Peribadi Kita adalah Modal Utama Bisnes Paling Berharga


Jikalau tuan sedang memikir-mikir mahu terjun ke dalam dunia bisnes, salah satu persediaan yang sangat penting adalah menjadikan diri kita sendiri sebagai modal paling utama perniagaan kita.

Kita ikut strategi Nabi Muhammad berniaga.

Syarat (i) kita mesti mempunyai sifat sidiq, yakni sentiasa berkata benar, tidak akan pernah berdusta dan menipu, kerana sifat ini akan membuat orang percaya kepada kita, lalu mereka suka berbisnes dengan kita, pelanggan pun suka menyerahkan wang mereka kepada kita.

Syarat (ii) kita mesti berpegang teguh kepada prinsip amanah. Apabila kita amanah, barulah pemodal (bank, individu) berani memberi kita wang bagi memodali bisnes kita sebab mereka yakin wang mereka selamat dan kita akan bayar hutang mereka, satu sen pun tidak berkurang.

Syarat (iii) kita mesti buat kerja-kerja tabligh, iaitu kita menyampaikan ilmu bisnes yang kita miliki kepada orang-orang lain, yakni kita akan tolong bisnes orang lain supaya maju.

Syarat (iv) kita mesti membangunkan sifat fatonah (kepintaran, bakat, aptitud, skill) dalam diri kita, yakni kita sentiasa mempelajari ilmu-ilmu yang meningkatkan kepintaran kita menjalankan bisnes, biarpun itu bermakna kita harus belajar daripada tukang penyapu kita sendiri....



Pentingnya Menjadi 'Budak Baik' dalam Komuniti Bisnes


Syarikat kita perlu membina reputasi baik, supaya di kalangan sesama orang bisnes, mereka memandang syarikat kita sebagai 'budak baik'.

Maksud syarikat yang dilihat sebagai "budak baik" adalah syarikat yang berdisiplin membayar hutang piutang, tidak menipu pembekal, tidak menipu pelanggan, suka menolong sesama bisnesman lain, dan banyak berbuat baik kepada masyarakat.

Teramat banyak kaitan antara imej budak baik dengan kejayaan syarikat:

1. Nama baik adalah modal utama perniagaan. Disebabkan kita mempunyai nama baik, bank dan pembekal lebih mudah memberikan kredit dan modal.

2. Adalah fitrah manusia mereka suka menyerahkan wangnya kepada orang-orang yang baik. Justeru pelanggan suka membeli daripada kita.

3. Pegawai dan kakitangan syarikat mempunyai maruah yang elok apabila mereka berkerja dengan syarikat yang dipandang baik oleh masyarakat. Oleh itu mereka lebih setia kepada kita.





Modal Utama Bisnes


Wang bukan modal utama bisnes. Tanpa memiliki wang pun kita masih dapat memulakan bisnes.

Modal utama bisnes adalah kepercayaan pemodal ke atas diri kita. Apabila diri kita dipercayai orang, maka akan ada orang-orang yang sanggup memberikan kepada kita wang sebagai modal bisnes.

Faktor utama yang mendorong orang mempercayai diri kita bukanlah ijazah kita.

Kita menjadi orang yang terpercaya apabila kita mempunyai rekod bersih daripada kesalahan bercakap bohong.



Modal Kepercayaan


Kepercayaan rakan peniaga adalah modal utama dalam bisnes.

Apabila kita dipercayai oleh rakan-rakan peniaga kita, mereka berani memberi kita kredit barang-barang yang kita perlukan dengan tidak meminta apa-apa sebagai cagaran. Ini membolehkan kita memulakan bisnes dengan modal tunai yang kecil.

Dalam budaya bisnes orang Cina, mereka sangat mementingkan rekomendasi dari orang-orang yang mereka percayai. Pembekal Cina hanya berani memberikan bekalan secara kredit jika seseorang itu diberikan rekomendasi oleh orang-orang bisnes lain yang mereka sangat percayai.

Justeru, adalah sangat penting kita mendapatkan kepercayaan 1 orang peniaga Cina dahulu. Dia nanti akan memberikan rekomendasinya kepada peniaga Cina lain tentang akhlaq kita sebagai peniaga.

Dalam bisnes, kita mesti bayar hutang dengan berdisiplin. Itulah tiket bagi mendapatkan kepercayaan rakan-rakan peniaga.

Apabila kita berjanji, kita mesti berpegang teguh kepada janji kita. Yang paling dipentingkan oleh peniaga Cina adalah janji membayar hutang. Apabila kita berdisiplin membayar hutang barulah nanti kita dapat dipercayai oleh pembekal-pembekal Cina.

Nota tambahan:

Nabi Muhammad digelar "Al Amin" yang bermakna "Orang yang Dipercayai". Akhlaq beliau sebagai peniaga sangat tinggi.

Dalam buku "Muhammad Sebagai Seorang Pedagang" karya Profesor Afzalurrahman, edisi terjemahan Indonesia, terbitan Yayasan Swarna Bhumy, 1997. Judul asalnya "Muhammad as a Trader" ada maklumat yang sangat menarik tentang akhlaq beliau.

Abdullah bin Abdul Hamzah melaporkan, katanya, "Saya pernah membeli barang daripada Muhammad, iaitu sebelum beliau menjadi nabi. Disebabkan urusan saya dengan beliau belum selesai, maka saya berjanji akan menghantarkan barang kepadanya, tetapi kemudian saya terlupa. Tiga hari kemudian baru saya teringat, lalu saya pun pergi ke tempat yang dijanjikan, dan saya dapati beliau masih berada di situ menunggu saya. Dia berkata kepada saya, 'Tuan membuat saya resah. Sudah tiga hari saya menunggu tuan di sini.'" - Peristiwa ini direkodkan oleh pakar hadith yang bernama Abu Daud.




.

Peniaga Cina dan Pembela Burung Puyuh Melayu


Tuan Azahari Waid, seorang rakan FB saya menulis:

"Dulu ayah saya peniaga burung puyuh. Kadang-kala bekalan dedak burung puyuh tidak cukup dan juga hutang belum diselesaikan.

Ayah saya pergi berjumpa dengan pekedai Cina itu yang hutangnya belum dibayar dan memohon memberikan dahulu bekalan makanan dedak tersebut sementara puyuh tersebut boleh dijual.

Pekedai Cina tersebut memberikannya kerana percaya kepada ayah saya kerana tidak pernah lari membayar hutang. Walaupun di waktu kekurangan duit dia masih menunjukkan muka dan tidak lari begitu sahaja ataupun mencari kedai lain untuk berhutang."




Tingkah Laku Peribadi Perlu Serupa dengan Tingkah Laku Bisnes


Kajian-kajian pakar psikologi mendapati, dalam diri setiap orang, terdapat 2 diri: diri sebagai peribadi, dan diri sebagai 'orang awam'. Kedua-dua diri itu mempunyai tingkah laku yang tidak semestinya serupa.

Sebagai contoh, sebagai diri peribadi, seseorang itu bersembahyang dan berpuasa, tetapi sebagai diri profesional, dia bekerja dengan bank konvensional yang berdasarkan riba, dengan sedikit pun tidak berasa bersalah, malah berasa bangga.

Sebagai contoh lain, sebagai diri peribadi seseorang itu naik haji, tetapi sebagai bisnesman dia menipu pelanggannya, tidak membayar wang caruman EPF pekerjanya dan lain-lain lagi.

Sebagai orang bisnes, apabila tingkah laku kita sebagai diri peribadi tidak selaras dengan tingkah laku kita sebagai orang bisnes, bisnes kita takkan dapat maju dan berkembang pesat disebabkan kita tidak memiliki ketampanan sosial.

Ketampanan sosial adalah salah satu unsur mengapa orang suka berurusan dengan bisnes kita.





.