Gaji Tetap Tidak Dapat Menaikkan Semangat Kerja


Kajian-kajian yang saya baca melaporkan bahawa gaji tetap hanya mendorong orang bekerja setakat cukup-cukup sahaja. Maksud 'cukup-cukup' sahaja adalah 'asal selamat', yakni setakat dirinya selamat daripada risiko kena marah ataupun dibuang kerja.

Langkah menaikkan gaji tetap tidak mendorong pekerja bekerja lebih kuat, yakni lebih kuat daripada cukup-cukup sahaja. Walaupun gaji tetap mereka dinaikkan, namun produktivi mereka serupa sahaja. Semasa gaji tetap mereka RM1300, dan selepas dinaikkan menjadi RM1350, mereka bekerja serupa sahaja.

Contoh fenomena ini berlaku dalam perkhidmatan kerajaan. Setiap tahun kakitangan kerajaan menerima kenaikan gaji tetap mereka, namun semangat kerja mereka tidak naik.

Dari sudut pandang pekerja, kenaikan gaji tetap setiap tahun dianggap sebagai hak mereka. Jika mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, mereka yakin mereka berhak dinaikkan gajinya setiap tahun. Persepsi itulah yang mendorong pekerja menjalankan kerja setakat cukup-cukup, iaitu setakat tidak melakukan kesalahan, tanpa mengira berapa gaji tetap mereka sudah dinaikkan.

Justeru, majikan perlu mempunyai mekanisme lain yang dapat mendorong pekerja dengan sukarela meningkatkan produktiviti mereka.

Di PTS, kenaikan gaji tetap diberikan setiap tahun apabila staf melepasi kriteria asas penilaian prestasi kerja mereka.

Setiap bulan SEMUA staf menerima komisen daripada hasil kutipan hutang pada bulan itu. Semakin banyak hutang dapat dikutip, semakin tinggi komisen yang mereka peroleh.

Selain komisen, mereka juga menerima bonus. Bonus itu dibayar 4 kali setahun, dengan syarat mereka melepasi target produktiviti.