Tekanan Kejayaan


Apabila seseorang itu membuat keputusan tidak mahu bekerja makan gaji, sebaliknya mahu memulakan bisnes sendiri, salah satu tekanan psikologi besar yang dialaminya adalah tekanan mahu membuktikan bahawa keputusannya itu terbukti lebih baik.

Tekanan itu datang daripada keperluan menjaga maruahnya di hadapan ibu bapa, isteri, anak-anak, adik-beradik, dan kaum keluarganya. Tekanan juga datang daripada rakan-rakan sekerjanya dahulu dan jiran tetangga.

Justeru dia tertekan mahu membuktikan bahawa sebagai peniaga dia lebih berjaya daripada hidup makan gaji. Sebagai bukti, dia sudah mampu memiliki apa yang dia tidak mampu miliki semasa makan gaji.

Ini adalah salah satu faktor mengapa banyak peniaga cepat-cepat membeli kereta yang lebih besar dan lebih mahal daripada kemampuannya waktu itu.

Jadi, dia hanya mampu kereta kancil tetapi dia membeli Proton Waja, ataupun dia hanya mampu Proton Waja tetapi dia membeli Proton Perdana.

Akibat daripada tindakan membeli bukti-bukti kejayaan palsu itu, wang yang sepatutnya digunakan bagi tujuan perniagaan, seperti membayar sewa, gaji dan hutang-hutang pembekal, terpaksa digunakannya bagi membayar kereta besar itu.



2 comments:

  Bibi

5 Mac 2010 11:21 PTG

Belajar bersabar dan bermesra dengan tempoh sebelum berjaya. Tak rugi kerana sukses kemudian hari, amat besar. Hukum alam begitu biasanya, semakin besar kesabaran semakin besar ganjaran.

  Nazir Azhari 017-6878129

22 Mac 2010 6:21 PTG

Di Daerah Kuala Rompin, Pahang, saya mengenali seorang usahawan yang memberikan perkhidmatan membajak tanah sawah bendang. Beliau memiliki 3 buah traktor berjenama Holland bernilai RM100k setiap satu. Namun untuk berjumpa klien, beliau hanya memandu sebuah Kancil 660 model tahun 1998.