mereka tidak memenuhi keperluan jiwa pelanggan mereka. Sebaliknya kata-kata mereka merendah-rendahkan, menghina dan mengecilkan hati pelanggan.



Pelanggan Datang Membeli Keperluan Psikologi


Manusia mempunyai keperluan jasmani (makan, minum, pakaian), emosi (dihormati, dikasihi) dan rohani (perlindungan dari Tuhan).

Apabila pelanggan datang ke restoran kita, dia bukan hanya datang dengan membawa perutnya yang memerlukan makanan dan minuman. Dia juga datang membawa hati dan kalbunya yang perlu diberi layanan.

Semua restoran melayan perut pelangganya.
Banyak restoran hanya melayan perut pelangganya sahaja.

Bagi mengekalkan kesetiaan pelanggan, restoran mesti melayan kalbu pelanggan-pelanggannya.

Ego pelanggan adalah sebahagian daripada kalbunya.


Tip Memilih Lokasi Gerai


Saya telah terbaca tip ini dalam sebuah buku panduan membuka restoran piza terbitan USA yang saya beli di MPH.

Saya tidak berminat membuka restoran, tetapi saya beli dan baca buku itu sebab PTS mahu menerbitkan siri panduan memulakan perniagaan. Jadi PTS bolehlah meniru isi kandungan dan format yang bagus.

Jika kita hendak menyewa kedai di tepi jalan yang sibuk, jangan pilih kedai di sebelah jalan orang pergi ke tempat kerja. Pilih sebelah jalan orang balik kerja.

Mengapa?

Pagi-pagi hari semua orang bergegas-gegas hendak sampai ke tempat kerja, jadi mereka tidak ada masa hendak berhenti singgah makan di restoran kita.

Pada waktu petang orang lebih relaks, jadi mereka ada masa singgah di restoran kita......


Naik Pangkat Bukan Ganjaran Rajin Bekerja


Banyak orang yakin syarat naik pangkat adalah rajin bekerja dan produktiviti kerja yang tinggi. Oleh itu mereka rajin bekerja dengan harapan mereka akan dinaikkan pangkat.

Individu-individu yang layak dilantik memegang jawatan tinggi bukan hanya mereka yang rajin bekerja. Mereka juga mesti memiliki ciri-ciri lain, yakni bakat memimpin, ilmu pengetahuan tentang pekerjaannya, dan kamahiran-kemahiran yang kritikal peranannya bagi jawatan tinggi itu. Justeru, naik pangkat bukan ganjaran yang diberikan oleh majikan bagi sifat rajin bekerja ataupun sikap taat lurus bendul kepada ketua. Jawatan tinggi itu mungkin diberikan kepada orang luar sama sekali, yang tidak pernah bertugas di syarikat itu sebelumnya.

Ganjaran bagi tingkah laku rajin bekerja yang disediakan oleh majikan adalah dalam bentuk-bentuk seperti kenaikkan pada gaji bulanan, komisen, bonus, percutian dan banyak lagi. Dalam erti kata yang mudah, naik pangkat bukan upah rajin bekerja.

Naik pangkat juga bukan upah untuk pekerja yang hanya cekap membuat kerja-kerjanya yang ada sekarang. Bagi pekerja yang hanya cekap mengeluarkan roti dengan banyaknya, maka dia layak diberi gaji tambahan, komisen, bonus dan lain, tetapi dia tidak layak dinaikkan pangkat kerana pekerja yang rajin bekerja belum tentu memiliki bakat dan keupayaan melaksanakan peranan pada peringkat jawatan tinggi.

Setiap pangkat mempunyai peranan penting bagi memastikan survival syarikat. Bagi tiap-tiap pangkat ada senarai fungsi, akauntabiliti dan tugas-tugasnya. Sebagai contoh, dalam syarikat pembuat roti, kecekepan membuat roti bukan lagi menjadi fungsi-fungsi, akauntabiliti dan tugas-tugas seorang supervisor dalam kilang roti itu. Justeru tukang roti yang paling rajin dan cekap tidak semestinya mempunyai kebolehan menjadi supervisor kilang roti.

Justeru, pekerja-pekerja di kilang roti yang rajin membuat roti sehingga larut malam mungkin hanya pandai bekerja dengan tepung, ragi dan oven di dalam dapur kilang rotinya. Namun pandai membuat roti bukan salah satu kriteria utama kenaikan pangkat. Pengetahuan teknikalnya itu terletak dalam tempat ketiga. Dua kriteria yang lebih penting adalah pandai mendorong dan pandai berkomunikasi.


Jangan Sentuh Tubuh Orang Lain


Dalam dunia bisnes, aspek-aspek budaya boleh menyebabkan kita menanggung kerugian ataupun menerima banyak keuntungan. Itulah sebabnya orang-orang bisnes perlu mempelajari aspek-aspek bisnes yang ada kaitannya dengan bisnes.

Ambil kes perbuatan menyentuh mana-mana bahagian tubuh badan seseorang. Ada 2 sebab perbuatan menyentuh tubuh orang lain lebih dielakkan sama sekali:

1. Peraturan budaya

Dalam sesetengah budaya, mereka mempunyai peraturan yang sangat ketat berkenaan tingkah laku sentuh menyentuh, baik antara lelaki dengan lelaki, ataupun antara lelaki dan perempuan.

Dalam masyarakat bangsa-bangsa yang beragama Islam, mereka mengamalkan peraturan yang sangat-sangat ketat.

Di kalangan masyarakat bukan-Islam sekalipun, mereka mempunyai peraturan yang ketat, umpamanya tentang siapa boleh menyentuh siapa, bila, pada bahagian mana, dan atas tujuan apa.

2. Pilihan peribadi

Pakar-pakar psikologi mengatakan memang ada individu yang suka menyentuh orang-orang lain, dan dia suka disentuh oleh orang-orang lain, manakala ada pula individu yang tidak suka sama sekali tingkah laku seperti itu.

Jangan sekali-kali kita memulakan perbuatan menyentuh orang lain sebab kita mungkin menyentuh orang yang pantang disentuh.


Menaikkan Pangkat Pekerja


Suatu perkara yang mudah kita lihat adalah kenyataan bahawa semua orang yang memegang jawatan tinggi pandai bercakap. Mereka pandai menyampaikan ucapan, pandai menyampaikan taklimat, pandai bercakap dengan wartawan, pandai menjadi panel forum, pandai menjalankan pembentangan kertas projek, pandai mempengerusikan mesyuarat, dan banyak lagi aktiviti yang menghendaki seseorang itu bercakap di depan khalayak.

Justeru, fasih bercakap adalah salah satu syarat penting naik pangkat, tetapi syarat ini tidak dituliskan di mana-mana, oleh sebab itu perkara ini tidak disangka sangat penting. Sebagai contoh, syarat pandai bercakap tidak dimasukkan dalam permohonan kenaikan jawatan.

Banyak orang yakin syarat naik pangkat adalah rajin bekerja dan produktiviti kerja yang tinggi. Oleh itu mereka rajin bekerja dengan harapan mereka akan dinaikkan pangkat.

Namun kita dapat lihat bahawa individu-individu yang memegang jawatan tinggi bukan hanya rajin bekerja. Mereka juga memiliki ciri-ciri lain, dan salah satu ciri itu adalah mereka pandai bercakap.

Dalam suatu kajian yag pernah dijalankan oleh majalah FORTUNE International, 500 orang ketua eksekutif syarikat yang tergolong dalam senarai syarikat-syarikat terbaik di Amerika telah ditanya apabila mereka mencari timbalan, apakah 3 kriteria paling utama yang mereka akan kenalpasti pada bakal calon itu. Tiga kriteria yang mereka sebut adalah (i) pandai mendorong orang lain, (ii) pandai berkomunikasi, dan (iii) memiliki pengetahuan teknikal dalam aktiviti syarikat.

Maksud 'pengetahuan teknikal' bermakna memiliki kepakaran dalam kerja-kerja teknikal, sebagai contoh dalam syarikat pembuatan roti bermakna dia pandai membuat roti, ataupun dalam syarikat restoran bermakna dia mesti pandai memasak. Meskipun syarat ini penting tetapi
pengetahuan teknikal diletakkan pada tempat ketiga.

Banyak pekerja berasa patah semangat dan kecewa apabila sikap mereka yang pandai bekerja dan rajin bekerja tidak diiktiraf oleh majikan dengan menaikkan pangkat mereka. Namun, dalam kajian FORTUNE itu kriteria
rajin bekerja tidak termasuk dalam tiga kriteria yang dicari.


Jangan Bergurau dengan Pelanggan


Sebagai orang bisnes, prioriti kita adalah menjaga kepentingan bisnes kita. Semua perkara yang kita lakukan, ataupun tidak kita lakukan, adalah demi memastikan bisnes kita bertambah maju dan berkembang dengan baik.

Banyak orang percaya kalau kita mahu berbisnes dengan jayanya kita mesti membanyakkan jumlah kawan-kawan kita. Mereka juga percaya bahawa kita perlu belajar menjadi seorang yang pandai cepat menjalin hubungan mesra dengan sesiapa sahaja, yakni kita dapat bercakap seoalah-olah kita sudah kenal lama dengan orang itu. Seterusnya, mereka percaya jika kita mahu cepat mesra kita perlu pandai berjenaka dan bergurau.

Dalam budaya Melayu, perbuatan berjenaka dan bergurau hanya boleh dilakukan dari atas ke bawah, iaitu oleh orang yang lebih tinggi statusnya kepada orang yang lebih rendah statusnya.

Bergurau tidak boleh dilakukan dari bawah ke atas. Apabila peraturan ini dilanggar, kita dianggap seorang yang tidak tahu adab-adab bercakap dengan orang yang sepatutnya dimuliakan.

Perbuatan bergurau mempunyai risiko sosial. Dalam budaya Melayu, orang yang melanggar peraturan bergurau dipersepsi sebagai orang yang tidak serius sikapnya, kurang bijaksana, tidak halus adab sopannya, tidak karismatik, tidak dapat diharapkan, dan tidak boleh memimpin.

Bergurau hanya boleh dilakukan dengan orang yang dikenali dengan amat rapat, seperti dengan rakan sebaya dan kaum kerabat sendiri.

Dalam dunia bisnes, pelanggan kita bukan kawan rapat kita dan bukan kerabat kita. Oleh itu kita jangan bergurau dengan mereka.

Apabila berinteraksi dengan pelanggan, sentiasa bercakap dengan menggunakan bahasa halus serta penuh sopan santun.

Jika pelanggan kita mahu bersenda dan bergurau, itu tidak mengapa, kita ketawalah sahaja supaya dia suka hati, tetapi kita jangan menokok-tambah gurauannya itu dengan gurauan juga.



Tip Mencipta Nama Syarikat


Apabila mencipta nama syarikat, pilih nama yang dengan terang dan jelas dapat menerangkan aktiviti syarikat.

Nama-nama di bawah menerangkan aktiviti syarikat:

Rohayu Andaman Tradisional Sdn. Berhad.
Transport Pantas Sdn. Bhd.
Rahimi Dekor Mewah Sdn. Bhd.
Percetakan Halim dan Anak-anak Sdn. Bhd.
Farmasi Maju Sdn. Bhd.

Dengan menggunakan nama-nama seperti di atas, apabila kita bertukar-tukar kad bisnes dengan orang-orang lain yang baru kita kenali, hanya dengan membaca nama syarikat kita itu orang sudah tahu apa bisnes kita. Dari situ mereka dapat memulakan perbualan dengan betul.

Tidak perlulah orang itu bertanya kepada kita, "Apa bisnes saudara?"

Nama-nama di bawah tidak menerangkan aktiviti syarikat:

Golden Enterprise Sdn Bhd.
Sinar Jaya Sdn. Bhd.
Sri Kalumpang Sdn. Bhd.
KMZ Murni Sejati Sdn. Bhd.


Risiko Masuk Bisnes Kerana Hendak Mencari Duit


Banyak orang mahu masuk bisnes disebabkan waktu itu mereka sedang mengalami masalah tidak ada duit. Mereka menyangka, dengan masuk bisnes mereka akan dapat banyak duit.

Kita sering menyangka masalah tidak ada duit dan tidak cukup duit hanya dihadapi oleh mereka yang bergaji kecil. Ini tidak benar.

Sesiapa sahaja boleh mengalami masalah kewangan. Orang-orang yang bergaji besar dan berjawatan tinggi pun banyak yang tidak cukup duit dan menanggung hutang kad kredit yang banyak.

Gaji kecil bukan punca kita tidak cukup duit. Punca kita tidak cukup duit adalah kerana kita tidak pandai menguruskan duit gaji kita.

Akibat tidak cukup duit, mereka pun mencari-cari apa jenis bisnes yang dapat cepat mendatangkan duit. Golongan jenis inilah yang sangat mudah dipujuk memasuki dan menjadi agen kepada pelbagai bisnes yang menjaja janji-janji duit.

Kajian pakar-pakar psikologi ke atas kumpulan bisnesman yang berjaya mendapati mereka tidak masuk dunia bisnes disebabkan tidak ada duit, tidak cukup duit, ataupun sebab hendak buat banyak-banyak duit. Sebaliknya, mereka mendirikan bisnes mereka sendiri disebabkan mereka tidak suka bekerja di bawah telunjuk orang lain, yakni mereka itu mahukan kebebasan peribadi.



Cara Betul Mempromosi Buku dalam Face Book

Face Book adalah media yang sangat bagus digunakan oleh para penulis buku bagi mempromosi buku-buku mereka.

Mempromosi buku perlu dilakukan serupa sebagaimana mempromosikan produk-produk lain, baik perkhidmatan (seperti polisi insurans dll) mahupun barangan (seperti kereta dll), iaitu tidak boleh dibuat secara direct.

Contoh promosi secara direct adalah menampal cover buku-buku kita, baik di HOME mahupun di WALL rakan-rakan. Cara begini tidak persuasif, justeru tidak efektif. Cara begitu membuatkan kita dilihat sebagai tidak profesional, justeru buku kita juga tidak berkualiti tinggi. Dalam bahasa yang mudah, cara itu dipersepsi sebagai amaturis.

Dalam marketing gaya-FB, penulis perlu menjadikan dirinya harta sosial yang berharga di mata rakan-rakan. Maksudnya nilai-sosial diri si penulis itu tinggi sebab posting-posting yang ditulisnya bernilai tinggi. Rakan-rakan FB suka membacanya, dan mereka tertunggu-tunggu apa lagi yang akan ditulis seterusnya.

Di bawah ini adalah contoh usaha seorang rakan-FB mempromosi dirinya. Di bawah ini adalah contoh posting beliau yang ditulis hari ini:

"Abu Hurairah adalah sahabat Nabi Muhammad yang paling banyak merekodkan Hadis. Jumlahnya 7 ribu lebih. Sebanyak 367 buah Hadis yang direkodkan dalam 100 hari. Lebih dari 3 buah Hadis direkodkannya dalam satu hari. Di dalam enam kitab Hadis yang mashsyur, sekitar 10 buah Hadis sahaja yang direkodkan oleh Abu Hurairah secara sendirian (iaitu Hadis yang tidak direkodkan oleh mana-mana sahabat yang lain).

Beliau adalah Tn. Ainol Khusyairi. Beliau sudah menerbitkan 3 buah judul buku yang memperkenalkan hadith-hadith menggunakan cerita-cerita ringkas dan ditulis sebagai antologi. Buku-buku beliau laku dalam pasaran dan digemari oleh semua golongan usia, baik remaja mahupun dewasa.

Posting seperti di atas, apabila dilakukan secara konsisten, dapat menaikkan nilai-sosial beliau kerana:

(1) Posting itu mengandungi maklumat baru yang jarang diketahui oleh mereka yang bukan pakar hadith. Justeru nilai informasinya tinggi.

(2) Posting itu hanya menerangkan fakta semata-mata. Ayat-ayat informasi digemari oleh pembaca yang perpelajaran tinggi.

(3) Posting itu tidak mengandungi ayat-ayat yang meng-guru-i rakan-rakan FB.

Dengan menulis posting-posting informatif seperti itu, kredibiliti beliau meningkat, lama kelamaan rakan-rakan FB ingin tahu siapa beliau, lalu mereka membuka profail, lalu barulah mereka dapat melihat gambar cover buku-buku beliau, dan latar belakang beliau.... rupa-rupanya beliau lulusan dari Jordan.

NOTA: Banyak rakan-FB apabila menulis posting, mereka semata-mata menyalin terjemahan ayat-ayat Quran dan hadith-hadith. Cara begitu tidak efektif, dan itu terbukti kerana tidak ada sesiapa yang menulis feedback pada posting itu. Malah, dibaca orang pun belum tentu. Posting yang tidak dibaca membuktikan posting itu tidak mempunyai nilai pada mata orang yang tidak mahu membacanya. Posting yang tinggi nilainya adalah apabila menerima banyak feedback, dan bukan hanya banyak, malah feedback itu pula panjang-panjang. Apatah jika ada pula dalam feedback itu ucapan terima kasih dan penghargaan.


Menulis Posting Jualan dalam FB


Di bawah ini adalah contoh cara yang salah menulis posting jualan dalam Face Book:

baru dapat berita sorang kawan mak passed away due to barah pangkal rahim ... arwah dijadualkan menjalani pembedahan pada bulan 12 .. al-fatihah pada arwah .. Saya selalu sangat dengar kes-kes macamni ... so guys sign up la our medical insurance plan .. jaminan perubatan dari RM500,000 sehingga RM1.5 juta Lebih 60 hospital panel.. MURAH .. dari RM150 sebulan utk dewasa dan RM100 sebulan untuk kanak-kanak.

Mengapa salah?

(i) Ayat-berita yang yang digunakan bagi menyampaikan berita kematian itu menghantar mesej emosi yang salah.

baru dapat berita sorang kawan mak passed away due to barah pangkal rahim ... arwah dijadualkan menjalani pembedahan pada bulan 12 .. al-fatihah pada arwah ..

Ayat-berita di atas tidak merakamkan perasaan sedih dan simpati penulis itu kepada kawannya yang kematian ibu.

(ii) Ayat-berita yang ditulis menggunakan bahasa rojak dan ejaan yang salah tidak diyakini bahawa berita itu berita sahih, apatah lagi apabila ayat-berita itu disambung dengan ayat hendak menjual polisi insurans, maka ayat-berita itu dibaca sebagai ayat-bohong.

(iii) Skrip jualan tidak boleh dikaitkan dengan berita musibah yang menimpa orang lain sebab ia menunjukkan si penulis seorang yang tidak mempunyai adab halus, kerana sementara ada orang lain sedang ditimpa musibah tetapi dia menggunakan itu untuk membuat keuntungan duit.

Menulis skrip jualan dalam Face Book dianggap perbuatan yang menyalahi ethics media-sosial. Walaupun perbuatan itu tidak melanggar undang-undang, tetapi ia dianggap tidak manis....


Bekerja dengan Staf Perempuan


Pakar-pakar bidang "organizational behavior" (perangai manusia di tempat kerja) mengatakan tingkah laku pekerja lelaki dan pekerja perempuan tidak serupa.

Pekerja lelaki mementingkan objektif dan target kerja. Mereka mementingkan prestasi dan "score". Itulah sebabnya mereka mengamalkan budaya "teamwork". Kerana mementingkan score, mereka sanggup bertelingkah dan bersaing sesama rakan sepasukan.

Pekerja perempuan mementingkan hubungan baik sesama rakan sekerja. Perasaan "suka-menyukai" menjadi sangat dipentingkan oleh perempuan. (Target kerja tidak dicapai pun tidak mengapa, yang penting suka dan seronok bekerja.) Itulah sebabnya mereka membina "clique" di tempat kerja.

Inilah contoh tulisan seorang rakan FB perempuan: " The GM I'm dealing with is super nice. He doesn't think its his birthright to boss people around, and says thank you every time...." Ayat seperti ini takkan pernah terjadi dituliskan oleh pekerja lelaki.

Bagi lelaki, gaji mesti selaras dengan "score" yang mereka telah sumbangkan.

Bagi perempuan, gaji tidak penting, asal sahaja gaji itu dianggap berpatutan dengan apa yang rakan-rakan mereka terima.

Yang lebih penting bagi pekerja perempuan adalah dia berasa seronok dan suka bekerja dengan ketua yang "very, very nice person..."



Jangan Berniaga dengan Cara Bersaing


Dalam bidang bisnes, apabila kita mahu berjaya, jangan bersikap kompetitif, yakni jangan bersaing dengan siapa-siapa.

Intipati falsafah persaingan adalah "menang dengan cara mengalahkan orang lain" (winning by beating the other guy).

Nabi Muhammad bukan seorang yang kompetitif. Beliau seorang yang mengajarkan kepada seluruh alam akan falsafah kooperatif, yakni falsafah saling bantu membantu, tolong menolong dan sama-sama berkembang.

Dua bidang yang mengamalkan falsafah persaingan yang sampai tahap sangat ekstrem adalah:

(a) Bidang bisnes.

Orang bisnes sanggup melakukan pelbagai jenayah bagi mengalahkan pesaing mereka. Semasa Nabi Muhammad berniaga, beliau tidak masuk pasaran dengan menggunakan strategi kompetitif, yakni strategi mengalahkan pesaing.

(b) Bidang sukan.

Dalam bidang sukan, ada (i) sukan kompetitif dan (ii) sukan non-kompetitif. Dalam sukan kompetitif, ahli-ahli sukan sanggup mengambil dadah berbahaya demi menjadi johan dengan mengalahkan peserta-peserta lain.

Islam membenarkan sukan, tetapi Nabi Muhammad tidak mengadakan sukan kompetitif, di mana ganjaran seperti hadiah, insentif, ataupun wang diberikan kepada pihak yang berjaya mengalahkan orang-orang lain. Beliau tidak menganjurkan sebarang aktiviti yang dinamakan peraduan, perlawanan, pertandingan, perlumbaan, kejohanan, musabaqah, sayembara, liga, dan yang semakna dengannya di mana para peserta berlawan-lawan mengalahkan satu sama lain.

Beliau hanya membenarkan hadiah diberikan bagi perlawanan bermain panah dan menunggang kuda kerana kedua-duanya adalah riadah dan latihan persediaan bagi menghadapi peperangan membela agama.

Nota: Saya ini seorang ustazah palsu, sebab saya tidak pernah masuk kuliah pengajian Islam di universiti, justeru jangan terus telan apa yang tertulis dalam entri ini....


Mendorong Pekerja Supaya Makin Kuat Bekerja

Motivasi adalah suatu cabang ilmu psikologi yang sudah lama mempunyai disiplin sains empirikalnya sendiri. Sains motivasi paling banyak digunakan dalam persekitaran di tempat kerja.

Sains motivasi berkembang jauh di hadapan amalan-amalan motivasi, sehingga hal ini menjadikan apa yang dilakukan oleh ketua-ketua pejabat dan majikan-majikan merupakan sesuatu yang bukan hanya salah dari sudut sainsnya, malah amat merugikan organisasi, di mana semakin banyak wang dikeluarkan, semakin rendah prestasi yang dihasilkan.

Banyak majikan menggunakan cara-cara yang salah apabila mahu memotivasi para pekerjanya. Mereka menggunakan wang, sebagai contoh sistem bonus, bagi mendorong peningkatan produktiviti, maksudnya supaya pekerja mahu bekerja dengan lebih kuat dan lebih rajin.

Namun kajian-kajian saintifik mendapati wang tidak dapat meningkatkan keseronokan dan kekhusyukan pekerja semasa melaksanakan kerja-kerja mereka. Ganjaran wang hanya dapat meningkatkan produktiviti selagi kerja yang dilakukan itu adalah kerja-kerja mekanikal, seperti menyusun bata, membelah kayu api, dan lain-lain kerja yang tidak menggunakan ilmu.

Bagi kerja-kerja yang menggunakan ilmu, hasil-hasil kajian sains motivasi mendapati semakin banyak wang ditawarkan, semakin rendah mutu kerja yang dihasilkan.

Syarahan tentang risiko menggunakan wang sebagai alat mendorong pekerja supaya bekerja lebih produktif dapat diikuti di sini http://www.mattjmcd.com/2009/11/daniel-pink-on-the-science-of-motivation/


Pinggan dan Mangkuk Saiz Besar


Saya pernah bertanya kepada mentor Cina saya, mengapa meja di restoran Cina besar-besar belaka. Begitu juga pinggan dan mangkuk yang digunakan bagi menghidangkan mi, lauk-lauk dan sayurnya, semuanya besar-besar belaka.

Beliau memberitahu, pinggan dan mangkuk yang besar perlu diisi dengan lauk dan sayur yang lebih banyak kuantitinya, jadi harga setiap pinggan lebih mahal.

Dengan memakan lauk dan sayur lebih banyak, pelanggan lebih kenyang, oleh itu mereka berasa lebih puas memakan sampai habis apa yang dihidangkan.

Pelanggan yang puas makan tidak kisah berapa harga yang dikenakan, dengan itu bisnes lebih menguntungkan.

Saiz pinggan mangkuk ada kaitan dengan 'pricing' per hidang. Bab ini restoran Melayu patut belajar dari Cina. Orang Melayu tidak tahu prinsip-prinsip menetapkan harga dengan betul.

Jika pelanggan mampu membayar RM10.00 sekali makan, tetapi disebabkan pinggan nasinya saiz S, dia cuma ambil kuantiti bernilai RM6.00 Kita rugi RM4.00.

Cuba kita makan mee kari di restoran Cina. Mangkuknya memang besar. Harganya RM6.00. Kita makan sampai kembung perut hendak menghabiskan isi mangkuk itu. Hati puas sebab makan puas.... Baca Seterusnya

Kita makan mee kari di restoran Melayu. Harganya RM3.50. Belum kenyang sudah habis.

Orang Melayu menetapkan harga berdasarkan kuantiti dalam mangkuk. Sebab mangkuknya kecil, isinya sedikit, maka harga yang di-caj rendah, padahal pelanggannya mampu makan lebih banyak dan membayar lebih tinggi.

Orang Cina menetapkan harga berdasarkan daya-bayar pelanggan.....
.


Berapa Orang Partner


Kita perlu menubuhkan syarikat Sdn. Bhd. sekiranya kita mahu mendapatkan fasiliti bank. Bank tidak mahu memberi kemudahan kepada syarikat enterprais.

Syarikat sdn bhd mewajibkan minimum 2 orang anggota lembaga pengarah, atau rakan niaga. Sebagai jalan mudah, banyak bisnesman melantik dirinya dan isterinya sebagai pengarah syarikat.


Sebaik-baiknya kita melantik minimum 3 orang ahli lembaga pengarah. Orang ketiga itu pula sebaik-baiknya orang yang setia kepada kita.

Jika kita lelaki, manakala orang ketiga itu adalah anak kita sendiri, pilih anak lelaki. Jika kita perempuan, pilih anak perempuan. Anak lelaki cenderung setia kepada ayahnya, manakala anak perempuan cenderung setia kepada ibunya.



Menjadikan Diri Sendiri Brand dalam Face Book


Brand (jenama) adalah sinonimus dengan profit, yakni "Ada brand, maka ada profit." Justeru aktiviti branding menjadi sangat besar peranannya dalam bisnes.

Semua produk mempunyai nama, tetapi tidak semua nama menjadi jenama (brand).

Disebabkan produk kita tidak unik, yang membezakan produk kita daripada produk-produk lain dalam pasaran adalah brand kita. Orang mesti mengenali jenama produk kita, baru orang mahu membelinya.

Makanya, aktiviti branding mempunyai peranan yang sangat penting.

Strategi, teknik dan seni melaksanakan marketing dan promosi menggunakan Face Book adalah ilmu yang sangat baru. Prinsip yang paling utama diketahui adalah cara promosi menggunakan media cetak tidak efektif apabila diterapkan dalam FB.

Di luar alam FB, brand produk itu sendiri sangat penting. Sebagai contoh, produk burger yang menggunakan jenama "Ramly Burger" adalah brand burger yang paling popular. Penggemar burger itu tidak kenal pun siapa Tn. Hj. Ramly bin Mokni. Yang mereka kenal adalah jenama burgernya.

Dalam dunia FB, situasinya tidak serupa. FB adalah sejenis media-sosial.

FB bukan media-cetak seperti brosur, banner, bunting, papan iklan, akhbar ataupun majalah di mana iklan yang berkesan mestilah menonjolkan gambar produk kita secara terang-terangan. Iklan yang sesuai untuk media cetak tidak sesuai digunakan dalam FB.

FB bukan media-audio macam radio di mana kata-kata yang diucapkan dalam skrip iklan mestilah berkali-kali menyebutkan jenama produk kita itu.

FB juga bukan kaki lima kedai. Sebagai orang bisnes kita bukan tukang jual ubat dalam FB, di mana kita mestilah memanggil-manggil orang yang lalu-lalang supaya datang dengan berkata, "Mari! Mari! Mari!...."

Dalam media sosial, diri kita menjadi lebih penting daripada produk kita itu sendiri. Dalam erti kata yang lain, rakan-rakan FB mesti (i) mengenali siapa kita, (ii) menyukai personaliti kita, dan (iii) menaruh kepercayaan ke atas integriti dan kredibiliti kita.

Ketiga-tiga perkara di atas dapat kita capai dengan menulis posting-posting yang dirancang dengan cermat.


Pentingnya Mempunyai Dasar Bisnes


Setiap bisnes mempunyai dasar bisnes. Ada peniaga yang tidak menceritakan dasar bisnes mereka secara terang-terangan kepada kakitangannya, manakala ada yang melakukan hal itu secara rasmi.

PTS menerangkan secara rasmi kepada staf dasar-dasar bisnesnya. Tugas ini dilakukan oleh Akademi Latihan Penerbitan PTS (Akademi-PTS).

1. Visi PTS: Menjadi syarikat media ilmu yang sahamnya diperdagangkan di papan pertama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

2. Misi PTS: Menjadi penerbit bahan-bahan ilmu yang memandaikan bangsa.

3. Dasar perniagaan PTS: Mengamalkan urusniaga yang (i) bebas-rasuah dan (ii) syariah-compliant, (iii) membolehkan rakan-rakan niaganya sama-sama membuat keuntungan.

4. Dasar editorial PTS: Menerbitkan bahan-bahan bacaan yang (i) memandaikan bangsa, (ii) syariah-compliant dan (iii) menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

5. Budaya kerja PTS adalah:

(i) Mengutamakan kemahiran kooperatif dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,

(ii) Mengutamakan kepentingan, kebaikan dan kebajikan pembeli dan pembaca produk-produk PTS,

(iii) Menghargai, memupuk dan melindungi bakat-bakat yang dimiliki oleh setiap anggota staf dan karyawan PTS,

(iv) Mengongsikan dan mengagihkan dengan adil keuntungan perniagaan dengan pemilik saham, staf, karyawan, agen dan pembeli produk-produk PTS,

(v) Membantu dan menolong penerbit-penerbit lain membangun dan mengembangkan bisnes mereka.


Risiko Mempercayai Wisdom yang Salah


Dalam dunia bisnes, kita perlu banyak mendengar pendapat dan pandangan orang lain yang lebih lama berpengalaman menjalankan bisnes mereka, supaya kita tidak melakukan kesilapan-kesilapan yang sepatutnya tidak kita lakukan.

Disebabkan orang Cina lebih banyak berkecimpung dalam dunia bisnes, maka sebaiknya kita banyak berkawan dengan mereka dan menjadikan mereka mentor.

Salah satu kesilapan yang kerap dilakukan oleh orang (Melayu) yang baru hendak memulakan bisnes adalah bertanya kepada individu-individu (Melayu) yang tidak berpengalaman dalam bisnes! Ataupun mereka bertanya kepada individu Melayu yang bisnesnya bukan betul-betul bisnes dalam erti kata yang sebenar, sebagai contoh bisnes mereka adalah bisnes atas angin sahaja. Akibatnya, mereka mendengar pendapat dan nasihat yang salah....

Salah satu 'wisdom' yang kerap kedengaran adalah kononnya bisnes perlukan 'kabel'.

Apabila kita percaya bisnes memerlukan kabel, maka kita akan melaburkan banyak masa, tenaga, wang dan fikiran cuba mencari kabel-kabel itu. Padahal jika sumber-sumber itu digunakan bagi menjalankan kerja-kerja lain yang lebih berfaedah, kesannya lebih baik ke atas bisnes kita.


Mengapa Pekerja Malas


Seorang rakan di FaceBook, yang juga seorang bisnesman menulis:

"Kadang-kadang aku jadi terfikir kenapa budak budak Melayu (staff saya la) ni kalau buat benda, buat kerja, mereka tidak bersungguh-sungguh dan sambil lewa.... Kenapa? Nak kena lempang kot..."

Tingkah laku pekerja malas termasuk dalam kajian bidang ilmu "organizational behavior" (perangai manusia dalam organisasi) dan diulas di bawah topik "motivation at the workplace" (motivasi di tempat kerja) dan topik "job satisfaction" (kepuasan bekerja).

Pekerja adalah pekerja. Majikan adalah majikan. Ini adalah persepsi pekerja, meskipun semua majikan mahukan supaya mereka anggap syarikat itu milik bersama.

Pekerja tidak memiliki apa-apa yang menjadi hak syarikat. Syarikat itu adalah milik majikan.
Pekerja bukan rakan-kongsi majikan. Itu realiti. Justeru mereka tidak nampak apa gunanya mereka bekerja berhempas pulas untuk apa yang dimiliki oleh orang lain.

Banyak kajian telah dilakukan (di US) yang berjaya mengenal pasti pelbagai faktor dan punca yang dapat menaikkan ataupun menurunkan semangat kerja di kalangan staf organisasi.

Banyak faktor yang mendorong anak buah kuat bekerja kuat, di sini saya sebut 2 sahaja, sebab yang dua ini jarang dibincangkan, sedangkan peranannya amat penting:

(1) Ethics sang ketua.

Ethics (etika) sang ketua yang baik dan tiada cacat-celanya adalah salah satu punca dorongan dan semangat kerja orang-orang bawahan.

Di sini ethics sang ketua termasuklah akhlaknya, bukan sahaja akhlaknya sewaktu berada di dalam organisasi, malah termasuk akhlaknya semasa berada di luar organisasi.

Adalah sangat penting pekerja melihat sang ketua sebagai orang yang 'sangat baik' akhlaknya, baik semasa berada di tempat kerja mahupun di luar pejabat.

Dalam budaya Asia, orang tidak membezakan ethics bisnes dan ethics peribadi. Kedua-duanya dianggap serupa.

Sebagai contoh, jikalau sang ketua itu tidak berdusta di pejabat, tetapi berdusta di luar pejabat, maka di mata pekerjanya sang ketua itu tetap seorang pendusta.

Orang Asia juga tidak mengasingkan akhlak anak isteri sang ketua dengan akhlak sang ketua itu sendiri.

Sebagai contoh, jika sang ketua itu berjimat di pejabat, tetapi isterinya memakai pakaian dan barang kemas yang mahal-mahal, maka di mata pekerjanya sang ketua itu seorang pemboros.

Bagi pekerja, sangat tidak ada maknyanya bekerja bersungguh-sungguh bagi majikan yang berdusta dan pemboros.

(2) Nilai tonggak bisnes

Korporat-korporat besar semuanya mempunyai apa yang dikatakan core values (nilai tonggak) yang menjadi asas kepada budaya kerja.

Peranan nilai tonggak adalah penting kerana:

(i) Nilai-nilai itulah perkara yang dapat dikongsikan antara majikan dan mereka sendiri.

Kereta besar, rumah besar, duit syarikat dan kemewahan hidup sang ketua tidak dapat dikongsi oleh pekerja. Jika sang ketua mempunyai nilai-nilai yang baik, itulah yang dapat mereka berkongsi.

(ii) Nilai-nilai tonggak itu menjadi sumber motivasi dan semangat kepada pekerja.

Nilai-nilai tonggak itu menerangkan mengapa mereka perlu bekerja kuat untuk syarikat yang sedikitpun mereka tidak miliki sahamnya.

(iii) Nilai-nilai itu memberikan makna kepada kerja-kerja yang mereka lakukan di tempat kerja.

Nota: Misi PTS adalah menerbitkan buku-buku yang dapat "Memandaikan Bangsa". Tiga nilai tonggak PTS adalah (a) Bebas rasuah, (b) Syariah-compliant, dan (c) Bahasa Melayu Tinggi.


Peniaga Kecil Terus Kecil


Robert Kiyosaki mengatakan banyak peniaga kecil kekal sebagai peniaga kecil. Padahal mereka sudah lama berniaga, manakala setiap hari mereka bekerja sangat kuat, namun perniagaan mereka kekal kecil, tidak membesar.

Keadaan itu berlaku disebabkan 2 faktor:

(1) Mereka tidak mempunyai rancangan bagi menyerahkan tanggungjawab, tugas dan kerja kepada individu-individu lain.

(2) Mereka tidak membangunkan sistem kerja bagi membolehkan individu lain mengambil alih tanggungjawab, tugas dan kerja.

Dua perkara itu berpunca daripada sikap mereka yang tidak berani menaruh kepercayaan kepada individu-individu lain, akibatnya semua kerja mereka buat sendiri, ataupun tunggu sampai dia berikan arahan.


Bisnes yang Memiliki Kejelitaan Sosial


Syarikat-syarikat besar membelanjakan banyak wang supaya mereka dipandang cantik pada mata orang ramai. Ini dilakukan kerana kecantikan sosial mempunyai kaitan langsung dengan survival syarikat.

Syarikat yang cantik dan jelita pada mata masyarakat adalah syarikat yang melakukan banyak kerja-kerja mulia, seperti banyak membayar zakat, kuat membantu golongan kurang bernasib baik, tidak merosakkan alam dan lain-lain.

Hasilnya, produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat yang memiliki kejelitaan sosial juga dilihat jelita oleh pembelinya.

Banyak syarikat menawarkan produk yang serupa. Pembeli memilih produk syarikat A bukan disebabkan produk itu unik, tetapi disebabkan dia mempunyai persepsi positif tentang produk itu dan syarikat yang membuat ataupun yang menjualnya.

Bagi perniagaan kecil, seperti kedai makan ataupun kedai repair motosikal, kita boleh menjadikan kedai kita jelita di mata orang ramai dengan mencantikkan persepsi mereka terhadap bisnes kita dan diri kita, supaya mereka suka datang makan di kedai kita. Banyak cara dapat kita lakukan. Sebagai contoh, kita menyediakan kemudahan tandas bersih dan sudut sembahyang yang bersih.

Sebuah gerai makan yang popular di Tanjung Malim, pada setiap hari mulai jam 11 pagi meletakkan di tepi jalan di depan gerai itu satu container besar air sirap manis yang banyak air batunya disertai gelas-gelas kertas. Sesiapa sahaja boleh minum percuma. Yang paling banyak berhenti minum adalah penunggang motosikal yang kepanasan.


Strategi Marketing dalam FB: Mencipta Persepsi Positif


Orang mempercayai bahawa produk kita bagus apabila mereka percaya diri kita bagus. Justeru, laburkan usaha supaya diri kita dipersepsi sebagai orang yang bagus di mata sahabat-sahabat FB kita, khususnya mereka yang tidak pernah mengenali kita di dunia luar.

Bagi mencipta kita orang yang dipandang bagus, caranya adalah dengan menampilkan petanda-petanda kebagusan personaliti kita.

Antara tanda-tanda kita orang yang bagus adalah:

(i) Kita menulis posting-posting yang menaikkan nilai-sosial diri kita. Dalam kata lain, orang suka membaca apa yang kita tulis disebabkan ia berguna kepada mereka.

(ii) Kita tidak menulis posting yang mencipta konflik dengan mana-mana pihak.

(iii) Kita menulis komen-komen positif pada posting sahabat-sahabat FB.

(iv) Kita menaikkan kredibiliti kita dengan menulis fakta-fakta sahaja, bukan pendapat ataupun penilaian.

(v) Kita menulis dengan menggunakan bahasa yang elok, tersusun, dan sopan.

(vi) Apabila ada sahabat FB yang sakit ataupun ditimpa kesusahan, kita mendoakan mereka.

dan seterusnya.....

Selagi orang belum yakin kita seorang yang bagus, jangan iklankan produk kita dahulu. Tunggu... Hanya apabila orang sudah betul-betul suka pada kita (nilai sosial kita tinggi), barulah sekali-sekala kita iklankan produk ataupun perkhidmatan kita.

Prinsip ini banyak persamaannya dengan iklan di TV. Kita tidak marah kepada pengiklan yang mengganggu siaran, dan kita sabar menunggu iklan itu tamat, hanya apabila program itu sangat bagus!


Sangka Baik Restoran Minang


Kajian (di US) yang dilakukan oleh Jacques Wiesel ke atas 100 orang peniaga yang berjaya menjadi jutawan mendapati mereka semuanya mempunyai sifat suka bersangka baik terhadap orang-orang lain, terutamanya terhadap pelanggan dan rakan niaga.

Di alam Melayu, contoh amalan perniagaan yang berdasarkan sangka baik terhadap pelanggan adalah dalam budaya bisnes restoran Minang.

Apabila kita duduk sahaja di meja makan restoran Minang, serta-merta pekerja restoran itu datang dan melambakkan pinggan nasi serta bermacam-macam jenis lauk-pauk di atas meja kita.

Di sebalik layanan itu adalah budaya sangka baik bahawa pelanggan mempunyai banyak wang dan mampu membayar apa sahaja yang dimakannya.


Pancarkan Kredibiliti dalam Face Book


Kredibiliti adalah modal utama dalam FaceBook-marketing. Kredibiliti adalah sejauh mana orang percaya bahawa kita memiliki ilmu dan maklumat dalam perkara yang berkaitan bisnes kita.

Bagi menerangkan peri pentingnya kredibiliti, kita lihat bisnes doktor.

Doktor yang mempunyai klinik sendiri adalah bisnesman. Doktor tidak keluar mencari pelanggan, yakni pesakit. Pesakitlah yang pergi ke klinik doktor.

Sebagai orang bisnes, kita sering kali terkial-kial keluar mencari pelanggan. Dalam FB, kita menulis posting yang jelas menggambarkan kita terkial-kial mencari pelanggan.

Dapatkah kita menikmati posisi persis doktor? Dapatkah pelanggan yang datang mencari kita?

Ya, dapat. Apabila kredibiliti kita adalah setaraf dengan kredibiliti seorang doktor.

Di mata pelanggannya, si doktor itu adalah seorang pakar. Justeru mereka pergi kepada doktor itu bagi mendapatkan nasihat kepakarannya.

Pelanggan mencari kita apabila mereka yakin kita memiliki kepakaran berkenaan produk ataupun perkhidmatan yang kita tawarkan.

Justeru, tulislah posting-posting dalam Face Book mengenai perkara-perkara yang membuktikan kita memiliki kepakaran.


Bisnes Gerai Makan


Bisnes yang paling banyak diceburi oleh peniaga Melayu adalah bisnes membuka gerai makan.

Pemerhatian rambang menunjukkan budaya membuka gerai makan ini berlaku di kalangan peniaga Melayu. Payah sekali kita hendak berjumpa peniaga Cina dan Mamak membuka gerai makan. Mereka membuka restoran.

Disebabkan banyaknya orang Melayu aktif dalam sektor warung dan gerai makan, sektor ini patut diberikan penekanan yang lebih bagi membantu pemilik gerai-gerai makan Melayu meningkatkan bisnes mereka sehingga berjaya menjadi restoran.

Saya pernah berkenalan dengan seorang pengusaha warung makan di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Selama 7 tahun berniaga, warungnya sangat popular disebabkan beliau menawarkan banyak pilihan lauk-pauk dan sayur-sayuran.

Keuntungan daripada warungnya dijadikan modal membuka restoran di Taman Melawati juga, dengan modal tunai RM150 ribu (15 tahun yang lalu). Restorannya hanya bertahan 18 bulan, dan akhirnya terpaksa gulung tikar.

Bisnes warung makan dan restoran adalah sangat berbeza. Pandai berniaga warung tidak semestinya pandai berniaga restoran.




Bukti Bisnes Kita Bagus: Apa Nama Bank Kita


Sebagai peniaga kecil, apakah bukti bahawa bisnes kita bagus?

Banyak peniaga kecil membeli kereta besar bagi membuktikan bisnes mereka bagus oleh itu mereka mempunyai banyak wang sehingga mampu membeli kereta besar. Namun kereta mahal boleh juga menjadi bukti bahawa kita banyak berhutang.

Salah satu bukti bahawa syarikat kita bagus adalah cek bank apa yang kita gunakan. Jika kita menggunakan cek bank Cina, orang yakin syarikat kita bagus, sebab bank Cina sangat ketat apabila memilih pelanggan. Inilah salah satu faktor yang menyebabkan tidak banyak syarikat Melayu membuka akaun di bank Cina seperti Public Bank.

Syarikat Melayu yang berjaya mendapat fasiliti dari bank Cina bolehlah dimasukkan dalam kategori syarikat cemerlang.

Di kalangan peniaga Cina, jika sesebuah syarikat Melayu itu menggunakan cek Public Bank, mereka berani menjadi pembekal kepada syarikat itu, sebab bagi mererka, kalau Public Bank pun berani memberi fasiliti, maka itu bermakna syarikat Melayu itu boleh dipercayai.

Bank-bank Cina tidak peduli apa kereta yang kita pandu semasa menilai dan meluluskan permohonan kita bagi mendapatkan fasiliti. Mereka hanya mahu melihat akaun bank kita selama 6 bulan terakhir.


Tip Mencipta Perbualan Bermakna


Pakar-pakar pemasaran menggunakan Face Book memberitahu bahawa perkara paling utama yang mesti dilakukan apabila kita mahu menjalankan marketing dalam FB adalah "menyampaikan content", yakni informasi yang berguna kepada pembaca FB.

Content yang baik adalah informasi baru, iaitu perkara-perkara yang belum diketahui oleh rakan-rakan FB.

Informasi baru memainkan peranan penting dalam internet marketing kerana:

(i) Ia menaikkan nilai sosial diri kita.

Nilai sosial diri kita paling rendah apabila nama kita dipadam oleh rakan FB. Nilai kita paling tinggi apabila rakan FB menulis dan mengucapkan terima kasih atas posting kita.

(ii) Ia menaikkan kredibiliti diri kita.

Kredibiliti adalah sejauh mana orang percaya kita mempunyai kepakaran dalam perkara yang kita tuliskan. Kredibiliti sangat kritikal peranannya apabila kita hendak berbisnes dengan pelanggan yang berpelajaran tinggi. Mereka hanya mahu berurusan dengan individu yang kredibel.

Content yang perlu kita tuliskan itu pula bukan informasi berkenaan produk yang kita tawarkan, tetapi maklumat-maklumat yang mempunyai kaitan secara tidak langsung sahaja dengan produk kita itu.

Sebagai contoh, jika kita mahu menjual kasut, jangan bercerita tentang perbezaan harga kasut yang mahu kita jual dengan harga kasut yang serupa jika dibeli di kedai. Sebaliknya tulislah tentang sejarah kasut, ataupun museum kasut, ataupun kisah kasut Rasulullah, dan maklumat-maklumat sampingan lain tentang kasut.

Perkara utama kedua yang mesti kita lakukan adalah mencipta "perbualan bermakna" dengan rakan-rakan FB.

Kemahiran mencipta perbualan-bermakna adalah kombinasi seni dan sains. Seni yang terlibat adalah seni memilih kata-kata yang positif dan manis. Sains yang digunakan adalah sains psikologi.

Kita dapat mengukur sejauh mana posting yang kita tulis itu telah mencipta perbualan bermakna dengan mengira berapa komen yang ditulis oleh rakan-rakan FB pada posting kita.


Faktor 'know-who' Tidak Penting dalam Bisnes


Banyak orang amat yakin akan peri pentingnya faktor know-who dalam survival bisnes. Dalam bahasa orang bisnes, know-who disebut juga dengan istilah 'kabel'.

Dalam bisnes sebenar, know-who tidak penting. Yang amat penting adalah integriti yang tiada cacat-celanya. Bagi orang bisnes, integriti bermakna jangan tipu orang dan jangan lari dari membayar hutang.

Tidak ada dalam mana-mana buku teks bisnes yang mengajarkan bahawa faktor know-who adalah penting dalam bisnes.

Bisnes yang menggunakan kabel adalah bisnes yang tidak memenuhi ciri-ciri bisnes. Sebenarnya, ia adalah aktiviti jenayah kewangan dan jenayah moral yang dilakukan, kononnya atas nama bisnes.

Nota: Tidak ada ayat Quran ataupun hadis Nabi yang mengatakan dalam bisnes kita perlu mempunyai faktor know-who, sedangkan Nabi adalah seorang bisnesman, berkahwin dengan jutawan, dan bersahabat dengan jutawan-jutawan juga.


Face Book Bukan Pasar Malam


Dalam Face Book, rakan-rakan yang sedang membaca posting tidak suka apabila tiba-tiba kita terpandang posting rakan FB yang terang-terangan cuba menjual produknya kepada kita.

Face Book adalah semacam kedai kopi tempat orang melepak sambil berbual-bual. Orang-orang dalam kedai kopi yang sedang duduk berbual-bual tidak suka jika tiba-tiba datang pula jurujual cuba menjual barangnya. Perbuatan itu sangat mengganggu, oleh itu dibenci orang.

Face Book bukan tempat orang berjual-beli. Oleh itu jangan menjual dalam FB.

Face Book sesuai dijadikan tempat kita mencari sahabat dan menjalin networking sahaja. Mudah-mudahan pada suatu hari nanti sahabat-sahabat kita itu akan menjadi pelanggan ataupun klien kita.

Justeru, cara kita mempromosi bisnes dalam Face Book tidak boleh serupa dengan cara-cara konvensional. Ia adalah suatu seni baru, yang menggunakan teori dan pendekatan baru sama sekali.....

Saya ada menulis entri-entri tentang strategi yang betul bagi menjalankan marketing dalam blog ini. Baca dalam entri yang lebih awal.



Kejayaan Sebagai Usahawan dan Kaitannya dengan Sangka Baik


Jacques Wiesel pernah menjalankan penyelidikan ke atas psikologi 100 orang peniaga yang bertaraf jutawan di Amerika.

Beliau mahu mengetahui apakah ada ciri-ciri psikologis individu peniaga yang berjaya menjadi jutawan dibandingkan dengan mereka yang tidak berjaya menjadi jutawan.

Hasil kajian itu beliau mendapati peniaga-peniaga yang berjaya menjadi jutawan semuanya mempunyai ciri "sentiasa suka bersangka baik, dan mereka sentiasa melihat kepada kebaikan yang ada pada orang-orang lain".


Menggurui Bakal Pelanggan dalam FaceBook


Bagi kita orang bisnes, FaceBook adalah tempat kita menjalin persahabatan-persahabatan baru, mudah-mudahan pada suatu hari nanti mereka akan menjadi pelanggan ataupun klien kita.

Salah satu perkara yang menyebabkan rakan FB kita mendapat kesan positif tentang diri kita adalah ayat-ayat yang kita gunakan apabila menulis posting dalam FB.

Ayat-ayat yang mencipta kesan positif adalah ayat-ayat yang informatif, yakni ayat-ayat yang menyampaikan maklumat. Ayat informatif mencerminkan kredibiliti kita.

Kredibiliti adalah sejuah mana kita mempunyai ilmu pengetahuan dalam topik yang kita tuliskan.

Pada asasnya ayat-ayat informatif memberi maklumat: "Apa, Siapa, Di mana, Bila dan Bagaimana."

Elakkan menulis ayat-ayat yang bunyinya seperti kita mahu menasihati, menyeru-nyeru, mengkritik, meleteri, memarahi ataupun membodoh-bodohkan rakan FB kita. Ayat-ayat seperti itu menyebabkan mereka berasa kita "menggurui" mereka.

Contoh ayat-ayat menggurui:

(i) Tahukah anda bahawa berjihad itu hukumnya wajib manakala melakukan umrah itu sunat sahaja? Tetapi banyak orang setiap tahun membelanjakan wang yang banyak pergi umrah, sebaliknya mereka berat tangan dan tidak mahu mengeluarkan wang bagi membantu mereka yang berjihad.

(ii) Berapa orang antara umat Islam yang tahu bahawa bekerja di bank konvensional bermakna kita makan gaji daripada hasil riba? Mereka bangga menjadi pegawai bank padahal kita memakan wang riba, sedangkan memakan riba adalah dosa yang berat.

(iii) Kerja adalah ibadat, tetapi banyak orang tidak ikhlas semasa menjalankan kerjanya. Mereka juga tidak menjalankan kerja sebagai amanah.

(iv) Sedarkah kita bahawa nasib manusia bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Allah, oleh itu jangan bergantung kepada manusia, sebaliknya kita wajib bergantung kepada Allah. Tetapi kebanyakan manusia tidak sedar.

Apabila kita menulis ayat-ayat menggurui seperti itu kita meletakkan diri kita lebih tinggi, lebih pandai dan lebih bijaksana daripada rakan-rakan FB kita.

Rakan-rakan FB kita yang berpelajaran mahukan informasi. Justeru, berikan infomasi. Sebagai orang-orang yang berpelajaran, mereka tidak mahu digurui oleh sesiapa.


Fikirkan Marketing Sebelum Apa-apa


Bagi orang bisnes yang bisnesnya masih kecil, prioritinya adalah jual, jual, jual. Semasa bisnes kita masih kecil, kita sibuk menjual, sebab jualan membawa duit masuk.

Jualan amat kritikal bagi memastikan duit masuk. Kalau barang laku, tetapi kalau duit tidak masuk, habislah bisnes kita.

Pada asasnya, marketing adalah aktiviti yang matlamatnya adalah pendidikan pelanggan, yakni kita memberitahu pelanggan bahawa syarikat kita wujud, apa produk yang kita tawarkan, dan apa ciri-ciri istimewa pada produk kita.

Sebagai bisnesman kecil, kita tidak ada masa mahu memikirkan soal-soal marketing. Lagipun marketing adalah aktiviti yang menyebabkan duit keluar. Jadi, kita yakin marketing bukan perkara wajib-buat. Kita perlu menjual sebanyak-banyaknya dahulu. Marketing boleh ditangguhkan, tunggu sehingga bisnes kita cukup besar, sebab marketing memerlukan banyak duit.

Namun sebenarnya kebanyakan aktiviti marketing yang paling penting dilakukan adalah tidak memerlukan sebarang duit.

Aspek-aspek marketing perlu difikirkan semasa kita mula-mula hendak memilih produk apa yang hendak kita jual
supaya kita tidak tersilap memilih produk.

Kita juga perlu memikirkan aspek marketingnya
semasa hendak membuat keputusan apa bentuknya dan bagaimana produk itu akan dikeluarkan.

Semasa kita masih dalam fasa berfikir, kita tidak memerlukan duit.

Jika aspek-aspek marketing produk kita tidak difikirkan semenjak sebelum memulakan operasi bisnes, akibatnya nanti, duit yang dicari belum tentu dapat, duit modal kita pun boleh hilang.



Orang Bisnes dan Ketampanan Sosial


Ketampanan sosial
sangat besar peranannya dalam kejayaan bisnes yang melibatkan sektor perkhidmatan peribadi, di mana kita mempunyai kontak langsung dengan pelanggan ataupun klien kita.

Ada 2 jenis ketampanan, iaitu (i) ketampanan fizikal, dan (ii) ketampanan sosial. Banyak orang yang ciri-ciri fizikalnya biasa-biasa sahaja, tetapi mereka memiliki ketampanan sosial yang luar biasa.

Ketampanan fizikal itu ada pada diri kita - hidung yang mancung, mata yang bulat, kulit yang putih kuning dan lain-lain lagi. Semakin kita tua, semakin berkurangan ketampanan fizikal kita.

Ketampanan sosial itu ada pada pandangan dan persepsi orang-orang lain mengenai diri dan karekter kita. Semakin kita tua, kita dapat dipandang semakin tampan oleh orang-orang yang mengenali kita.

Produk-produk kita bukan unik. Banyak produk lain dalam pasaran yang serupa dengan produk kita. Orang mempunyai banyak pilihan sama ada mahu membeli daripada kita ataupun orang lain.

Dalam bisnes, orang membeli daripada kita adalah disebabkan mereka menyukai diri kita. Dan, pelanggan kita bukan menyukai kita disebabkan hidung kita mancung ataupun kita memiliki kereta besar dan mahal.

Orang menyukai kita disebabkan kita mempunyai integriti dan kredibiliti.

Integriti adalah sejauh mana pelanggan kita percaya kita tidak menipu dia. Jadi, integriti adalah isu akhlak dan etika bisnes kita. Pendek kata, integriti menjadikan kita bisnesman yang baik.

Manakala kredibiliti adalah sejauh mana pelanggan kita percaya kita mempunyai pengetahuan berkenaan produk ataupun perkhidmatan yang ditawarkan kepadanya. Jadi, kredibiliti adalah isu ilmu dan kepakaran kita.

Integriti dan kredibiliti berperanan serentak dalam mencipta ketampanan sosial kita.


Mempromosi Diri Sendiri dalam Face Book


Menurut pakar komunikasi yang mengkaji tingkah laku pengguna Face Book, majoriti pengguna FB menulis dengan pendekatan yang sangat egoistik kerana posting-posting yang mereka tulis adalah bertemakan "aku, aku.... dan aku".

Bagi kita orang bisnes, Face Book adalah alat kerja kita menjalankan urusan bisnes, oleh itu ada teknik-teknik menulis posting FB yang efektif bagi tujuan bisnes, dan ada yang sebaliknya.

Setiap patah perkataan yang kita tuliskan dalam posting FB kita mendedahkan banyak maklumat berkenaan siapa diri kita yang sebenar.

Orang melihat bisnes kita dengan melihat siapa diri kita. Apabila mereka melihat diri kita sebagai orang bisnes yang baik, maka mereka cenderung melihat produk kita sebagai produk yang baik juga.

Oleh itu, apabila menulis posting dalam FB, gunakan perkataan-perkataan yang meningkatkan aspek ketampanan sosial diri kita.

Tuliskan posting-posting FB bagi melukiskan gambaran bahawa kita adalah bisnesman yang baik.

Apabila kita menggunakan FB sebagai tempat kita meluahkan emosi-emosi negatif, hal itu akan menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakan-rakan FB terhadap diri dan karekter kita, sekaligus bisnes kita....



Mengukur Hasil Marketing dalam Face Book


Apabila kita menggunakan FaceBook bagi memasarkan bisnes kita, bagaimanakah kita mahu mengukur sama ada pemasaran yang kita lakukan itu efektif ataupun tidak.

Caranya adalah dengan mengira sebanyak mana posting-posting yang kita tulis itu menerima komen. Semakin banyak komen yang ditulis oleh rakan-rakan FB kita, maka diandaikan semakin efektif pemasaran yang kita lakukan.

Dari sudut marketing, tidak semua komen serupa nilainya dari. Ada komen yang bagus untuk bisnes kita, ada yang kurang bagus, dan ada yang tidak bagus.

Komen-komen yang bagus adalah:

(1) Komen daripada pengguna yang puas hati.

(2) Komen yang mengandungi testimonial berkenaan bagusnya kualiti produk ataupun perkhidmatan yang kita tawarkan.

(3) Komen yang bertanya di mana produk kita itu dapat dibeli.

(4) Komen yang bertanya berapa harga produk kita.

NOTA: Jangan iklankan produk ataupun perkhidmatan kita secara terang-terangan dalam FB, sebab rakan-rakan FB membenci perbuatan begitu, dan mereka akan padam nama kita.