Panduan Membuka Kiosk Buku di Dalam Supermarket dan Mall


Pada masa ini PTS membekalkan kepada beberapa peniaga kecil buku yang membuka kiosk-buku, atau gerai-sorong, dalam beberapa hipermarket.

Data jualan PTS kepada mereka menunjukkan peningkatan dari masa ke masa, ertinya perniagaan itu boleh survive.

Berikut adalah beberapa tip bagi tuan dan puan yang berminat membuka perniagaan kiosk-buku:

1. Perniagaan ini sesuai untuk peniaga kecil. Justeru bagi tuan dan puan yang mempunyai anak remaja dan mahu menggalakkan anak memulakan bisnes sendiri, model ini sesuai.

2. Jenis orang yang membeli-belah dalam hipermarket adalah golongan berpendidikan dan berduit, oleh itu mereka mempunyai nilai pendidikan yang tinggi.

3. Operator kiosk buku perlu mengetahui judul-judul buku apa yang macam mana yang dimahukan oleh golongan pengunjung hipermarket.

4. Jumlah judul yang sesuai dipamerkan adalah antara 100 - 150 judul.

5. Pamerkan judul-judul yang terbukti sudah laku dalam pasaran sahaja.

6. Purata sewa tapak kiosk dalam hipermarket adalah RM3,000 sebulan.

7. Buku agama ruji wajib dipamerkan kerana jualannya bagus.

8. Bekalan buku boleh didapatkan daripada 2 ataupun 3 penerbit ataupun pengedar sahaja.

9. Pengedar boleh memberikan maklumat tentang judul-judul yang sangat laku.

10. Modal pertama membuka kiosk buku adalah antara RM15 - RM20 ribu.

11. Jumlah jualan bulanan yang 'bagus' dan 'selesa' adalah sekitar RM25 ribu.

12. Buku yang tidak laku boleh dipulangkan kepada penerbit dan digantikan dengan buku-buku lain.

Dengan membuka kiosk buku lebih dahulu, lama-lama peniaga akan mempunyai asas yang kuat bagi membuka kedai buku.





Mengapa Gerai Solo Kurang Laku


Apabila kita memasuki kompleks membeli-belah yang besar dan banyak pengunjungnya, kita dapat melihat banyaknya jumlah gerai dan luasnya ruang yang diberikan kepada kawasan makan-minum atau food-court.

Ini disebabkan, semakin banyak gerai dalam food-court itu, maka semakin banyak pilihan makanan yang ditawarkan di situ, lalu semakin banyak orang datang makan di situ.

Hasilnya semua gerai di situ menerima banyak pelanggan, dan semuanya maju belaka.

Fenomena ini disebut sebagai 'kesan supermarket' atau supermarket effect.

Kesan supermarket inilah yang menyebabkan kompleks membeli-belah yang lebih besar dan luas akan membunuh kompleks yang lebih kecil.

Semakin luas dan besar sesebuah kompleks itu, semakin banyak kedai di dalamnya, semakin banyak pilihan yang ditawarkan, hasilnya semakin lama kompleks itu dapat bertahan.


Memilih Lokasi Kedai Buku


Analisis ke atas data jualan buku-buku PTS menunjukkan dengan sangat terang dan jelas bahawa PTS membekalkan jumlah buku yang jauh lebih banyak kepada semua kedai buku yang beroperasi di dalam kompleks membeli-belah dibandingkan dengan kedai buku yang dibuka di rumah kedai berderet.

Jika tuan dan puan mempunyai rancangan mahu membuka kedai buku, Tuan Azari Hashim, eksekutif di jabatan jualan PTS memberi tip yang amat berguna.

Jika kedai buku itu akan menjual semua jenis buku, termasuk buku-buku agama, maka pilih:

(i) Kedai dalam shopping mall.

(ii) Jika di kawasan itu tidak ada shopping mall, pilih kedai yang bersebelahan dengan bank.

Jika kedai buku itu akan menjual buku-buku agama sahaja, pilih kedai:

(i) Berhampiran dengan pasar.

(ii) Berhampiran dengan pejabat pos.

(iii) Bersebelahan dengan restoran yang popular.

Jika kedai itu akan menjual buku dan segala alat tulis-menulis, maka pilih kedai:

(i) Berjiran dengan beberapa buah sekolah.

Saya pernah menginterviu seorang pemilik 4 buah outlet kedai buku di Lembah Kelang. Beliau mempunyai 3 buah outlet dalam kompleks membeli-belah dan 1 outlet di kedai berderet.

Jumlah sewa bulanan bagi salah sebuah outletnya yang terletak dalam kompleks adalah RM12 ribu. Tetapi jualan outlet itu purata RM100 ribu sebulan.
Manakala sewa salah sebuah outletnya di kedai berderet adalah RM3 ribu sebulan, tetapi ada masanya jumlah jualannya tidak dapat membayar sewa bulanannya.

Menurut beliau lagi, beliau mendapat potongan diskaun dari penerbit purata 40%. Daripada jumlah itu 10% diberikan sebagai diskaun kepada pelanggan kedai. 10% bagi membayar sewa kedai. 10% bagi membayar gaji pekerja. 2.5% sebagai potongan pembelian menggunakan kad kredit. Selebihnya barulah sebagai keuntungan.