Memilih Lokasi Kedai Buku


Analisis ke atas data jualan buku-buku PTS menunjukkan dengan sangat terang dan jelas bahawa PTS membekalkan jumlah buku yang jauh lebih banyak kepada semua kedai buku yang beroperasi di dalam kompleks membeli-belah dibandingkan dengan kedai buku yang dibuka di rumah kedai berderet.

Jika tuan dan puan mempunyai rancangan mahu membuka kedai buku, Tuan Azari Hashim, eksekutif di jabatan jualan PTS memberi tip yang amat berguna.

Jika kedai buku itu akan menjual semua jenis buku, termasuk buku-buku agama, maka pilih:

(i) Kedai dalam shopping mall.

(ii) Jika di kawasan itu tidak ada shopping mall, pilih kedai yang bersebelahan dengan bank.

Jika kedai buku itu akan menjual buku-buku agama sahaja, pilih kedai:

(i) Berhampiran dengan pasar.

(ii) Berhampiran dengan pejabat pos.

(iii) Bersebelahan dengan restoran yang popular.

Jika kedai itu akan menjual buku dan segala alat tulis-menulis, maka pilih kedai:

(i) Berjiran dengan beberapa buah sekolah.

Saya pernah menginterviu seorang pemilik 4 buah outlet kedai buku di Lembah Kelang. Beliau mempunyai 3 buah outlet dalam kompleks membeli-belah dan 1 outlet di kedai berderet.

Jumlah sewa bulanan bagi salah sebuah outletnya yang terletak dalam kompleks adalah RM12 ribu. Tetapi jualan outlet itu purata RM100 ribu sebulan.
Manakala sewa salah sebuah outletnya di kedai berderet adalah RM3 ribu sebulan, tetapi ada masanya jumlah jualannya tidak dapat membayar sewa bulanannya.

Menurut beliau lagi, beliau mendapat potongan diskaun dari penerbit purata 40%. Daripada jumlah itu 10% diberikan sebagai diskaun kepada pelanggan kedai. 10% bagi membayar sewa kedai. 10% bagi membayar gaji pekerja. 2.5% sebagai potongan pembelian menggunakan kad kredit. Selebihnya barulah sebagai keuntungan.