Prosedur Mengutip Hutang


Syarikat kecil sekalipun wajib melantik seorang pegawai pengutip hutang, atau namanya 'credit controller'.

Jangan berfikir bisnes kita masih kecil jadi tidak mampu melantik pegawai credit-controller, jadi kita mahu tunggu sehingga syarikat sudah besar baru mahu melakukannya.

Ini kes ayam-dengan-telur. Syarikat kita masih kecil jadi kita tidak mampu membayar gaji
credit-controller, ataupun sebenarnya kerana kita tidak mahu melantik credit-controller makanya syarikat kita masih kecil dan tidak dapat membesar.

Tugas-tugas
credit-controller:

1. Menyemak rekod hutang-hutang pelanggan.

2. Hantar penyata hutang kepada pelanggan.

3. Buat panggilan telefon kepada pelanggan bagi mengingatkan mereka supaya membayar hutang.

4. Sediakan laporan hutang pelanggan untuk diserahkan kepada salesman, supaya salesman yang menghantar barang kepada pelanggan dapat membincangkan bagaimana hutang itu patut dibayar oleh pelanggan.


Bukti Kejayaan Palsu


Salah satu kesilapan yang banyak dilakukan oleh orang-orang yang baru menceburi dunia bisnes adalah tindakan membeli benda-benda yang berfungsi sebagai bukti palsu kejayaan.

Dalam erti kata yang lain yang lebih mudah, mereka membeli simbol-simbol duit.

Tingkah laku membeli simbol-simbol duit dilakukan oleh individu yang tidak memiliki banyak duit. Motif mereka adalah mahu menunjukkan mereka kononnya mempunyai banyak duit, lalu mereka membeli benda-benda yang mereka tidak mampu memilikinya.

Orang yang makan gaji banyak melakukan kesilapan ini. Akibatnya mereka banyak berhutang, khususnya hutang kad kredit.

Di kalangan bisnesman Melayu, tingkah laku membeli simbol-simbol duit juga banyak berlaku. Walaupun mereka sudah berniaga tetapi mereka masih mahu membeli simbol-simbol duit, yakni mereka masih melakukan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang makan gaji.

Bagi orang yang makan gaji, mereka membeli simbol-simbol duit itu dengan berhutang kepada bank dan kad kredit.

Bagi bisnesman, mereka berhutang kepada bank-bank dan juga kepada pembekal-pembekal dengan cara tidak membayar hutang.

Akibatnya, jika semasa mereka makan gaji mereka mempunyai hutang yang hampir tak mampu dibayar, selepas berniaga mereka mempunyai lebih banyak hutang yang betul-betul tak mampu dibayar....


Keuntungan Membayar Hutang Perniagaan


Apabila kita membayar hutang-hutang perniagaan kita, semakin cerah peluang perniagaan kita dapat berkembang dan membesar kerana:

1. Nama kita menjadi wangi. Tidak ada orang yang akan membusukkan nama kita disebabkan kita tidak membayar hutangnya.

2. Kita tidak mencipta musuh. Hutang yang tidak kita bayar adalah punca utama kita dibenci orang.

3. Orang yang hutangnya kita bayar akan memuji-muji kita di hadapan orang lain. Mereka menjadi duta diri kita sebagai bisnesman.

4. Pembekal yang kita bayar hutangnya berani memberi kita lebih banyak kredit kerana mereka yakin kita takkan lari daripada membayar hutang.

5. Pembekal kita yang ada juga akan rekomen kepada pembekal lain supaya jangan takut menjadi pembekal dengan memberi kredit kepada kita.

6. Bank yang kita bayar hutangnya lebih berani menaikkan jumlah kemudahan yang diberikan kepada kita kerana bank itu yakin kita akan bayar pinjamannya.

Risiko Menjadi Rakan Kongsi Bisnes


Banyak peniaga menubuhkan syarikat 'sole proprietor' (syarikat persendirian, yakni bukan sendirian berhad) dengan harga RM100 sahaja bagi mendaftarkan syarikatnya.

Jangan senang-senang kita mahu menjadi rakan-kongsi peniaga syarikat persendirian.
Maksudnya, jangan nama kita dimasukkan secara rasmi dalam rekod syarikatnya itu. Risikonya amat tinggi.

Jika peniaga itu suami ataupun isteri kita sendiri sekalipun, jangan senang-senang mahu menjadi rakan-kongsinya.

Di sisi undang-undang, kalau rakan-kongsi kita berhutang atas nama syarikat kita, walaupun kita tidak setuju, ataupun dia berhutang dengan tidak memberitahu kita, kita tetap menanggung hutang itu jika dia gagal membayarnya.

Katakanlah, rakan-kongsi itu membeli karpet secara berhutang. Dia memberitahu towkay karpet itu bahawa dia membeli untuk syarikat kita. Bill karpet itu ditulis atas nama syarikat kita.

Tetapi kemudian karpet itu dipasang di rumahnya sendiri, bukan di pejabat syarikat.

Kalau dia gagal membayar hutang karpet itu, kita tetap menanggung hutang itu.

Selepas dia mati pun kita tidak terlepas daripada membayar hutang itu. Selepas kita sendiri mati pun, waris kita tidak terlepas daripada membayar hutang itu.

Kalau rakan-kongsi kita itu suami kita sendiri, walaupun selepas bercerai, jika syarikat itu kena saman sebab dia tidak membayar hutangnya, kita tetap terbabit dalam saman itu.

Apa Bukti-Bukti Kejayaan Bisnes Kita


Banyak bisnes orang Melayu 'lingkup' disebabkan pemiliknya membeli bukti-bukti kejayaan palsu seperti kereta mahal, rumah besar, dan gaya hidup mewah yang sebenarnya dia tidak mampu.

Akibatnya, duit yang sepatutnya digunakan bagi menjalankan bisnes digunakan bagi membeli benda-benda itu.

Memang dengan memandu kereta besar dan tinggal dalam rumah besar orang mungkin menyangka bisnes kita amat berjaya, tetapi kereta besar, rumah besar dan gaya hidup mewah bukan bukti kejayaan bisnes kita.

Bukti bahawa bisnes kita berjaya itu ada pada bisnes kita itu sendiri.

1. Modal berbayar kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu RM10 ribu, kini RM60 ribu. Ini hanya dapat kita lakukan apabila duit keuntungan bisnes itu kita gunakan bagi menokok jumlah modal syarikat.

Apabila modal berbayar kita banyak, bank berani memberikan lebih banyak kemudahan.

2. Pengeluaran syarikat kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita hanya mampu mengeluarkan 15 ribu botol kicap sebulan, tetapi kini kita mengeluarkan 40 ribu botol sebulan.

Kita dapat meningkatkan pengeluaran apabila kita menggunakan duit keuntungan bisnes bagi membeli mesin baru, peralatan tambahan, menyewa ruang kerja yang lebih besar, serta membayar gaji lebih banyak pekerja dan membeli lebih banyak bahan-bahan mentah.

3. Pelanggan kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita hanya membekalkan kicap kita kepada 80 kedai, tetapi sekarang jumlah itu naik kepada 240 buah kedai.

Kita dapat menambah jumlah pelanggan apabila kita gunakan duit kentungan bagi membeli van-van tambahan dan mengambil driver tambahan bagi penghantaran kepada pelanggan.

4. Harta syarikat bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita menyewa rumah kedai milik orang lain, tetapi sekarang kita sudah membeli 2 buah rumah kedai sendiri.

Syarikat dapat membeli bangunan sendiri apabila duit keuntungan digunakan bagi membayar down-payment bangunan dan bagi membayar hutang pembelian itu.

5. Jumlah pekerja syarikat kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita hanya mempunyai 5 orang pekerja tetapi sekarang jumlah itu sudah menjadi 20 orang.

Kita dapat mengambil lebih banyak pekerja apabila duit kentungan digunakan bagi membayar gaji, KWSP, SOCSO dan pelbagai elaun yang mereka berhak terima.

Cara Betul Mencipta Misi Syarikat


Apabila mencipta misi bagi syarikat kita, pilih misi yang relevan dengan keperluan pelanggan kita.


Ada syarikat yang menulis misi yang tiada kaitan dengan keperluan pelanggan. 


Sebagai contoh ayat misi syarikat itu sebenarnya cuma relevan kepada pekerja-pekerja sendiri, bukannya pelanggan.

"Menjadikan pekerja sebagai harta syarikat paling berharga." (SALAH)

"Berkongsi keuntungan dengan pekerja."
(SALAH)


.

Cara Betul Mencipta Misi Syarikat


Syarikat kita mesti mempunyai misi.


Misi yang betul adalah misi yang menguntungkan pelanggan dan bakal-bakal pelanggan. Contohnya:

"Menerbitkan Buku-Buku yang Memandaikan Bangsa"

"Menyediakan Makanan Halal & Lazat dengan Harga Patut"

"Membekalkan Pengangkutan Kargo dengan Pantas dan Selamat"

"Menawarkan Perkhidmatan Tercantik bagi Andaman Gaya Tradisional dan Kontemporari untuk Pengantin Muslimah"

Misi syarikat kita tidak boleh terdiri daripada ayat-ayat yang tujuannya adalah keuntungan dan kejayaan untuk diri kita, bukannya untuk pelanggan. Contohnya:

"Menjadi Syarikat No.1 dalam Industri"

Ayat "menjadi syarikat no. 1 dalam industri" langsung tidak memberitahu apa relevannya kepada pelanggan sebab ia tiada kaitan dengan kehendak pelanggan dan bakal-bakal pelanggan.

Pelanggan kita tidak peduli syarikat kita nombor berapa. Yang penting kepada pelanggan adalah apa yang syarikat kita lakukan itu dapat memenuhi keperluan dan kehendak mereka.




.