Menjadi Bisnesman Popular


Sebagai orang bisnes, menjual diri kita sendiri adalah lebih penting daripada menjual produk kita.

Apabila orang menyukai diri kita, maka mereka akan bersikap lebih positif apabila menilai kualiti produk ataupun perkhidmatan kita.

Maksudnya, produk kita mungkin berkualiti 'B+' sahaja, tetapi disebabkan mereka menyukai diri kita, akibatnya mereka menilai produk kita sebagai berkualiti 'A'.

Salah satu tingkah laku yang tidak disukai oleh pelanggan adalah sikap defensif, iaitu sikap membela diri kita apabila pelanggan komplen.

Sebagai contoh, pelanggan berkata, "Mee awak pedas sangat."

Kita bersikap defensif apabila kita menjawab, "Tak tahulah. Saya buat macam biasa. Cilinya yang pedas agaknya, memang ada cili yang lebih pedas...."

Jawapan yang disukai pelanggan adalah, "Tak mengapa, nanti saya gorengkan yang lain, yang tak pedas...."

Memanglah pada waktu itu kita rugi sedikit, tetapi pelanggan itu puas hati. Lain kali dia akan datang lagi, dan datang lagi....