Tip Mendapatkan Modal: Strategi Meminjam Dari Diri Sendiri


Seorang rakan Facebook saya yang bernama Tn. Zulkifli Sharif, menulis komen pada posting saya yang bermanfaat dibaca:

Ada seorang peniaga sandal yang buat bisness kerana minatnya dan beliau masih bekerja. Idea beliau:

Menggadaikan emas milik isterinya yang dibeli beberapa tahun lalu di Bank Rakyat dan dijadikan modal.

Sebahagian keuntungan digunakan untuk menebus emas itu kembali. Sebahagian digunakan untuk modal pusingan. Dan sebahagian lagi digunakan untuk hidupnya.


Dan yang menariknya, keuntungan yang selebihnya beliau gunakan untuk membeli emas lagi. Kerana katanya, emas itu saban tahun akan memberi lebih tinggi nilai gadaiannya kerana harga pasaran emas yang terus meningkat.

Katanya lagi, emas yang sama telah membantu beliau berkali-kali untuk memberikan modal tanpa membuat pinjaman peribadi kepada bank.

Dia kata, cara paling mudah untuk mengeluarkan modal adalah melalui emasnya. Dan beliau tidak pelik kerana beliau belajar dari mereka yang berada di Pantai Timur.

Jadi, sebenarnya untuk peniaga kecil, mungkin ini salah satu cara yang anda boleh lalukan kalau setakat nak berniaga bermodalkan 2000 ringgit.

Kalau anda makan gaji, belilah emas yang betul emas tanpa batu. Kemudian gunakanlah gadaiaan emas (Ar Ranhu ) itu sendiri untuk membina modal.

Berhutang dengan sandaran emas seperti anda berhutang dengan diri anda sendiri. Pihak bank hanya mengambil upah simpan.


.

Risiko Main Rasuah


Tahun ini bajet semua kementerian dan jabatan kerajaan dipotong minimum 30%.

Apabila kerajaan tidak ada duit, antara bajet yang paling awal dan cepat dipotong adalah bajet pembelian buku! Jadi, sebagai contoh, pada tahun ini semua perpustakaan awam tidak diberi langsung bajet khusus bagi membeli buku.

Kalau perpustakaan awam mahu membeli buku mereka terpaksa menggunakan bajet untuk pentadbiran.

Dalam keadaan seperti ini para penerbit cap ayam paling teruk terpukul kerana mereka hanya menerbitkan buku yang dapat mereka bekalkan kepada perpustakaan sahaja. Buku-buku mereka tidak laku dalam pasaran terbuka. Kedai-kedai buku pun tidak mahu mempamerkan buku-buku mereka.

Pada zaman ekonomi bagus, kerajaan mempunyai bajet besar bagi pembelian buku, justeru masing-masing penerbit cap ayam mendapat kontrak, jadi mereka tidak nazak, masing-masing seronok.

Apabila kementerian dan agensi-agensi kerajaan tidak ada duit, mereka bergaduh sesama mereka, berebut duit yang sedikit, masing-masing sanggup memberi diskaun (baca, duit pemudah kerja) yang gila-gila,
kerana apa lagi yang hendak mereka buat kepada stok buku yang berlonggok dalam setor.

Di kalangan penerbit cap ayam itu, apabila ekonomi merudum, yang paling teruk menanggung pukulan adalah penerbit Cina, kerana mereka lebih mampu bermain dengan duit besar, jadi risiko mereka lebih besar.

Persaingan menjadi sangat runcing bagi mendapatkan duit yang semakin tidak ada. Penerbit-penerbit cap ayam sudah mengeluarkan duit pemudah kerja tetapi tidak mendapat kontrak.

Disebabkan mereka sakit hati berasa tertipu, golongan inilah yang akan mendedahkan nama-nama sesiapa yang menyebabkan mereka rugi. Dalam zaman beginilah kita akan mendengar nama-nama individu yang selama ini dibela oleh penerbit-penerbit cap ayam itu, dan apa serta berapa banyak kos yang dikeluarkan bagi membela mereka.

Penerbit cap ayam bangsa Melayu tidak mampu bermain dengan duit besar. Stok buku yang berlonggok dalam setor mereka tidak banyak. Modal yang mereka gunakan sebagai duit pemudah kerja juga kecil. Oleh hal yang demikian mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan merudum.

Apabila mereka tidak mendapat kontrak, mereka melakukan kerja-kerja lain, seperti membuat pameran buku bergerak, dan membuka bisnes kecil-kecilan lain.


Mencari Pengalaman Berniaga


Bagi tuan yang mempunyai rancangan mahu menjadi bisnesman, ada baiknya tuan bekerja dahulu dengan syarikat yang aktivitinya serupa dengan bisnes yang tuan mahu ceburi.

Sebagai contoh, tuan mahu membuka kedai buku, ada baiknya tuan bekerja dahulu dengan syarikat pengedar buku, ataupun syarikat rangkaian kedai buku.

Dengan demikian tuan mempunyai peluang mendapatkan gambaran dan maklumat yang sangat berharga tentang dunia bisnes buku. Ini membantu tuan mengelakkan daripada melakukan kesilapan-kesilapan yang amat asas apabila memulakan bisnes sendiri.

Inilah yang dilakukan oleh kedai-kedai makan ataupun restoran Mamak. Mereka yang membuka kedai makan Mamak semuanya pernah bekerja dalam kedai Mamak lain. Itulah sebabnya kita takkan berjumpa kedai makan Mamak tutup bisnes!

Lain ceritanya dengan kedai makan Melayu....



Membuka Bisnes kerana Didorong oleh Harapan Palsu


Banyak orang terjun ke dalam dunia bisnes disebabkan mereka terdorong oleh harapan-harapan palsu. Akibatnya, mereka bukan mendapat keuntungan malah semakin kerugian.

Harapan-harapan palsu itu mungkin datang dari dalam diri kita sendiri, ataupun mungkin datang dari luar, yakni akibat termakan cakap orang-orang lain yang memberikan harapan-harapan palsu.

Golongan yang paling banyak terjebak oleh harapan palsu adalah mereka yang mempunyai masalah kewangan.

Orang-orang yang mengalami masalah selalu tidak cukup duit cenderung mempunyai harapan palsu bahawa dengan masuk dunia bisnes maka dia akan mendapat banyak duit.

Ataupun, seseorang itu masuk dunia bisnes sebab terpengaruh oleh orang lain - (biasanya kawan sendiri) - yang mengajaknya masuk bisnes dengan memberikan cerita yang muluk-muluk tentang peluang membuat banyak duit dengan cara yang amat mudah.

Apabila kita masuk bisnes kerana terdorong oleh harapan-harapan palsu, akibatnya kita akan kehilangan lebih banyak duit kerana:

1. Kita tidak memilih dengan hati-hati jenis bisnes yang sesuai dengan pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan kecenderungan kita.

Sebaliknya, kita memasuki jenis bisnes yang kita yakin duit akan masuk dengan cepat dan mudah. Padahal itu hanyalah harapan palsu. Dalam dunia sebenar, tidak ada bisnes yang dapat menghasilkan keuntungan besar dengan cepat dan mudah.

2. Kita tidak melakukan sebarang siasatan terlebih dahulu sebelum memasuki sesuatu bisnes itu.

Sebagai contoh kita tidak bertanya dahulu dengan orang-orang yang pernah terpedaya.

Sebaliknya kita telan bulat-bulat cakap orang yang mempengaruhi kita supaya masuk bisnesnya.

3. Kita tidak berfikir secara kritikal terhadap idea-idea, dorongan dan nasihat yang kita terima.

Orang yang mengajak kita buat bisnes itu seringkali adalah orang yang kita percayai, jadi kita terima bulat-bulat cakap-cakap dan nasihatnya.

Kita tidak ambil kira bahawa orang itu sendiri tidak pernah terlibat dalam dunia bisnes, oleh itu cakap-cakapnya adalah cakap kosong, walaupun bunyinya macam cakap orang bijaksana....


Tekanan Kejayaan


Apabila seseorang itu membuat keputusan tidak mahu bekerja makan gaji, sebaliknya mahu memulakan bisnes sendiri, salah satu tekanan psikologi besar yang dialaminya adalah tekanan mahu membuktikan bahawa keputusannya itu terbukti lebih baik.

Tekanan itu datang daripada keperluan menjaga maruahnya di hadapan ibu bapa, isteri, anak-anak, adik-beradik, dan kaum keluarganya. Tekanan juga datang daripada rakan-rakan sekerjanya dahulu dan jiran tetangga.

Justeru dia tertekan mahu membuktikan bahawa sebagai peniaga dia lebih berjaya daripada hidup makan gaji. Sebagai bukti, dia sudah mampu memiliki apa yang dia tidak mampu miliki semasa makan gaji.

Ini adalah salah satu faktor mengapa banyak peniaga cepat-cepat membeli kereta yang lebih besar dan lebih mahal daripada kemampuannya waktu itu.

Jadi, dia hanya mampu kereta kancil tetapi dia membeli Proton Waja, ataupun dia hanya mampu Proton Waja tetapi dia membeli Proton Perdana.

Akibat daripada tindakan membeli bukti-bukti kejayaan palsu itu, wang yang sepatutnya digunakan bagi tujuan perniagaan, seperti membayar sewa, gaji dan hutang-hutang pembekal, terpaksa digunakannya bagi membayar kereta besar itu.



Mula dari Bawah


Tuan Roslan Abdul Hamid, seorang rakan FaceBook menulis:


Pengalaman saya, saya dilatih dari usia 20-an oleh seorang mentor yang bermula dari bawah. Maksudnya usahawan kecil, sehinggalah dia menjadi usahawan besar. Jadi cara dia melatih saya semuanya mesti kecil dulu. Ofis dalam kereta. Buat sendiri. Buka syarikat dengan modal kecil dan sebagainya.

Selepas 20 tahun, saya dapat berdiri sendiri.

Ada beberapa syarikat yang saya cuba berkongsi dengan tokoh pemimpin. Nyata mereka berminda orang besar. Belum mula apa-apa, ofis mahu sewa puluhan ribu, kereta, secretary, elaun keraian cecah puluh ribu sebulan.

Walau belum apa-apa sudah habis dekat setengah juta, mana modal untuk buat niaga.

Saya fikir mereka yang bergelar orang-orang besar ini ada masalah psikologi.

Perniagaan akan berjaya kalau kita jadi macam Lao Bang (towkay) yang pakai baju pagoda. Tiru cara mereka berniaga...




2 Jenis Bakat Bisnes


Ada dua jenis orang bisnes:

(i) Entrepreneur: Mereka menjalankan modal mereka sendiri dengan menubuhkan syarikat sendiri. Manusia jenis ini mempunyai ciri-ciri psikologinya sendiri.

(ii) Intrapreneur: Mereka bertugas dalam syarikat dan menjalankan modal yang dimiliki oleh pemegang saham. Golongan ini mempunyai ciri-ciri psikologinya sendiri.

Banyak orang korporat yang amat berjaya di tempat kerja mereka, kemudian mereka berhenti kerja dan membuka bisnes sendiri, kerana mereka yakin jika mereka boleh buat berjuta-juta untuk syarikat orang lain, maka tentu mereka boleh buat berjuta-juta untuk syarikat milik sendiri.

Kemudian mereka gagal, kerana mereka mempunyai bakat intrapreneur, bukan bakat entrepreneur.....