Orang Baru Mudah Ditipu Orang Politik


Majoriti bisnesman Melayu yang sudah 'seasoned' (sudah masak dalam dunia bisnes) akan mengaku pada suatu masa dahulu mereka pernah terkena tipu oleh orang politik, ataupun oleh orang-orang yang mengaku mereka mempunyai kabel dengan orang politik.

Lazimnya, mereka terkena tipu dengan cara menyerahkan wang tunai kepada orang politik kerana yakin orang politik itu dapat memberi projek besar. Wang tunai itu kononnya perlu diberikan sebagai pendahuluan sebelum mendapat projek.

Faktor yang menyebabkan mereka mudah ditipu adalah disebabkan mereka yakin mereka mempunyai peluang mendapat projek besar. Kalau mereka tidak yakin, mereka takkan termakan gula-gula orang politik itu.

Tetapi apakah faktor-faktor yang menyebabkan mereka yakin mempunyai peluang mendapat projek-projek besar itu?

Faktor-faktor itu adalah:

1. Mereka yakin bisnes dan rasuah tidak dapat dipisahkan.

Mereka yakin rasuah dalam kerajaan adalah normal. Kalau mahu berjaya dalam bisnes, mereka mesti sanggup mengeluarkan modal sebagai bayaran rasuah.

2. Mereka yakin orang politik (perdana menteri, menteri, menteri besar, timbalan menteri) semuanya makan rasuah belaka.

Kalau mahu mendapat projek dan kontrak kerajaan, terpaksalah mereka sanggup memberi rasuah dahulu kepada orang politik. Tidak ada duit rasuah, tidak ada projek.

3. Mereka yakin orang politik mempunyai kuasa sepenuhnya dalam mengagih-agihkan projek-projek kerajaan.

Mereka yakin menteri hanya perlu meluluskan (yakni menurunkan tandatangan) sahaja atas kertas projek, selepas itu semuanya beres, mereka akan mendapat projek itu.

4. Mereka yakin wujudnya "kejayaan segera" dalam dunia bisnes.

Mereka percaya di sekeliling mereka terdapat banyak orang bisnes yang sudah berjaya dalam sekelip mata sahaja, iaitu dengan tidak perlu bersusah-payah, sebaliknya dengan menggunakan kabel sahaja. Mereka mahu menjadi seperti orang-orang itu.

Dengan menyerahkan wang pendahuluan kepada orang-orang politik itu mereka yakin mereka berpeluang menikmati "kejayaan segera".

Itulah kepercayaan bisnesman yang baru masuk dunia bisnes. Itulah sebabnya mereka mudah ditipu oleh orang politik, ataupun oleh orang-orang yang mengaku mempunyai kaitan dengan orang-orang politik.






Risiko Mengambil Grant Projek Kerajaan


Minggu ini saya mengadakan perbincangan dengan 2 orang usahawan teknologi animasi. Mereka berminat bekerjasama dengan PTS bagi mengedarkan komik yang mereka akan terbitkan.

Dalam menjalankan bisnes mereka itu, mereka menerima grant kerajaan.

Daripada pertukaran maklumat yang berlaku dalam perbincangan itu, saya simpulkan beberapa perkara:


1. Disebabkan mereka menerima grant, akibatnya mereka terpaksa mematuhi syarat-syarat yang dicipta oleh pegawai-pegawai kerajaan yang tidak pernah berniaga, di mana syarat-syarat itu salah sama sekali dari sudut logik perniagaannya.

Sebagai contoh, mereka dikehendaki menghasilkan cerita animasi yang mempunyai 'universal value' supaya produk itu nanti dapat dieksport ke luar negara.

Sebenarnya, produk yang dapat dieksport adalah produk-produk yang sarat dengan muatan budaya tempatan!

2. Akibatnya, mereka banyak membuang masa berusaha memuaskan hati pegawai-pegawai kerajaan yang mentadbir grant itu, bukannya berusaha memuaskan hati kustomer bagi produk yang mereka akan hasilkan.

Pegawai-pegawai kerajaan itu bukan kustomer mereka!

3. Akibat seterusnya, meskipun mereka sudah menceburkan diri dalam bisnes, mereka masih berfikir macam orang makan gaji dengan kerajaan, bukan macam usahawan.

Salah satu ciri otak pegawai kerajaan adalah mereka tidak mahu memikul kerja-kerja yang susah.

Sebagaimana dengan otak pegawai kerajaan, 2 orang usahawan itu tidak mahu menjalankan kerja-kerja pengedaran sendiri kerana ia sangat sukar, itulah sebabnya mereka mahu PTS membantu mereka mengedarkan komik mereka.

Dalam dunia bisnes, syarikat yang dapat berkembang adalah syarikat yang mengedarkan sendiri produk-produknya!