Beritahu Staf Rancangan Masa Hadapan Kita


Harapan adalah dorongan yang penting mengapa kita melakukan sesuatu tugas itu dengan bersungguh-sungguh ataupun setakat cukup-cukup sahaja.

Apabila kita mempunyai harapan akan berjaya, maka kita semakin bersungguh-sungguh melakukan kerja-kerja kita.

Salah satu faktor staf syarikat kita tidak seronok bekerja adalah disebabkan mereka tidak tahu apa akan jadi kepada masa hadapan mereka.

Justeru, sebagai orang bisnes kita mesti memberikan harapan kepada staf kita bahawa kita akan terus mencipta selepas satu kejayaan, satu kejayaan lagi.

Kita mesti beritahu kepada mereka rancangan kejayaan kita. Ia seperti memasang tiang gol, apabila mereka tahu di mana pintu gol, barulah mereka tahu ke arah mana bola mesti dibawa dan ditendang dengan sepenuh hati.





Gaji Tetap Tidak Dapat Menaikkan Semangat Kerja


Kajian-kajian yang saya baca melaporkan bahawa gaji tetap hanya mendorong orang bekerja setakat cukup-cukup sahaja. Maksud 'cukup-cukup' sahaja adalah 'asal selamat', yakni setakat dirinya selamat daripada risiko kena marah ataupun dibuang kerja.

Langkah menaikkan gaji tetap tidak mendorong pekerja bekerja lebih kuat, yakni lebih kuat daripada cukup-cukup sahaja. Walaupun gaji tetap mereka dinaikkan, namun produktivi mereka serupa sahaja. Semasa gaji tetap mereka RM1300, dan selepas dinaikkan menjadi RM1350, mereka bekerja serupa sahaja.

Contoh fenomena ini berlaku dalam perkhidmatan kerajaan. Setiap tahun kakitangan kerajaan menerima kenaikan gaji tetap mereka, namun semangat kerja mereka tidak naik.

Dari sudut pandang pekerja, kenaikan gaji tetap setiap tahun dianggap sebagai hak mereka. Jika mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, mereka yakin mereka berhak dinaikkan gajinya setiap tahun. Persepsi itulah yang mendorong pekerja menjalankan kerja setakat cukup-cukup, iaitu setakat tidak melakukan kesalahan, tanpa mengira berapa gaji tetap mereka sudah dinaikkan.

Justeru, majikan perlu mempunyai mekanisme lain yang dapat mendorong pekerja dengan sukarela meningkatkan produktiviti mereka.

Di PTS, kenaikan gaji tetap diberikan setiap tahun apabila staf melepasi kriteria asas penilaian prestasi kerja mereka.

Setiap bulan SEMUA staf menerima komisen daripada hasil kutipan hutang pada bulan itu. Semakin banyak hutang dapat dikutip, semakin tinggi komisen yang mereka peroleh.

Selain komisen, mereka juga menerima bonus. Bonus itu dibayar 4 kali setahun, dengan syarat mereka melepasi target produktiviti.


Mengapa Semua Staf Layak Menerima Komisen


Sejak awal penubuhan PTS, lembaga pengarahnya menetapkan dasar bahawa komisen dibayar kepada SEMUA staf, daripada yang paling tinggi kepada yang paling rendah jawatannya.

Dalam pengurusan gaya Islami, ayat Quran yang bermaksud: "Kamu mendapat apa-apa yang kamu usahakan." menjadi dasar mengapa SEMUA staf PTS menerima komisen hasil daripada jualan buku-buku yang diterbitkannya, kerana setiap orang staf PTS menyumbang usaha kepada penghasilan dan jualan buku-buku itu.

Setiap hujung bulan, jabatan kewangan PTS mengira jumlah hutang yang dapat dikutip daripada semua pengedar, agen dan kedai buku.

Daripada jumlah itu 3% diambil sebagai komisen yang akan diagih-agihkan kepada semua staf.

Daripada jumlah 3% itu, 50% diagih-agihkan sama rata di kalangan "tentera berkuda PTS". Mereka adalah para eksekutif jualan dan eksekutif kawalan kredit. Jadi, Tuan Pengurus jabatan sales menerima komisen sama banyak dengan salesman.

Jumlah 30% diagih-agihkan sama rata di kalangan "pasukan pemanah dan tentera berjalan kaki PTS". Mereka adalah staf di (i) jabatan editorial, (ii) jabatan marketing dan (iii) jabatan gudang dan logistik. Jadi, Tuan Pengurus Besar jabatan editorial menerima komisen sama banyak dengan artis grafik dan pembungkus buku di gudang.

Jumlah 20% diagih-agihkan sama rata di kalangan "kor sokongan PTS" yang terdiri daripada staf jabatan pentadbiran, kewangan dan perkeranian. Jadi, Tuan pengurus jabatan kewangan menerima komisen sama banyak dengan kerani kewangan.

Komisen staf dibayar pada setiap 15 haribulan. Dari satu sudut staf PTS menerima 'gaji' 2 kali sebulan....


Memilih Staf Peringkat Pegawai


Dari satu sudut, staf kita dapat dibahagikan kepada 2 kelompok personaliti:

(i) Mereka yang 'growth oriented'

(ii) Mereka yang 'maintainance oriented'

Ibarat rumah, individu yang growth-oriented asyik berfikir bagaimana mahu membesarkan rumah oleh sebab itu rumahnya asyik berubah rupanya, bising, kelam-kabut dan tidak teratur.

Manakala individu yang maintainance-oriented asyik mahu mengemas rumah supaya bersih dan efisien.

Semasa syarikat kita masih kecil, pilih pegawai-pegawai yang mempunyai bakat growth-oriented bagi dilatih menjadi bakal pengurus. Mereka mungkin 'kelam-kabut' sedikit gaya pengurusannya, tetapi yang lebih penting adalah syarikat kita berkembang.




.

Jenis Kesilapan yang Perlu Diizinkan


Bukan semua kesilapan boleh digalakkan supaya dilakukan oleh staf demi menggalakkan mereka mencipta produk-produk baru yang lebih laku dan cara-cara kerja baru yang lebih efisien dan efekif.

Ada jenis-jenis kesilapan yang tidak boleh mereka lakukan, dan apabila dilakukan ia perlu dikenakan tindakan disiplin.

Kesilapan yang tidak diizinkan adalah:

(i) Kesilapan itu tidak melanggar sebarang undang-undang negara yang termaktub dalam mana-mana akta.

Sebagai contoh, kesilapan itu tidak melanggar Akta Harta Intelektual ataupun Akta Mesin Cetak.

(ii) Kesilapan itu tidak boleh menyebabkan syarikat dilaporkan kepada polis, ataupun ditarik ke mahkamah, ataupun disaman oleh mana-mana pihak.

Sebagai contoh, kesilapan itu tidak menyebabkan ada pihak-pihak lain yang menanggung kerugian, sehingga mereka boleh menyaman syarikat bagi mendapatkan gantirugi.

(iii) Kesilapan itu tidak melanggar tata-etika syarikat ataupun prosedur (SOP) syarikat.

Sebagai contoh, kesilapan itu tidak melanggar Standard Operating Procedur (SOP) kelulusan kewangan dalam syarikat.

(iv) Kesilapan itu tidak menyalahi hukum-hakam agama, yakni ia bukan sesuatu yang berdosa dilakukan.

Sebagai contoh, kesilapan itu tidak melibatkan perbuatan yang hukumnya haram dalam Islam.