Risiko Menjadi Rakan Kongsi Bisnes


Banyak peniaga menubuhkan syarikat 'sole proprietor' (syarikat persendirian, yakni bukan sendirian berhad) dengan harga RM100 sahaja bagi mendaftarkan syarikatnya.

Jangan senang-senang kita mahu menjadi rakan-kongsi peniaga syarikat persendirian.
Maksudnya, jangan nama kita dimasukkan secara rasmi dalam rekod syarikatnya itu. Risikonya amat tinggi.

Jika peniaga itu suami ataupun isteri kita sendiri sekalipun, jangan senang-senang mahu menjadi rakan-kongsinya.

Di sisi undang-undang, kalau rakan-kongsi kita berhutang atas nama syarikat kita, walaupun kita tidak setuju, ataupun dia berhutang dengan tidak memberitahu kita, kita tetap menanggung hutang itu jika dia gagal membayarnya.

Katakanlah, rakan-kongsi itu membeli karpet secara berhutang. Dia memberitahu towkay karpet itu bahawa dia membeli untuk syarikat kita. Bill karpet itu ditulis atas nama syarikat kita.

Tetapi kemudian karpet itu dipasang di rumahnya sendiri, bukan di pejabat syarikat.

Kalau dia gagal membayar hutang karpet itu, kita tetap menanggung hutang itu.

Selepas dia mati pun kita tidak terlepas daripada membayar hutang itu. Selepas kita sendiri mati pun, waris kita tidak terlepas daripada membayar hutang itu.

Kalau rakan-kongsi kita itu suami kita sendiri, walaupun selepas bercerai, jika syarikat itu kena saman sebab dia tidak membayar hutangnya, kita tetap terbabit dalam saman itu.