Produk itu Penting, tetapi Perancangan Produk adalah Lebih Penting


Banyak orang yang sedang hendak memulakan bisnes memberi perhatian serius kepada produk apa yang mahu dijual. Itu sahaja.

Memang produk penting, tetapi apa yang disebut sebagai 'perancangan produk' atau 'product planning' adalah lebih penting peranannya dalam kejayaan bisnes.

Ambil sebagai contoh, saya pernah pergi ke suatu kenduri kahwin. Antara hidangannya adalah cendol yang disediakan di satu sudut khas. Memang cendolnya sedap.

Disebabkan cendolnya sedap, banyaklah hadirin mahu makan cendol, lalu banyaklah yang berkerumun menunggu cendol mereka disediakan. Masa yang diambil menjadi lama sehingga hadirin hilang sabar. Tuan rumah geleng-geleng kepala dengan muka rasa tidak puas hati apabila memerhatikan situasi itu.

Pembuat cendol itu mempunyai resipi cendol yang baik, tetapi perancangan produknya sungguh buruk. Beliau membuat cendol menggunakan mesin kisar air batu elektrik. Itulah yang menyebabkan tempoh menunggu jadi lama.

Saya juga pernah hadir majlis kenduri lain yang juga menghidangkan cendol. Resipinya biasa-biasa sahaja. Pembuatnya menggunakan ais tiub sahaja. Ia menjadikan proses penyediaan cendolnya sangat pantas. Tuan rumah puas hati melihat kepantasan kerja itu.

Dalam bisnes makanan, resipi adalah salah satu faktor dalam perancangan produk. Ada banyak faktor lain yang mesti dimasukkan ke dalam perancangan produk.

Banyak orang dalam bisnes makanan mempunyai resipi yang baik tetapi gagal disebabkan perancangan produknya tidak cukup baik.


 

1 comments:

  Web Sutera

2 Januari 2011 11:12 PTG

Saya belum pernah menyediakan cendol untuk katering perkahwinan, tetapi saya kerap juga menyediakan cendol bagi katering Hari Raya Aidilfitri dan makan tengah hari.

Pesanan minima bagi menu cendol ialah 100 pax. Memang kecil jika dibandingkan dengan 1,000 pax bagi majlis perkahwinan. Salah satu metod merendahkan kos operasi saya ialah menyediakan cendol bersama ketulan ais, bukannya mesin air batu. Saya dan Chef Hana memang pernah berselisih pendapat dalam hal ini. Akhirnya cendol dengan ketulan ais memang lebih pantas, mudah dan menjimatkan kos.