Risiko Mengambil Grant Projek Kerajaan


Minggu ini saya mengadakan perbincangan dengan 2 orang usahawan teknologi animasi. Mereka berminat bekerjasama dengan PTS bagi mengedarkan komik yang mereka akan terbitkan.

Dalam menjalankan bisnes mereka itu, mereka menerima grant kerajaan.

Daripada pertukaran maklumat yang berlaku dalam perbincangan itu, saya simpulkan beberapa perkara:


1. Disebabkan mereka menerima grant, akibatnya mereka terpaksa mematuhi syarat-syarat yang dicipta oleh pegawai-pegawai kerajaan yang tidak pernah berniaga, di mana syarat-syarat itu salah sama sekali dari sudut logik perniagaannya.

Sebagai contoh, mereka dikehendaki menghasilkan cerita animasi yang mempunyai 'universal value' supaya produk itu nanti dapat dieksport ke luar negara.

Sebenarnya, produk yang dapat dieksport adalah produk-produk yang sarat dengan muatan budaya tempatan!

2. Akibatnya, mereka banyak membuang masa berusaha memuaskan hati pegawai-pegawai kerajaan yang mentadbir grant itu, bukannya berusaha memuaskan hati kustomer bagi produk yang mereka akan hasilkan.

Pegawai-pegawai kerajaan itu bukan kustomer mereka!

3. Akibat seterusnya, meskipun mereka sudah menceburkan diri dalam bisnes, mereka masih berfikir macam orang makan gaji dengan kerajaan, bukan macam usahawan.

Salah satu ciri otak pegawai kerajaan adalah mereka tidak mahu memikul kerja-kerja yang susah.

Sebagaimana dengan otak pegawai kerajaan, 2 orang usahawan itu tidak mahu menjalankan kerja-kerja pengedaran sendiri kerana ia sangat sukar, itulah sebabnya mereka mahu PTS membantu mereka mengedarkan komik mereka.

Dalam dunia bisnes, syarikat yang dapat berkembang adalah syarikat yang mengedarkan sendiri produk-produknya!