Mudahnya Main Bisnes Kontrak


Banyak orang percaya, menjadi kontraktor kepada kerajaan adalah bisnes yang paling bagus. Alasan yang mereka berikan adalah:

(i) Menjadi kontraktor tidak memerlukan banyak modal. Kita hanya perlu menubuhkan syarikat sendirian berhad dengan aktiviti kontraktoran, kemudian mendaftarkan nama syarikat itu di kementerian kewangan sebagai kontraktor.

(ii) Dengan menjadi kontraktor kerajaan, kita dapat membuat keuntungan besar sekelip mata, tanpa perlu bekerja berpenat-lelah. Kontrak yang diperoleh itu dapat dijual kepada syarikat kontraktor Cina yang akan menjadi sub-kontraktor.

(iii) Menjadi kontraktor kerajaan adalah sangat mudah. Bagi mendapatkan kontrak puluhan juta, malah ratusan juta, kita hanya perlu menubuhkan syarikat dengan modal RM2 sahaja.

(iv) Yang penting kita mesti ada 'kabel' dengan orang-orang politik yang memegang jawatan dalam kerajaan, seperti perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri, eksko Dewan Undangan Negeri, dan lain-lain, di mana mereka mempunyai kuasa memberikan kontrak-kontrak kerajaan.

(v) Bagi membuat 'kabel' bisnes, caranya sangat mudah. Kita hanya perlu berbaik-baik dan berpakat-pakat dengan isteri orang politik, mertuanya, anaknya, menantunya, adik beradiknya, kroni-kroninya dan individu-individu yang seperti itu.

Tetapi, bak kata pepatah, "Api yang cepat marak, cepat padamnya." Maksudnya, bisnes yang cepat naik, cepat juga jatuhnya.



Risiko Bergantung pada Kontrak Kerajaan


Banyak orang membuka syarikat dengan tujuan mahu mendapatkan kontrak kerajaan.

Salah satu kelemahan menjalankan bisnes dengan menjadi kontraktor kerajaan adalah, bisnes itu tidak dapat diturunkan kepada anak-anak.

Kontrak kerajaan sangat berkait rapat dengan hubungan peribadi antara pemilik syarikat dengan orang-orang dalam kerajaan. Apabila pemilik syarikat meninggal dunia, hubungan itu terputus.

Inilah salah satu faktor mengapa banyak syarikat kontraktor kerajaan tutup bisnes apabila pemiliknya meninggal dunia, disebabkan anak-anaknya tidak dapat meneruskan hubungan baik yang pernah dijalin oleh arwah ayahnya dengan orang-orang dalam kerajaan.

Bagi mengatasi risiko itu, sebagai kontraktor kerajaan, sedari awal jangan libatkan anak-anak dalam syarikat kontraktor kita.

Dorong anak-anak membuka bisnes masing-masing dalam bidang masing-masing. Gunakan wang keuntungan bisnes kontrak itu bagi membantu dan memodali anak-anak memulakan bisnes mereka sendiri dalam bidang-bidang yang mereka minati.

Jadi, apabila kita meninggal dunia, anak-anak kita sudah mempunyai bisnes masing-masing yang kukuh.