Mengapa Semua Staf Layak Menerima Komisen


Sejak awal penubuhan PTS, lembaga pengarahnya menetapkan dasar bahawa komisen dibayar kepada SEMUA staf, daripada yang paling tinggi kepada yang paling rendah jawatannya.

Dalam pengurusan gaya Islami, ayat Quran yang bermaksud: "Kamu mendapat apa-apa yang kamu usahakan." menjadi dasar mengapa SEMUA staf PTS menerima komisen hasil daripada jualan buku-buku yang diterbitkannya, kerana setiap orang staf PTS menyumbang usaha kepada penghasilan dan jualan buku-buku itu.

Setiap hujung bulan, jabatan kewangan PTS mengira jumlah hutang yang dapat dikutip daripada semua pengedar, agen dan kedai buku.

Daripada jumlah itu 3% diambil sebagai komisen yang akan diagih-agihkan kepada semua staf.

Daripada jumlah 3% itu, 50% diagih-agihkan sama rata di kalangan "tentera berkuda PTS". Mereka adalah para eksekutif jualan dan eksekutif kawalan kredit. Jadi, Tuan Pengurus jabatan sales menerima komisen sama banyak dengan salesman.

Jumlah 30% diagih-agihkan sama rata di kalangan "pasukan pemanah dan tentera berjalan kaki PTS". Mereka adalah staf di (i) jabatan editorial, (ii) jabatan marketing dan (iii) jabatan gudang dan logistik. Jadi, Tuan Pengurus Besar jabatan editorial menerima komisen sama banyak dengan artis grafik dan pembungkus buku di gudang.

Jumlah 20% diagih-agihkan sama rata di kalangan "kor sokongan PTS" yang terdiri daripada staf jabatan pentadbiran, kewangan dan perkeranian. Jadi, Tuan pengurus jabatan kewangan menerima komisen sama banyak dengan kerani kewangan.

Komisen staf dibayar pada setiap 15 haribulan. Dari satu sudut staf PTS menerima 'gaji' 2 kali sebulan....