Menjadi Bisnesman Popular


Sebagai orang bisnes, menjual diri kita sendiri adalah lebih penting daripada menjual produk kita.

Apabila orang menyukai diri kita, maka mereka akan bersikap lebih positif apabila menilai kualiti produk ataupun perkhidmatan kita.

Maksudnya, produk kita mungkin berkualiti 'B+' sahaja, tetapi disebabkan mereka menyukai diri kita, akibatnya mereka menilai produk kita sebagai berkualiti 'A'.

Salah satu tingkah laku yang tidak disukai oleh pelanggan adalah sikap defensif, iaitu sikap membela diri kita apabila pelanggan komplen.

Sebagai contoh, pelanggan berkata, "Mee awak pedas sangat."

Kita bersikap defensif apabila kita menjawab, "Tak tahulah. Saya buat macam biasa. Cilinya yang pedas agaknya, memang ada cili yang lebih pedas...."

Jawapan yang disukai pelanggan adalah, "Tak mengapa, nanti saya gorengkan yang lain, yang tak pedas...."

Memanglah pada waktu itu kita rugi sedikit, tetapi pelanggan itu puas hati. Lain kali dia akan datang lagi, dan datang lagi....



2 comments:

  iskandar

10 Januari 2010 10:32 PTG

Assalamualaikum Puan Ainon,

Saya setuju kita kena berjaya jual diri kita dahulu barulah jual produk.

Tetapi, adakah diri kita jujur kalau nilai produk kita B tapi orang beli juga sebab rasa diri kita A?

Terima kasih.

Dari Iskandar Zaki.

  Puan Ainon Mohd.

11 Januari 2010 7:51 PG

Tuan Iskandar,

Proses manusia menilai sesuatu produk adalah amat kompleks dan subjektif. Ia melibatkan faktor psikologi dan emosi.

Ada produk yang berkualiti A, tetapi dinilai sebagai berkualiti B, malah C, semata-mata kerana orang itu tidak menyukai pekhidmatan si peniaga.