Beri Komisen kepada Semua Staf


Di PTS, komisen daripada jualan buku diberikan kepada semua staf. Ya, SEMUA. Maksud semua adalah daripada Pengurus Besar hinggalah kepada drebar syarikat, semuanya mendapat komisen.

Tiap-tiap bulan, komisen dibayar pada 15 haribulan.

Dalam banyak syarikat, komisen jualan hanya diberikan kepada salesman sahaja. Akibatnya hanya salesman yang bekerja kuat menjual.

Apabila komisen diberikan kepada semua staf, akibatnya semua staf kuat menjual.


Memajukan Pekerja


Sebagai orang bisnes, faktor paling penting yang menjadikan bisnes kita berjaya dan berkembang baik adalah dedikasi dan semangat kerja para pekerja syarikat kita.

Disebabkan mereka begitu penting, kita semestinya memajukan para pekerja kita. Apabila pekerja kita maju, barulah syarikat kita maju.

Apabila syarikat kita maju barulah kita dapat menaikkan gaji, elaun, komisen, bonus, 'perks' dan menaikkan pangkat mereka.

Ini bermakna kita semestinya memperuntukkan wang bagi menghantar mereka mengikuti pelbagai kursus dan lain-lain aktiviti belajar di mana mereka dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.


Tajuk Kursus yang Ofensif


Sekali baca, bunyi tajuk kursus "Meningkatkan Kecemerlangan Pekerja" macam positif, macam bagus, macam menarik, kerana ada 2 perkataan positif dalam tajuk itu, yakni "meningkatkan" dan "kecemerlangan".

Dua kali baca, di sebalik tajuk itu wujud prasangka buruk, yakni bahawa pekerja-pekerja itu sekarang tidak cemerlang, alias bukan pekerja yang baik, yang bagus, makanya mereka perlu diberi kursus.

Penganjur mungkin menyukai tajuk kursus seperti itu, tetapi para peserta belum tentu suka menghadirinya kerana tajuk itu menunjukkan pihak yang menganjurkannya menuduh mereka itu bukan pekerja cemerlang.

Mencipta tajuk-tajuk kursus komersial yang positif adalah mudah, yakni dengan memfokuskan perhatian kepada skill yang akan diajarkan kepada peserta.

Contoh:

"Kursus Andaman Busana Tradisional Melayu"

"Bengkel Jahitan Langsir"

"Kursus Lukisan Gaya Cina"

"Kursus Mengawal Kanak-kanak Buas"

Elakkan apa jua bentuk katasifat atau 'adjektif'. Perkataan 'cemerlang', 'gemilang', 'terbilang' dan banyak lagi adalah katasifat.

Sesuatu perkataan katasifat itu mungkin positif, tetapi ia mencipta kesan negatif apabila digunakan dalam tajuk kursus.

Contoh-contoh katasifat dalam tajuk kursus yang mencipta kesan negatif:

"Kursus Remaja Gemilang": Tajuk ini tidak memberi maklumat apa yang akan dipelajari oleh peserta kursus itu nanti.

"Bengkel Keusahawanan Cemerlang": Tajuk ini
tidak memberi maklumat apa yang akan dipelajari oleh peserta kursus itu nanti, malah menuduh usahawan yang datang menghadirinya bukan usahawan yang cemerlang.

"Kursus Pembinaan Budaya Kerja Positif": Tajuk ini
tidak memberi maklumat apa yang akan dipelajari oleh peserta kursus itu nanti, malah menuduh para peserta kursus itu mengamalkan budaya kerja negatif.


Mencipa Tajuk Bengkel dan Kursus Komersial


Apabila kita menganjurkan bengkel dan kursus-kursus komersial, tajuk kursus adalah faktor paling penting yang mempengaruhi orang supaya mahu mendaftar.

Ada tajuk-tajuk kursus yang menyebabkan orang mahu mendaftar, manakala ada yang sebaliknya.

Pada prinsipnya, tajuk adalah copy iklan yang paling penting. Justeru, apabila mencipta tajuk kursus, gunakan prinsip-prinsip yang sama dengan prinsip menulis copy iklan.

Di bawah ini adalah beberapa tip yang berguna bagi mencipta tajuk bengkel yang mempunyai daya pengaruh:

1. Elakkan perkataan yang dikaitkan dengan kempen-kempen kerajaan.

Contoh perkataan itu adalah 'cemerlang', 'gemilang', 'terbilang' dan banyak lagi.

2. Elakkan perkataan yang terlalu kerap digunakan dalam media kerana perkataan-perkataan itu sudah menjadi klise, sudah basi, sudah hilang daya pengaruhnya.

Contoh perkataan itu adalah 'menjana', 'global', 'produktif', 'strategik', dan banyak lagi.

3. Gunakan perkataan yang menerangkan teknik dan skill yang akan diajarkan kepada peserta.

Contoh tajuk-tajuk kursus yang berpengaruh:

"Kursus Teknik Menggunakan Skrip Komitmen untuk Jurujual"

"Bengkel Teori dan Teknik-Teknik Mendorong Pasukan Kerja"

"Kursus Mengurus Projek"

"Bengkel Menulis Skrip Drama Radio & TV"

"Kursus Melebarkan Networking untuk Orang Bisnes"

"Kursus Menjadi Pembekal kepada Supermarket"

"Kursus Memulakan Bisnes Pakaian dengan Modal RM500"


Menjadi Trainer Korporat yang Efektif


Apabila kita menjadi trainer yang baru masuk ke dalam pasaran, salah satu kesilapan yang cenderung kita lakukan adalah di mana kita mahu menunjukkan kepada peserta bahawa kita adalah model yang patut mereka contohi.

Dengan motif seperti itu, kita cenderung bercakap demi membuktikan bahawa kita lebih pandai daripada semua peserta!

Kata-kata yang kita ucapkan di hadapan peserta, dan bahasa badan kita, membawa mesej: "Saya tahu. Saya betul. Jadilah macam saya!"

Dalam sektor training korporat, kesilapan ini sangat asas, seperti kesilapan kaki menekan pedal minyak sedangkan kita mahu memberhentikan kereta!

Peserta dalam sesi training korporat adalah individu-individu yang pandai-pandai belaka, dan mereka semua mempunyai banyak pengalaman kerja. Dalam banyak perkara, mereka tahu dan lebih pakar daripada sang trainer sendiri.

Mereka datang ke sesi training kerana mahu meningkatkan pengetahuan dan kepakaran mereka dalam bidang baru. Mereka bukan mahu mengagumi sang trainer!


Perbezaan Tingkah Laku Pelanggan 'training' dan 'speaking'


Pasaran ceramah dan pasaran latihan mempunyai perbezaan.

Penceramah cenderung menjadi orang yang popular, namanya dikenal oleh orang ramai. Mereka juga cenderung mendapat peluang muncul di ruangan radio dan televisyen.

Malah penceramah mudah mendapat promosi viral dalam media sosial di internet.

Apabila kita memasuki pasaran 'speaking', kita diminta menyampaikan ceramah di hadapan audiens yang banyak, kadang-kadang satu dewan penuh. Mungkin pelanggan kita mengarahkan setiap pekerjanya datang dan mendengar ceramah kita.
Akibatnya besar kemungkinan kita diundang berceramah sekali sahaja.

Seperkara lagi, audiens ceramah suka bertukar-ukar selera, yakni mereka mahu penceramah baru setiap kali diadakan ceramah.

Pasaran training tidak menghasilkan trainer yang popular dalam media. Jarang ada trainer yang diundang menjadi tetamu di radio ataupun televisyen.

Sebagai trainer, jumlah peserta kita kecil, sekitar 30-35 orang bagi setiap kumpulan. Akibatnya, kita mungkin diundang menjalankan sesi training berkali-kali oleh pelanggan yang sama.