Bisnes Latihan dan Seminar


Apabila kita menjalankan apa-apa jua jenis bisnes, kita dapat menjadi penceramah ataupun jurulatih kepada orang-orang lain yang berminat menjalankan bisnes serupa.

Sebagai contoh, jika kita mempunyai salon rambut, kita boleh mengendalikan sesi latihan dan mengenakan yuran kepada peserta.

Jika kita mempunyai kedai dobi, kita dapat melakukan perkara yang serupa.

Jika kita membuat dan menjual bahulu kampung, kita dapat melakukan perkara yang serupa.

Kursus dan latihan itu dapat dibuat dengan kecil-kecilan:

1. Kursus dijalankan di tempat kita sendiri.

Kalau kita membuat bahulu, jalankan kursus di dalam dapur bahulu kita.

Cara ini lebih berkesan sebab peserta dapat melihat sendiri bagaimana kita menjalankan kerja-kerja pembikinan bahulu secara komersial. Mereka lebih puas hati kerana mendapat nilai-tambahan (value-added).

Mereka bukan hanya belajar resipi bahulu, malah mereka dapat belajar jenis-jenis oven yang kita gunakan, susun-letak dapur kita dan dapat melihat pekerja kita bekerja.

2. Peserta yang datang tidak perlu banyak.

Dengan menjalankan kursus dalam dapur kita sendiri, peserta tidak perlu banyak. Dengan kehadiran dua tiga orang pun sudah dapat kita jalankan kursus. Jika setiap peserta dikenakan yuran RM100, kita sudah dapat RM300 ringgit dengan tidak perlu susah-susah.

Peserta juga lebih puas hati sebab kita dapat melayan semua pertanyaan mereka, dan mereka berpeluang belajar sebanyak-banyaknya daripada kita.

3. Perkara yang diajarkan juga tidak perlu banyak.

Kita boleh mengajarkan sedikit kemahiran sahaja. Sebagai contoh, bagi satu sesi kursus, kita mengajarkan cara membuat satu jenis bahulu sahaja.

4. Masa kursus juga tidak perlu panjang.

Kita boleh jalankan kursus untuk 2 ataupun 3 jam sahaja, tidak perlu berhari-hari.

NOTA: Tuan Zamri Mohamed adalah seorang penulis artikel-artikel untuk dierbitkan dalam akhbar dan majalah. Beliau juga menjalankan kursus mengajar peserta bagaimana cara menulis artikel untuk akhbar dan majalah.