Brand adalah Kepercayaan


Brand bukan logo.

Banyak logo dikenal orang, tetapi logo itu dibenci oleh banyak yang mengenalnya, contohnya logo 'dacing'. Banyak logo yang dahulu sinonimus dengan brand tetapi sekarang sudah menjadi liabiliti.

Brand bukan nama produk.

Banyak nama produk dikenal orang, tetapi produk itu tidak dibeli oleh banyak orang. Banyak nama produk yang dahulu digemari orang sekarang sudah tidak lagi digemari orang, contohnya brand 'Kia'.

Brand bukan nama syarikat.

Banyak nama syarikat dikenal orang, tetapi bisnes syarikat itu tidak disukai oleh banyak orang.

Brand adalah kepercayaan orang.

Brand adalah logo yang dipercayai orang.

Brand adalah produk yang dipercayai orang.

Barand adalah nama syarikat yang dipercayai orang.

Aktiviti branding bukan mengiklankan logo, nama produk ataupun nama syarikat. Aktiviti branding adalah melakukan semua perkara yang menyebabkan pelanggan menaruh kepercayaan kepada logo, produk dan syarikat kita.

Adakah "PTS" sudah mendapatkan kepercayaan orang?

Seorang ibu dan anggota halaman Fan-PTS yang bernama Afidah Mohd Ali menulis komen begini dalam FaceBook: "....dengan terbitnya novel kanak-kanak dan komik PTS, sebagai ibu, saya rasa memudahkan saya untuk memilih bahan bacaan untuk anak-anak. Kalau dulu, saya perlu membaca, menapis segala bahan yang hendak dibeli tetapi sekarang saya minta mereka memilih terbitan PTS. Mereka memang sukakannya dan sudah memiliki novel kanak-kanak dan komik PTS hampir 100 buah..."