Mengapa Banyak Bisnes Orang Besar Akhirnya Tutup


Salah satu tingkah laku orang-orang besar apabila memulakan bisnes adalah kecenderungan mahu terus 'membuka bisnes besar'.

Mereka mahukan pejabat yang besar, showroom besar, kereta rasmi besar, majlis pembukaan yang besar. Mereka mahukan bilik mesyuarat besar. Mereka mahu terus masuk pejabat sebagai bos besar dalam bisnes besar.
 

Bagi memulakan bisnes besar, mereka mengambil hutang bank dengan jumlah besar disebabkan mereka yakin modal besar menjamin keuntungan besar.

Mereka juga mahu cepat-cepat mengaut untung besar.

Orang-orang besar tidak mahu memulakan bisnes besar secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Faktor yang menyebabkan hal ini adalah isu 'self-esteem'.

Psikologi mereka berkata, orang-orang besar tidak selayaknya membuka bisnes kecil-kecilan kerana maruah mereka akan jatuh di mata sahabat-sahabat dan kaum keluarga.

Orang-orang besar hanya mahukan bisnes yang memerlukan modal besar kerana mereka tidak mahu malu kepada rakan dan taulan mereka yang terdiri daripada orang besar-besar juga.

Bagi orang-orang besar, membuka bisnes besar adalah bukti kejayaan besar, manakala membuka bisnes kecil adalah bukti kegagalan.

Inilah faktor yang menyebabkan orang-orang besar yang terjun ke dalam dunia bisnes cenderung melakukan kesilapan-kesilapan bisnes yang sangat mahal harganya.

Mereka memulakan bisnes dengan berhutang secara besar-besaran, akhirnya apabila bisnes gagal, mereka menanggung hutang-hutang yang besar....




Orang Baru Mudah Ditipu Orang Politik


Majoriti bisnesman Melayu yang sudah 'seasoned' (sudah masak dalam dunia bisnes) akan mengaku pada suatu masa dahulu mereka pernah terkena tipu oleh orang politik, ataupun oleh orang-orang yang mengaku mereka mempunyai kabel dengan orang politik.

Lazimnya, mereka terkena tipu dengan cara menyerahkan wang tunai kepada orang politik kerana yakin orang politik itu dapat memberi projek besar. Wang tunai itu kononnya perlu diberikan sebagai pendahuluan sebelum mendapat projek.

Faktor yang menyebabkan mereka mudah ditipu adalah disebabkan mereka yakin mereka mempunyai peluang mendapat projek besar. Kalau mereka tidak yakin, mereka takkan termakan gula-gula orang politik itu.

Tetapi apakah faktor-faktor yang menyebabkan mereka yakin mempunyai peluang mendapat projek-projek besar itu?

Faktor-faktor itu adalah:

1. Mereka yakin bisnes dan rasuah tidak dapat dipisahkan.

Mereka yakin rasuah dalam kerajaan adalah normal. Kalau mahu berjaya dalam bisnes, mereka mesti sanggup mengeluarkan modal sebagai bayaran rasuah.

2. Mereka yakin orang politik (perdana menteri, menteri, menteri besar, timbalan menteri) semuanya makan rasuah belaka.

Kalau mahu mendapat projek dan kontrak kerajaan, terpaksalah mereka sanggup memberi rasuah dahulu kepada orang politik. Tidak ada duit rasuah, tidak ada projek.

3. Mereka yakin orang politik mempunyai kuasa sepenuhnya dalam mengagih-agihkan projek-projek kerajaan.

Mereka yakin menteri hanya perlu meluluskan (yakni menurunkan tandatangan) sahaja atas kertas projek, selepas itu semuanya beres, mereka akan mendapat projek itu.

4. Mereka yakin wujudnya "kejayaan segera" dalam dunia bisnes.

Mereka percaya di sekeliling mereka terdapat banyak orang bisnes yang sudah berjaya dalam sekelip mata sahaja, iaitu dengan tidak perlu bersusah-payah, sebaliknya dengan menggunakan kabel sahaja. Mereka mahu menjadi seperti orang-orang itu.

Dengan menyerahkan wang pendahuluan kepada orang-orang politik itu mereka yakin mereka berpeluang menikmati "kejayaan segera".

Itulah kepercayaan bisnesman yang baru masuk dunia bisnes. Itulah sebabnya mereka mudah ditipu oleh orang politik, ataupun oleh orang-orang yang mengaku mempunyai kaitan dengan orang-orang politik.






Risiko Mengambil Grant Projek Kerajaan


Minggu ini saya mengadakan perbincangan dengan 2 orang usahawan teknologi animasi. Mereka berminat bekerjasama dengan PTS bagi mengedarkan komik yang mereka akan terbitkan.

Dalam menjalankan bisnes mereka itu, mereka menerima grant kerajaan.

Daripada pertukaran maklumat yang berlaku dalam perbincangan itu, saya simpulkan beberapa perkara:


1. Disebabkan mereka menerima grant, akibatnya mereka terpaksa mematuhi syarat-syarat yang dicipta oleh pegawai-pegawai kerajaan yang tidak pernah berniaga, di mana syarat-syarat itu salah sama sekali dari sudut logik perniagaannya.

Sebagai contoh, mereka dikehendaki menghasilkan cerita animasi yang mempunyai 'universal value' supaya produk itu nanti dapat dieksport ke luar negara.

Sebenarnya, produk yang dapat dieksport adalah produk-produk yang sarat dengan muatan budaya tempatan!

2. Akibatnya, mereka banyak membuang masa berusaha memuaskan hati pegawai-pegawai kerajaan yang mentadbir grant itu, bukannya berusaha memuaskan hati kustomer bagi produk yang mereka akan hasilkan.

Pegawai-pegawai kerajaan itu bukan kustomer mereka!

3. Akibat seterusnya, meskipun mereka sudah menceburkan diri dalam bisnes, mereka masih berfikir macam orang makan gaji dengan kerajaan, bukan macam usahawan.

Salah satu ciri otak pegawai kerajaan adalah mereka tidak mahu memikul kerja-kerja yang susah.

Sebagaimana dengan otak pegawai kerajaan, 2 orang usahawan itu tidak mahu menjalankan kerja-kerja pengedaran sendiri kerana ia sangat sukar, itulah sebabnya mereka mahu PTS membantu mereka mengedarkan komik mereka.

Dalam dunia bisnes, syarikat yang dapat berkembang adalah syarikat yang mengedarkan sendiri produk-produknya!

Beritahu Staf Rancangan Masa Hadapan Kita


Harapan adalah dorongan yang penting mengapa kita melakukan sesuatu tugas itu dengan bersungguh-sungguh ataupun setakat cukup-cukup sahaja.

Apabila kita mempunyai harapan akan berjaya, maka kita semakin bersungguh-sungguh melakukan kerja-kerja kita.

Salah satu faktor staf syarikat kita tidak seronok bekerja adalah disebabkan mereka tidak tahu apa akan jadi kepada masa hadapan mereka.

Justeru, sebagai orang bisnes kita mesti memberikan harapan kepada staf kita bahawa kita akan terus mencipta selepas satu kejayaan, satu kejayaan lagi.

Kita mesti beritahu kepada mereka rancangan kejayaan kita. Ia seperti memasang tiang gol, apabila mereka tahu di mana pintu gol, barulah mereka tahu ke arah mana bola mesti dibawa dan ditendang dengan sepenuh hati.





Gaji Tetap Tidak Dapat Menaikkan Semangat Kerja


Kajian-kajian yang saya baca melaporkan bahawa gaji tetap hanya mendorong orang bekerja setakat cukup-cukup sahaja. Maksud 'cukup-cukup' sahaja adalah 'asal selamat', yakni setakat dirinya selamat daripada risiko kena marah ataupun dibuang kerja.

Langkah menaikkan gaji tetap tidak mendorong pekerja bekerja lebih kuat, yakni lebih kuat daripada cukup-cukup sahaja. Walaupun gaji tetap mereka dinaikkan, namun produktivi mereka serupa sahaja. Semasa gaji tetap mereka RM1300, dan selepas dinaikkan menjadi RM1350, mereka bekerja serupa sahaja.

Contoh fenomena ini berlaku dalam perkhidmatan kerajaan. Setiap tahun kakitangan kerajaan menerima kenaikan gaji tetap mereka, namun semangat kerja mereka tidak naik.

Dari sudut pandang pekerja, kenaikan gaji tetap setiap tahun dianggap sebagai hak mereka. Jika mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, mereka yakin mereka berhak dinaikkan gajinya setiap tahun. Persepsi itulah yang mendorong pekerja menjalankan kerja setakat cukup-cukup, iaitu setakat tidak melakukan kesalahan, tanpa mengira berapa gaji tetap mereka sudah dinaikkan.

Justeru, majikan perlu mempunyai mekanisme lain yang dapat mendorong pekerja dengan sukarela meningkatkan produktiviti mereka.

Di PTS, kenaikan gaji tetap diberikan setiap tahun apabila staf melepasi kriteria asas penilaian prestasi kerja mereka.

Setiap bulan SEMUA staf menerima komisen daripada hasil kutipan hutang pada bulan itu. Semakin banyak hutang dapat dikutip, semakin tinggi komisen yang mereka peroleh.

Selain komisen, mereka juga menerima bonus. Bonus itu dibayar 4 kali setahun, dengan syarat mereka melepasi target produktiviti.


Mengapa Semua Staf Layak Menerima Komisen


Sejak awal penubuhan PTS, lembaga pengarahnya menetapkan dasar bahawa komisen dibayar kepada SEMUA staf, daripada yang paling tinggi kepada yang paling rendah jawatannya.

Dalam pengurusan gaya Islami, ayat Quran yang bermaksud: "Kamu mendapat apa-apa yang kamu usahakan." menjadi dasar mengapa SEMUA staf PTS menerima komisen hasil daripada jualan buku-buku yang diterbitkannya, kerana setiap orang staf PTS menyumbang usaha kepada penghasilan dan jualan buku-buku itu.

Setiap hujung bulan, jabatan kewangan PTS mengira jumlah hutang yang dapat dikutip daripada semua pengedar, agen dan kedai buku.

Daripada jumlah itu 3% diambil sebagai komisen yang akan diagih-agihkan kepada semua staf.

Daripada jumlah 3% itu, 50% diagih-agihkan sama rata di kalangan "tentera berkuda PTS". Mereka adalah para eksekutif jualan dan eksekutif kawalan kredit. Jadi, Tuan Pengurus jabatan sales menerima komisen sama banyak dengan salesman.

Jumlah 30% diagih-agihkan sama rata di kalangan "pasukan pemanah dan tentera berjalan kaki PTS". Mereka adalah staf di (i) jabatan editorial, (ii) jabatan marketing dan (iii) jabatan gudang dan logistik. Jadi, Tuan Pengurus Besar jabatan editorial menerima komisen sama banyak dengan artis grafik dan pembungkus buku di gudang.

Jumlah 20% diagih-agihkan sama rata di kalangan "kor sokongan PTS" yang terdiri daripada staf jabatan pentadbiran, kewangan dan perkeranian. Jadi, Tuan pengurus jabatan kewangan menerima komisen sama banyak dengan kerani kewangan.

Komisen staf dibayar pada setiap 15 haribulan. Dari satu sudut staf PTS menerima 'gaji' 2 kali sebulan....


Memilih Staf Peringkat Pegawai


Dari satu sudut, staf kita dapat dibahagikan kepada 2 kelompok personaliti:

(i) Mereka yang 'growth oriented'

(ii) Mereka yang 'maintainance oriented'

Ibarat rumah, individu yang growth-oriented asyik berfikir bagaimana mahu membesarkan rumah oleh sebab itu rumahnya asyik berubah rupanya, bising, kelam-kabut dan tidak teratur.

Manakala individu yang maintainance-oriented asyik mahu mengemas rumah supaya bersih dan efisien.

Semasa syarikat kita masih kecil, pilih pegawai-pegawai yang mempunyai bakat growth-oriented bagi dilatih menjadi bakal pengurus. Mereka mungkin 'kelam-kabut' sedikit gaya pengurusannya, tetapi yang lebih penting adalah syarikat kita berkembang.




.

Jenis Kesilapan yang Perlu Diizinkan


Bukan semua kesilapan boleh digalakkan supaya dilakukan oleh staf demi menggalakkan mereka mencipta produk-produk baru yang lebih laku dan cara-cara kerja baru yang lebih efisien dan efekif.

Ada jenis-jenis kesilapan yang tidak boleh mereka lakukan, dan apabila dilakukan ia perlu dikenakan tindakan disiplin.

Kesilapan yang tidak diizinkan adalah:

(i) Kesilapan itu tidak melanggar sebarang undang-undang negara yang termaktub dalam mana-mana akta.

Sebagai contoh, kesilapan itu tidak melanggar Akta Harta Intelektual ataupun Akta Mesin Cetak.

(ii) Kesilapan itu tidak boleh menyebabkan syarikat dilaporkan kepada polis, ataupun ditarik ke mahkamah, ataupun disaman oleh mana-mana pihak.

Sebagai contoh, kesilapan itu tidak menyebabkan ada pihak-pihak lain yang menanggung kerugian, sehingga mereka boleh menyaman syarikat bagi mendapatkan gantirugi.

(iii) Kesilapan itu tidak melanggar tata-etika syarikat ataupun prosedur (SOP) syarikat.

Sebagai contoh, kesilapan itu tidak melanggar Standard Operating Procedur (SOP) kelulusan kewangan dalam syarikat.

(iv) Kesilapan itu tidak menyalahi hukum-hakam agama, yakni ia bukan sesuatu yang berdosa dilakukan.

Sebagai contoh, kesilapan itu tidak melibatkan perbuatan yang hukumnya haram dalam Islam.

Panduan Membuka Kiosk Buku di Dalam Supermarket dan Mall


Pada masa ini PTS membekalkan kepada beberapa peniaga kecil buku yang membuka kiosk-buku, atau gerai-sorong, dalam beberapa hipermarket.

Data jualan PTS kepada mereka menunjukkan peningkatan dari masa ke masa, ertinya perniagaan itu boleh survive.

Berikut adalah beberapa tip bagi tuan dan puan yang berminat membuka perniagaan kiosk-buku:

1. Perniagaan ini sesuai untuk peniaga kecil. Justeru bagi tuan dan puan yang mempunyai anak remaja dan mahu menggalakkan anak memulakan bisnes sendiri, model ini sesuai.

2. Jenis orang yang membeli-belah dalam hipermarket adalah golongan berpendidikan dan berduit, oleh itu mereka mempunyai nilai pendidikan yang tinggi.

3. Operator kiosk buku perlu mengetahui judul-judul buku apa yang macam mana yang dimahukan oleh golongan pengunjung hipermarket.

4. Jumlah judul yang sesuai dipamerkan adalah antara 100 - 150 judul.

5. Pamerkan judul-judul yang terbukti sudah laku dalam pasaran sahaja.

6. Purata sewa tapak kiosk dalam hipermarket adalah RM3,000 sebulan.

7. Buku agama ruji wajib dipamerkan kerana jualannya bagus.

8. Bekalan buku boleh didapatkan daripada 2 ataupun 3 penerbit ataupun pengedar sahaja.

9. Pengedar boleh memberikan maklumat tentang judul-judul yang sangat laku.

10. Modal pertama membuka kiosk buku adalah antara RM15 - RM20 ribu.

11. Jumlah jualan bulanan yang 'bagus' dan 'selesa' adalah sekitar RM25 ribu.

12. Buku yang tidak laku boleh dipulangkan kepada penerbit dan digantikan dengan buku-buku lain.

Dengan membuka kiosk buku lebih dahulu, lama-lama peniaga akan mempunyai asas yang kuat bagi membuka kedai buku.





Mengapa Gerai Solo Kurang Laku


Apabila kita memasuki kompleks membeli-belah yang besar dan banyak pengunjungnya, kita dapat melihat banyaknya jumlah gerai dan luasnya ruang yang diberikan kepada kawasan makan-minum atau food-court.

Ini disebabkan, semakin banyak gerai dalam food-court itu, maka semakin banyak pilihan makanan yang ditawarkan di situ, lalu semakin banyak orang datang makan di situ.

Hasilnya semua gerai di situ menerima banyak pelanggan, dan semuanya maju belaka.

Fenomena ini disebut sebagai 'kesan supermarket' atau supermarket effect.

Kesan supermarket inilah yang menyebabkan kompleks membeli-belah yang lebih besar dan luas akan membunuh kompleks yang lebih kecil.

Semakin luas dan besar sesebuah kompleks itu, semakin banyak kedai di dalamnya, semakin banyak pilihan yang ditawarkan, hasilnya semakin lama kompleks itu dapat bertahan.


Memilih Lokasi Kedai Buku


Analisis ke atas data jualan buku-buku PTS menunjukkan dengan sangat terang dan jelas bahawa PTS membekalkan jumlah buku yang jauh lebih banyak kepada semua kedai buku yang beroperasi di dalam kompleks membeli-belah dibandingkan dengan kedai buku yang dibuka di rumah kedai berderet.

Jika tuan dan puan mempunyai rancangan mahu membuka kedai buku, Tuan Azari Hashim, eksekutif di jabatan jualan PTS memberi tip yang amat berguna.

Jika kedai buku itu akan menjual semua jenis buku, termasuk buku-buku agama, maka pilih:

(i) Kedai dalam shopping mall.

(ii) Jika di kawasan itu tidak ada shopping mall, pilih kedai yang bersebelahan dengan bank.

Jika kedai buku itu akan menjual buku-buku agama sahaja, pilih kedai:

(i) Berhampiran dengan pasar.

(ii) Berhampiran dengan pejabat pos.

(iii) Bersebelahan dengan restoran yang popular.

Jika kedai itu akan menjual buku dan segala alat tulis-menulis, maka pilih kedai:

(i) Berjiran dengan beberapa buah sekolah.

Saya pernah menginterviu seorang pemilik 4 buah outlet kedai buku di Lembah Kelang. Beliau mempunyai 3 buah outlet dalam kompleks membeli-belah dan 1 outlet di kedai berderet.

Jumlah sewa bulanan bagi salah sebuah outletnya yang terletak dalam kompleks adalah RM12 ribu. Tetapi jualan outlet itu purata RM100 ribu sebulan.
Manakala sewa salah sebuah outletnya di kedai berderet adalah RM3 ribu sebulan, tetapi ada masanya jumlah jualannya tidak dapat membayar sewa bulanannya.

Menurut beliau lagi, beliau mendapat potongan diskaun dari penerbit purata 40%. Daripada jumlah itu 10% diberikan sebagai diskaun kepada pelanggan kedai. 10% bagi membayar sewa kedai. 10% bagi membayar gaji pekerja. 2.5% sebagai potongan pembelian menggunakan kad kredit. Selebihnya barulah sebagai keuntungan.



Prosedur Mengutip Hutang


Syarikat kecil sekalipun wajib melantik seorang pegawai pengutip hutang, atau namanya 'credit controller'.

Jangan berfikir bisnes kita masih kecil jadi tidak mampu melantik pegawai credit-controller, jadi kita mahu tunggu sehingga syarikat sudah besar baru mahu melakukannya.

Ini kes ayam-dengan-telur. Syarikat kita masih kecil jadi kita tidak mampu membayar gaji
credit-controller, ataupun sebenarnya kerana kita tidak mahu melantik credit-controller makanya syarikat kita masih kecil dan tidak dapat membesar.

Tugas-tugas
credit-controller:

1. Menyemak rekod hutang-hutang pelanggan.

2. Hantar penyata hutang kepada pelanggan.

3. Buat panggilan telefon kepada pelanggan bagi mengingatkan mereka supaya membayar hutang.

4. Sediakan laporan hutang pelanggan untuk diserahkan kepada salesman, supaya salesman yang menghantar barang kepada pelanggan dapat membincangkan bagaimana hutang itu patut dibayar oleh pelanggan.


Bukti Kejayaan Palsu


Salah satu kesilapan yang banyak dilakukan oleh orang-orang yang baru menceburi dunia bisnes adalah tindakan membeli benda-benda yang berfungsi sebagai bukti palsu kejayaan.

Dalam erti kata yang lain yang lebih mudah, mereka membeli simbol-simbol duit.

Tingkah laku membeli simbol-simbol duit dilakukan oleh individu yang tidak memiliki banyak duit. Motif mereka adalah mahu menunjukkan mereka kononnya mempunyai banyak duit, lalu mereka membeli benda-benda yang mereka tidak mampu memilikinya.

Orang yang makan gaji banyak melakukan kesilapan ini. Akibatnya mereka banyak berhutang, khususnya hutang kad kredit.

Di kalangan bisnesman Melayu, tingkah laku membeli simbol-simbol duit juga banyak berlaku. Walaupun mereka sudah berniaga tetapi mereka masih mahu membeli simbol-simbol duit, yakni mereka masih melakukan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang makan gaji.

Bagi orang yang makan gaji, mereka membeli simbol-simbol duit itu dengan berhutang kepada bank dan kad kredit.

Bagi bisnesman, mereka berhutang kepada bank-bank dan juga kepada pembekal-pembekal dengan cara tidak membayar hutang.

Akibatnya, jika semasa mereka makan gaji mereka mempunyai hutang yang hampir tak mampu dibayar, selepas berniaga mereka mempunyai lebih banyak hutang yang betul-betul tak mampu dibayar....


Keuntungan Membayar Hutang Perniagaan


Apabila kita membayar hutang-hutang perniagaan kita, semakin cerah peluang perniagaan kita dapat berkembang dan membesar kerana:

1. Nama kita menjadi wangi. Tidak ada orang yang akan membusukkan nama kita disebabkan kita tidak membayar hutangnya.

2. Kita tidak mencipta musuh. Hutang yang tidak kita bayar adalah punca utama kita dibenci orang.

3. Orang yang hutangnya kita bayar akan memuji-muji kita di hadapan orang lain. Mereka menjadi duta diri kita sebagai bisnesman.

4. Pembekal yang kita bayar hutangnya berani memberi kita lebih banyak kredit kerana mereka yakin kita takkan lari daripada membayar hutang.

5. Pembekal kita yang ada juga akan rekomen kepada pembekal lain supaya jangan takut menjadi pembekal dengan memberi kredit kepada kita.

6. Bank yang kita bayar hutangnya lebih berani menaikkan jumlah kemudahan yang diberikan kepada kita kerana bank itu yakin kita akan bayar pinjamannya.

Risiko Menjadi Rakan Kongsi Bisnes


Banyak peniaga menubuhkan syarikat 'sole proprietor' (syarikat persendirian, yakni bukan sendirian berhad) dengan harga RM100 sahaja bagi mendaftarkan syarikatnya.

Jangan senang-senang kita mahu menjadi rakan-kongsi peniaga syarikat persendirian.
Maksudnya, jangan nama kita dimasukkan secara rasmi dalam rekod syarikatnya itu. Risikonya amat tinggi.

Jika peniaga itu suami ataupun isteri kita sendiri sekalipun, jangan senang-senang mahu menjadi rakan-kongsinya.

Di sisi undang-undang, kalau rakan-kongsi kita berhutang atas nama syarikat kita, walaupun kita tidak setuju, ataupun dia berhutang dengan tidak memberitahu kita, kita tetap menanggung hutang itu jika dia gagal membayarnya.

Katakanlah, rakan-kongsi itu membeli karpet secara berhutang. Dia memberitahu towkay karpet itu bahawa dia membeli untuk syarikat kita. Bill karpet itu ditulis atas nama syarikat kita.

Tetapi kemudian karpet itu dipasang di rumahnya sendiri, bukan di pejabat syarikat.

Kalau dia gagal membayar hutang karpet itu, kita tetap menanggung hutang itu.

Selepas dia mati pun kita tidak terlepas daripada membayar hutang itu. Selepas kita sendiri mati pun, waris kita tidak terlepas daripada membayar hutang itu.

Kalau rakan-kongsi kita itu suami kita sendiri, walaupun selepas bercerai, jika syarikat itu kena saman sebab dia tidak membayar hutangnya, kita tetap terbabit dalam saman itu.

Apa Bukti-Bukti Kejayaan Bisnes Kita


Banyak bisnes orang Melayu 'lingkup' disebabkan pemiliknya membeli bukti-bukti kejayaan palsu seperti kereta mahal, rumah besar, dan gaya hidup mewah yang sebenarnya dia tidak mampu.

Akibatnya, duit yang sepatutnya digunakan bagi menjalankan bisnes digunakan bagi membeli benda-benda itu.

Memang dengan memandu kereta besar dan tinggal dalam rumah besar orang mungkin menyangka bisnes kita amat berjaya, tetapi kereta besar, rumah besar dan gaya hidup mewah bukan bukti kejayaan bisnes kita.

Bukti bahawa bisnes kita berjaya itu ada pada bisnes kita itu sendiri.

1. Modal berbayar kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu RM10 ribu, kini RM60 ribu. Ini hanya dapat kita lakukan apabila duit keuntungan bisnes itu kita gunakan bagi menokok jumlah modal syarikat.

Apabila modal berbayar kita banyak, bank berani memberikan lebih banyak kemudahan.

2. Pengeluaran syarikat kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita hanya mampu mengeluarkan 15 ribu botol kicap sebulan, tetapi kini kita mengeluarkan 40 ribu botol sebulan.

Kita dapat meningkatkan pengeluaran apabila kita menggunakan duit keuntungan bisnes bagi membeli mesin baru, peralatan tambahan, menyewa ruang kerja yang lebih besar, serta membayar gaji lebih banyak pekerja dan membeli lebih banyak bahan-bahan mentah.

3. Pelanggan kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita hanya membekalkan kicap kita kepada 80 kedai, tetapi sekarang jumlah itu naik kepada 240 buah kedai.

Kita dapat menambah jumlah pelanggan apabila kita gunakan duit kentungan bagi membeli van-van tambahan dan mengambil driver tambahan bagi penghantaran kepada pelanggan.

4. Harta syarikat bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita menyewa rumah kedai milik orang lain, tetapi sekarang kita sudah membeli 2 buah rumah kedai sendiri.

Syarikat dapat membeli bangunan sendiri apabila duit keuntungan digunakan bagi membayar down-payment bangunan dan bagi membayar hutang pembelian itu.

5. Jumlah pekerja syarikat kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita hanya mempunyai 5 orang pekerja tetapi sekarang jumlah itu sudah menjadi 20 orang.

Kita dapat mengambil lebih banyak pekerja apabila duit kentungan digunakan bagi membayar gaji, KWSP, SOCSO dan pelbagai elaun yang mereka berhak terima.

Cara Betul Mencipta Misi Syarikat


Apabila mencipta misi bagi syarikat kita, pilih misi yang relevan dengan keperluan pelanggan kita.


Ada syarikat yang menulis misi yang tiada kaitan dengan keperluan pelanggan. 


Sebagai contoh ayat misi syarikat itu sebenarnya cuma relevan kepada pekerja-pekerja sendiri, bukannya pelanggan.

"Menjadikan pekerja sebagai harta syarikat paling berharga." (SALAH)

"Berkongsi keuntungan dengan pekerja."
(SALAH)


.

Cara Betul Mencipta Misi Syarikat


Syarikat kita mesti mempunyai misi.


Misi yang betul adalah misi yang menguntungkan pelanggan dan bakal-bakal pelanggan. Contohnya:

"Menerbitkan Buku-Buku yang Memandaikan Bangsa"

"Menyediakan Makanan Halal & Lazat dengan Harga Patut"

"Membekalkan Pengangkutan Kargo dengan Pantas dan Selamat"

"Menawarkan Perkhidmatan Tercantik bagi Andaman Gaya Tradisional dan Kontemporari untuk Pengantin Muslimah"

Misi syarikat kita tidak boleh terdiri daripada ayat-ayat yang tujuannya adalah keuntungan dan kejayaan untuk diri kita, bukannya untuk pelanggan. Contohnya:

"Menjadi Syarikat No.1 dalam Industri"

Ayat "menjadi syarikat no. 1 dalam industri" langsung tidak memberitahu apa relevannya kepada pelanggan sebab ia tiada kaitan dengan kehendak pelanggan dan bakal-bakal pelanggan.

Pelanggan kita tidak peduli syarikat kita nombor berapa. Yang penting kepada pelanggan adalah apa yang syarikat kita lakukan itu dapat memenuhi keperluan dan kehendak mereka.




.

Brand adalah Kepercayaan


Brand bukan logo.

Banyak logo dikenal orang, tetapi logo itu dibenci oleh banyak yang mengenalnya, contohnya logo 'dacing'. Banyak logo yang dahulu sinonimus dengan brand tetapi sekarang sudah menjadi liabiliti.

Brand bukan nama produk.

Banyak nama produk dikenal orang, tetapi produk itu tidak dibeli oleh banyak orang. Banyak nama produk yang dahulu digemari orang sekarang sudah tidak lagi digemari orang, contohnya brand 'Kia'.

Brand bukan nama syarikat.

Banyak nama syarikat dikenal orang, tetapi bisnes syarikat itu tidak disukai oleh banyak orang.

Brand adalah kepercayaan orang.

Brand adalah logo yang dipercayai orang.

Brand adalah produk yang dipercayai orang.

Barand adalah nama syarikat yang dipercayai orang.

Aktiviti branding bukan mengiklankan logo, nama produk ataupun nama syarikat. Aktiviti branding adalah melakukan semua perkara yang menyebabkan pelanggan menaruh kepercayaan kepada logo, produk dan syarikat kita.

Adakah "PTS" sudah mendapatkan kepercayaan orang?

Seorang ibu dan anggota halaman Fan-PTS yang bernama Afidah Mohd Ali menulis komen begini dalam FaceBook: "....dengan terbitnya novel kanak-kanak dan komik PTS, sebagai ibu, saya rasa memudahkan saya untuk memilih bahan bacaan untuk anak-anak. Kalau dulu, saya perlu membaca, menapis segala bahan yang hendak dibeli tetapi sekarang saya minta mereka memilih terbitan PTS. Mereka memang sukakannya dan sudah memiliki novel kanak-kanak dan komik PTS hampir 100 buah..."

Risiko Menjadi Pengarah Syarikat Sendirian Berhad


Apabila kita duduk dalam lembaga pengarah syarikat sendirian berhad, lazimnya kita menikmati beberapa keistimewaan (dengan syarat syarikat itu mempunyai kemampuan kewangan yang sihat) seperti elaun bulanan dan lain-lain 'perks'.

Namun, kita juga menanggung risiko.

Risiko yang paling berat adalah, bagi setiap ringgit hutang yang ditanggung oleh syarikat, kita sebagai pengarahnya menjadi penjamin peribadi.

Maksud penjamin peribadi adalah semua harta milik peribadi kita boleh dilelong oleh bank bagi tujuan mendapatkan semula jumlah hutang yang diberikan kepada syarikat.

Buat S.O.P. Segera


 

Semasa bisnes kita kecil, kita anggap SOP (standard operating procedure) tidak penting. Anggapan itu tidak betul.

Walaupun kita baru mempunyai seorang pembantu, kita perlu menyediakan SOP.

SOP adalah alat pengurusan bisnes yang sangat penting dibuat supaya mudah bagi staf kita belajar menjalankan operasi syarikat semasa kita tidak ada.

Tanpa adanya SOP, bisnes kita payah membesar kerana semua perkara menunggu kita membuat keputusan.

Tiap-tiap proses bisnes memerlukan SOPnya sendiri. Sebagai contoh, jika kita menjalankan gerai nasi lemak di bawah pokok, kita perlukan SOP bagi proses membersihkan meja, mengutip pinggan mangkuk kotor dan seterusnya membasuh pinggan mangkuk itu dan meletakkan semula di tempatnya.

Apabila kita ambil pembantu gerai, SOP itu adalah perkara pertama yang kita perlu terangkan kepada beliau.



.