Bahasa dan Persepsi Klien Terhadap Kredibiliti dan Integriti


Bahasa adalah salah satu modal bisnes yang penting. Dengan menggunakan bahasa semata-mata kita dapat menarik banyak duit dari akaun bank orang-orang lain lalu masuk ke dalam akaun bank kita.

Dalam dunia bisnes, kita hanya mahu berurusan dengan orang yang kredibel dan berintegriti kerana hanya dengan itu sahaja kita berasa selesa dan selamat berurus-niaga, baik menjual ataupun membeli, meminjam wang ataupun meminjamkan wang, memberi kredit mahupun menerima kredit, menyerahkan kontrak mahupun menjalankan kontrak.

Individu yang kredibel adalah individu yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam perkara-perkara yang dipercakapkannya.

Bakal klien mesti yakin bahawa kita seorang yang kredibel, barulah beliau mahu berurusan dengan kita.

Sebagai contoh, apabila kita mahu mendapatkan kontrak menjalankan bengkel latihan komunikasi, bakal klien mesti yakin bahawa kita memiliki ilmu-ilmu komunikasi dan mempunyai skill berkomunikasi dengan baik. Klien juga mesti yakin kita memiliki ilmu-ilmu dan skill mengendalikan bengkel latihan. Barulah kita ini kredibel di matanya.

Individu yang mempunyai integriti adalah orang yang diyakini bukan pendusta, dan bukan penyamar, apatah lagi penipu. Bakal klien akan
scan kita bagi mengenalpasti ciri-ciri penyamar yang mungkin ada pada diri kita. Dia mesti yakin orang yang datang ke pejabatnya itu tidak menyamar sebagai seorang pakar.

Banyak faktor membantu kita mencipta imej sebagai orang yang kredibel dan berintegriti tinggi. Antara faktor-faktor itu adalah bahasa yang kita gunakan apabila menulis SMS, menulis emel, menulis dalam blog, dalam Facebook, web rasmi, dan apabila bercakap dalam telefon, di radio, di TV, dan apabila bercakap orang-dengan-orang.

Bahasa yang digunakan oleh seseorang adalah mencerminkan ilmu-ilmu dan maklumat yang ada dalam otaknya.

Orang boleh menyamar dengan berbagai cara -- melainkan dengan bahasa. Bahasa (perkataan, istilah, frasa dan wacana) seorang jurutera adalah berbeza daripada bahasa seorang juruteknik.

Yang menjadi isu sekarang ini, banyak berlaku kes di mana klien menyangka orang yang datang ke pejabatnya itu adalah seorang 'juruteknik' sedangkan dia sebenarnya seorang 'jurutera', disebabkan si 'jurutera' bercakap menggunakan bahasa 'juruteknik'.

Justeru, bahasa yang kita gunakan memainkan peranan penting mencipta kredibiliti dan integriti diri kita pada pandangan mata bakal klien.


1 comments:

  LUKEMAN YUSOFF

12 Oktober 2009 2:45 PTG

Salam Puan, terima kasih atas perkongsian ini. Saya semakin memahami apa yang Puan maksudkan dengan bahasa dan integriti