Menjadi Trainer Korporat yang Efektif


Apabila kita menjadi trainer yang baru masuk ke dalam pasaran, salah satu kesilapan yang cenderung kita lakukan adalah di mana kita mahu menunjukkan kepada peserta bahawa kita adalah model yang patut mereka contohi.

Dengan motif seperti itu, kita cenderung bercakap demi membuktikan bahawa kita lebih pandai daripada semua peserta!

Kata-kata yang kita ucapkan di hadapan peserta, dan bahasa badan kita, membawa mesej: "Saya tahu. Saya betul. Jadilah macam saya!"

Dalam sektor training korporat, kesilapan ini sangat asas, seperti kesilapan kaki menekan pedal minyak sedangkan kita mahu memberhentikan kereta!

Peserta dalam sesi training korporat adalah individu-individu yang pandai-pandai belaka, dan mereka semua mempunyai banyak pengalaman kerja. Dalam banyak perkara, mereka tahu dan lebih pakar daripada sang trainer sendiri.

Mereka datang ke sesi training kerana mahu meningkatkan pengetahuan dan kepakaran mereka dalam bidang baru. Mereka bukan mahu mengagumi sang trainer!