Buka Bisnes Baru dengan Produk Lama


Lebih daripada sembilan puluh sembilan peratus (99%), malah hampir 100%, barang ataupun perkhidmatan yang kita beli adalah produk-produk lama. 


Maksudnya, produk itu pernah kita beli sebelumnya, bukan produk yang baru dicipta dan diperkenalkan dalam pasaran.

Jadi, apabila kita mahu memulakan bisnes, mulakan dengan menawarkan produk lama, cuma kualitinya lebih baik, diiringi dengan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik.

Tengok apa yang ada di dalam peti sejuk kita. Tengok apa yang ada di dalam dapur kita. Tengok apa yang ada di dalam rumah kita. 


Mulakan bisnes dengan menawarkan produk-produk itu.



.

Produk itu Penting, tetapi Perancangan Produk adalah Lebih Penting


Banyak orang yang sedang hendak memulakan bisnes memberi perhatian serius kepada produk apa yang mahu dijual. Itu sahaja.

Memang produk penting, tetapi apa yang disebut sebagai 'perancangan produk' atau 'product planning' adalah lebih penting peranannya dalam kejayaan bisnes.

Ambil sebagai contoh, saya pernah pergi ke suatu kenduri kahwin. Antara hidangannya adalah cendol yang disediakan di satu sudut khas. Memang cendolnya sedap.

Disebabkan cendolnya sedap, banyaklah hadirin mahu makan cendol, lalu banyaklah yang berkerumun menunggu cendol mereka disediakan. Masa yang diambil menjadi lama sehingga hadirin hilang sabar. Tuan rumah geleng-geleng kepala dengan muka rasa tidak puas hati apabila memerhatikan situasi itu.

Pembuat cendol itu mempunyai resipi cendol yang baik, tetapi perancangan produknya sungguh buruk. Beliau membuat cendol menggunakan mesin kisar air batu elektrik. Itulah yang menyebabkan tempoh menunggu jadi lama.

Saya juga pernah hadir majlis kenduri lain yang juga menghidangkan cendol. Resipinya biasa-biasa sahaja. Pembuatnya menggunakan ais tiub sahaja. Ia menjadikan proses penyediaan cendolnya sangat pantas. Tuan rumah puas hati melihat kepantasan kerja itu.

Dalam bisnes makanan, resipi adalah salah satu faktor dalam perancangan produk. Ada banyak faktor lain yang mesti dimasukkan ke dalam perancangan produk.

Banyak orang dalam bisnes makanan mempunyai resipi yang baik tetapi gagal disebabkan perancangan produknya tidak cukup baik.


 

Strategi Menetapkan Harga

Ada 2 strategi menetapkan harga:

1. Harga perkhidmatan awam. Contoh: Harga repair di bengkel kereta biasa.

2. Harga perkhidmatan pakar. Contoh: Harga repair di bengkel kereta BMW.

Branding-kan diri kita sebagai seorang pakar bidang, supaya kita dapat mengenakan harga premium.

Contoh branding sebagai pakar:

Kita membuka kedai dobi dry-cleaning. Iklankan kedai kita sebagai pakar dry-cleaning bahan-bahan yang terbuat daripada kulit dan suede.

Dengan itu, kita dapat mengenakan caj yang lebih tinggi untuk dry-cleaning bahan-bahan biasa juga.

Satu lagi contoh branding sebagai pakar:

Kita membuka bisnes lanskap. Iklankan bisnes kita sebagai pakar lanskap rumah di lereng bukit, ataupun lanskap rumah berkolam renang.

Apabila pelanggan tahu kita memiliki kepakaran, mereka bersedia membayar harga lebih tinggi meskipun rumah mereka bukan di lereng bukit ataupun tidak mempunyai kolam renang.

Pakar adalah orang yang diyakini akan menjalankan sesuatu pekerjaan pada kualiti lebih tinggi daripada bukan pakar.