Risiko Main Rasuah


Tahun ini bajet semua kementerian dan jabatan kerajaan dipotong minimum 30%.

Apabila kerajaan tidak ada duit, antara bajet yang paling awal dan cepat dipotong adalah bajet pembelian buku! Jadi, sebagai contoh, pada tahun ini semua perpustakaan awam tidak diberi langsung bajet khusus bagi membeli buku.

Kalau perpustakaan awam mahu membeli buku mereka terpaksa menggunakan bajet untuk pentadbiran.

Dalam keadaan seperti ini para penerbit cap ayam paling teruk terpukul kerana mereka hanya menerbitkan buku yang dapat mereka bekalkan kepada perpustakaan sahaja. Buku-buku mereka tidak laku dalam pasaran terbuka. Kedai-kedai buku pun tidak mahu mempamerkan buku-buku mereka.

Pada zaman ekonomi bagus, kerajaan mempunyai bajet besar bagi pembelian buku, justeru masing-masing penerbit cap ayam mendapat kontrak, jadi mereka tidak nazak, masing-masing seronok.

Apabila kementerian dan agensi-agensi kerajaan tidak ada duit, mereka bergaduh sesama mereka, berebut duit yang sedikit, masing-masing sanggup memberi diskaun (baca, duit pemudah kerja) yang gila-gila,
kerana apa lagi yang hendak mereka buat kepada stok buku yang berlonggok dalam setor.

Di kalangan penerbit cap ayam itu, apabila ekonomi merudum, yang paling teruk menanggung pukulan adalah penerbit Cina, kerana mereka lebih mampu bermain dengan duit besar, jadi risiko mereka lebih besar.

Persaingan menjadi sangat runcing bagi mendapatkan duit yang semakin tidak ada. Penerbit-penerbit cap ayam sudah mengeluarkan duit pemudah kerja tetapi tidak mendapat kontrak.

Disebabkan mereka sakit hati berasa tertipu, golongan inilah yang akan mendedahkan nama-nama sesiapa yang menyebabkan mereka rugi. Dalam zaman beginilah kita akan mendengar nama-nama individu yang selama ini dibela oleh penerbit-penerbit cap ayam itu, dan apa serta berapa banyak kos yang dikeluarkan bagi membela mereka.

Penerbit cap ayam bangsa Melayu tidak mampu bermain dengan duit besar. Stok buku yang berlonggok dalam setor mereka tidak banyak. Modal yang mereka gunakan sebagai duit pemudah kerja juga kecil. Oleh hal yang demikian mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan merudum.

Apabila mereka tidak mendapat kontrak, mereka melakukan kerja-kerja lain, seperti membuat pameran buku bergerak, dan membuka bisnes kecil-kecilan lain.


0 comments: