Jangan Berebut Peluang


Orang Melayu jangan lagi diajar supaya pandai "merebut peluang" yang ada.

Kepandaian merebut peluang adalah kepandaian yang pasif kerana mereka diajar supaya menunggu sahaja sehingga ada peluang yang dicipta oleh tangan-tangan lain, barulah kemudian orang Melayu berebut-rebut sesama sendiri. Jika tiada tangan lain mencipta peluang, maka mereka tiada apa-apa yang mahu direbutkan.

Sebaliknya, ajarlah orang Melayu bagaimana mereka boleh pandai "mencipta peluang" bagi diri masing-masing. Kepandaian ini adalah kepandaian yang kreatif serta proaktif.


.

Berniaga Bukan Berperang


Banyak para motivator keusahawanan mengajar peserta kursus supaya belajar bersaing dengan keyakinan kononnya bisnes hanya boleh hidup dan berkembang apabila kita pandai bersaing.
 

Dalam budaya bisnes orang Amerika, mereka memandang bisnes sebagai sejenis peperangan, lalu dalam buku-buku pengurusan bisnes tulisan pakar-pakar Amerika para manager diajar supaya mengaplikasikan strategi-strategi peperangan dalam bisnes.

Disebabkan buku-buku pengurusan perniagaan terbitan Amerika banyak dijual dan dibaca di negara ini, pengurus dan peniaga tempatan sangat terpengaruh oleh nilai-nilai bisnes ala-Amerika. 

Dalam budaya bisnes Islam, perniagaan adalah sejenis kebajikan, justeru dengan berniaga kita melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan.

Dengan itu Islam tidak menggalakkan orang bisnes mempunyai mentaliti orang yang berperang, yang berusaha mengalahkan para peniaga lain demi survival bisnesnya sendiri.



.

Semakin Bersaing, Semakin Kurang Berjaya


Tingkah laku suka bersaing dan suka menang dengan cara mengalahkan orang lain ada kaitannya dengan nilai-nilai budaya.


Dalam sesetengah budaya sikap suka bersaing diberi nilai positif. Manakala dalam sesetengah budaya mereka memberikan nilai negatif kepada sikap suka mengalahkan orang lain.

Suatu laporan kajian yang saya baca memberitahu beribu-ribu penyelidikan dan juga eksperimen pernah dijalankan bagi mengetahui apakah strategi kompetitif (sikap suka bersaing) ataupun strategi kooperatif (sikap suka berkerjasama) yang efektif dalam kejayaan.

Menurut laporan itu hampir semua kajian dan eksperimen itu menghasilkan penemuan bahawa strategi kooperatif menghasilkan kejayaan yang lebih tinggi.


Kekecualian hanya berlaku di kalangan pemain chess, di mana didapati sikap suka bersaing amat tinggi di kalangan mereka.

Di kalangan salesman, didapati salesman yang suka membantu rakan-rakan salesman lain menunjukkan rekod jualan mereka lebih tinggi dibandingkan dengan salesman yang kuat bersaing.

Di kalangan saintis, didapati saintis yang suka membantu saintis lain menghasilkan lebih banyak laporan saintifik yang terbit dalam jurnal.

Di kalangan pengurus, didapati pengurus yang suka berkerjasama dengan pengurus lain menerima gaji yang lebih tinggi.

NOTA: Saya melakukan pemerhatian di kalangan penulis-penulis PTS sendiri. Didapati penulis-penulis yang mempunyai sikap suka berkerjasama dengan editor, suka menolong penulis-penulis lain, mereka menerbitkan lebih banyak judul, jualan buku mereka lebih tinggi, dan pendapatan royalti mereka lebih besar.





.

Strategi Menyisihkan Pesaing adalah Strategi Salah


Dalam perniagaan, jangan kita bersaing. Ia adalah prinsip yang salah lagi merugikan.

Strategi bisnes yang betul dan menguntungkan adalah di mana kita menolong bisnes orang-orang lain, termasuk bisnes mereka yang produknya serupa dengan produk kita.


Bagi setiap orang yang kita anggap sebagai pesaing, kita sudah mencipta seorang musuh kepada bisnes kita sendiri.

Bagi setiap orang yang bisnesnya pernah kita tolong, kita sudah mengurangkan seorang yang berpotensi menjadi pesaing kita. 


Orang yang pernah kita tolong akan melakukan 2 perkara yang menguntungkan bisnes kita:

1. Dia akan membalas budi kita dengan bercakap baik tentang diri kita dan bisnes kita. Dalam erti kata lain, dia akan jadi duta kita.


2. Dia akan menyampaikan kepada kita maklumat tentang orang-orang yang memburuk-burukkan kita, jika ada. Dalam erti lain, dia akan menjadi pembela kita.


Jangan Bunuh Bisnes Pesaing


Banyak pakar strategi bisnes Barat yang menyamakan bisnes dengan peperangan. Banyak sekali buku-buku tulisan ahli strategi bisnes Barat yang mengajarkan mazhab "perang bisnes". Sampai-sampai ada buku yang mengajarkan bagaimana menggunakan prinsip-prinsip peperangan oleh Tsun Tze dalam bisnes.

Saya peribadi tidak menganuti fahaman 'bisnes adalah peperangan'.

Saya tidak akan masuk bisnes dengan membunuh bisnes sesiapa. Malah saya akan tolong orang lain mengembangkan bisnes mereka, meskipun mereka berniaga dalam sektor yang sama dengan saya sendiri. (Itu yang mendorong saya membuka blog saya ( http://universitipts.com ) di mana saya kongsikan apa-apa yang saya tahu berkenaan bisnes penerbitan buku.)

Tidak ada nas, baik dalam Quran mahupun hadith, yang menganjurkan supaya kita bersaing dan saling 'bunuh membunuh' dalam bisnes.

Nabi Muhammad adalah seorang bisnesman, namun tidak ada catatan hadith di mana beliau menganjurkan kita supaya berniaga dengan semangat peperangan, ataupun dengan menggunakan strategi dan taktik peperangan.

Meskipun strategi flanking digunakan dalam strategi peperangan, namun saya menganjurkan supaya kita belajar melakukan flanking dalam bisnes kerana flanking tidak semestinya "mengalahkan pesaing" apatah lagi "membunuh pesaing".

Sebaliknya, flanking membolehkan kita memasuki teritori Budak Besar. Itu sahaja. Maksudnya, kita bukan hendak bersaing dengan budak-budak besar itu. Kita cuma hendak 'membuka kedai' dalam padang di mana mereka sudah membuka kedai besar.

Dengan cara mem-flanking Budak-budak Besar itu, mereka tidak akan mati. Mereka terus membesar. Pada waktu yang sama bisnes kita juga survive, dan dapat membesar.





Risiko Bersaing


Budaya bersaing sudah menjadi budaya dalam kalangan peniaga. Kita diasuh supaya yakin bahawa kalau kita mahu berjaya dalam perniagaan maka kita wajib pandai bersaing.


Dalam berniaga jangan bersaing kerana apabila kita bersaing kita akan menjadikan pesaing-pesaing kita itu sebagai fokus pemikiran kita.

Salah satu tindakan kita bersaing adalah kita mencari jalan bagaimana mahu menurunkan harga produk kita supaya lebih murah daripada harga yang ditawarkan oleh pesaing-pesaing kita. 


Kita juga mahu menaikkan kualiti barang kita supaya lebih baik daripada kualiti produk yang ada dalam pasaran. 

Kita mahu melawan langkah-langkah promosi yang mereka gunakan. 

Kita mahu mencuri pelanggan mereka. 

Kalau dapat, kita mahu membunuh bisnes mereka.

Semangat persaingan yang tinggi menyebabkan persaingan itu sendiri sudah menjadi matlamat kita. Akibatnya otak, duit, masa dan tenaga kita gunakan bagi memenangi persaingan. Perniagaan kita sendiri sudah tidak lagi menjadi fokus. 


Kita lakukan sesuatu sebab hendak melawan pesaing-pesaing, bukan kerana kita hendak menawarkan apa yang sebenarnya dimahukan oleh pelanggan kita.


 

.

Menolong Bisnes Rakan Sederet


Apabila kita membuka gerai ataupun menyewa kedai, tentulah kita mempunyai banyak rakan-rakan sesama peniaga yang sederet dengan gerai ataupun kedai kita.

Kita perlu membantu bisnes rakan-rakan sederet kita supaya maju, barulah bisnes kita sendiri akan maju.

Walaupun bisnes mereka serupa dengan bisnes kita, kita perlu membantu bisnes mereka, demi membantu bisnes kita sendiri.

Orang ramai suka datang ke kawasan di mana semua gerai-gerai di situ maju-maju belaka. Inilah yang menyebabkan kita gerai kita takkan maju apabila gerai sebelah-menyebelah kita tidak maju.

Manusia suka membeli di kawasan yang menawarkan banyak pilihan yang bagus-bagus belaka. Semakin banyak jumlah gerai di sesuatu kawasan itu, semakin orang ramai suka datang ke situ.



Strategi Positioning


Apabila kita memasuki pasaran yang sudah banyak pemainnya dan produknya, strategi positioning menjadi kritikal pada kejayaan bisnes kita.

Ambil sebagai contoh, kes pasaran mi segara. Pada masa ini rak-rak mi segera dalam kedai dan supermarket sudah sesak oleh banyaknya jenis mi segera. Ia menunjukkan bahawa pasaran mi segera adalah amat besar, itulah sebabnya banyak peniaga yang mahu mengambil bahagian dalam pasaran itu.

Ia juga menunjukkan pasaran mi segera itu sudah menjadi Laut Merah, yakni pasaran yang sudah ada pemain 'Big Boys' di dalamnya. 

Banyak mi segera dengan jenama baru masuk, banyak yang kemudian hilang, tidak timbul-timbul lagi.

Salah satu puncanya adalah pemain baru itu tidak melakukan strategi positioning.

Mengambil contoh dunia penerbitan, pasaran novel popular sudah menjadi Laut Merah, yakni pasaran yang persaingannya sangat sengit disebabkan sudaha ada 'Big Boys' di dalamnya. 

Banyak penerbit baru cuba memasuki sektor novel cinta, banyak yang kemudian hilang, tidak timbul-timbul lagi.

Malah ada beberapa penerbit besar cuba masuk, tetapi mereka menerima nasib yang serupa juga. Mereka gagal bersaing dengan 'Big Boys' yang sudah mendominasi pasaran itu.

Ini tidak bermakna apabila laut sudah menjadi merah, pemain baru tidak dapat hendak memasukinya lagi. Ini bermakna penerbit baru yang mahu memasuki pasaran novel cinta perlu menggunakan strategi positioning yang betul.

Menurut sebuah pengedar novel yang terbesar di negara ini, setiap bulan antara 25 - 30 judul novel popular diterbitkan dan dibekalkan ke kedai-kedai buku. (PTS adalah satu pemain sektor ini.) Manakala setiap pembaca hanya membeli antara 1 ataupun 2 judul sahaja sebulan, kerana itulah wang yang mereka mampu sediakan untuk bajet buku.

Jadi, bayangkan betapa sengitnya persaingan antara novel-novel popular.

Menurut pakar-pakar marketing, apabila seseorang itu berdepan dengan banyak pilihan, bagi mengurangkan risiko tersalah pilih, mereka akan memilih berdasarkan apa yang biasa mereka pilih.

Sebagai contoh, jika sebelumnya mereka suka membeli novel-novel cinta popular terbitan Syarikat ABC, maka itulah yang mereka pilih. Mereka tidak mahu tersalah beli sekiranya mereka mencuba novel terbitan syarikat yang baru muncul.

Begitu juga, jika mereka biasa membeli novel karya pengarang Si Fulan, mereka akan beli novel terbaru Si Fulan, sebab mereka tidak mahu tersalah beli novel penulis baru yang belum pernah mereka baca sebelumnya.

Strategi positioning, bermakna kita perlu menentukan tempat atau keududukan produk kita. Kita perlu menjawab 2 persoalan:

(1) Apa bezanya buku kita daripada buku-buku lain yang sejenis, yang sudah berlambak dalam pasaran?

(2) Apa kelebihan-kelebihan yang ada dalam buku kita dibandingkan dengan buku-buku lain itu?

Dengan menjawab 2 persoalan di atas, buku-buku kita akan mempunyai (i) Brand identity (identiti brand), dan (ii) Brand personality (personaliti brand).

Unsur identiti dan personaliti ini sangat penting peranannya dalam startegi branding dan pricing (harga jualan). 

Produk yang mempunyai identiti dan personaliti sanggup dibeli orang meskipun harganya mahal sedikit daripada harga produk pesaing.

Produk yang tidak mempunyai identiti dan personaliti akan jatuh tarafnya menjadi 'komoditi' yang berlambak-lambak dalam pasaran. Komoditi tidak mempunyai kelompok 'peminat'.

NOTA: Strategi positioning adalah salah satu daripada 3 mata pedang yang digunakan dalam strategi flanking.



Menolong Bisnes Orang Lain Supaya Maju


Apabila kita berniaga, banyak peniaga lain di sekeliling kita mungkin menganggap kita adalah pesaing mereka. Ini kerana mereka termakan dengan cakap-cakap kononnya jikalau kita mahu berjaya dalam perniagaan kita mestilah pandai bersaing.


Budaya Asia, khususnya budaya Melayu adalah budaya kooperatif, bukan budaya kompetitif. 

Dalam budaya kooperatif, anggotanya mengutamakan nilai-nilai kerjasama dan tolong menolong. Ini sangat berbeza dengan budaya kompetitif yang percaya jika mahu berjaya kita perlu mengalahkan orang-orang lain.

Salah satu cara bagaimana kita dapat mengelakkan bisnes kita daripada dianggap sebagai pesaing yang mesti dikalahkan oleh para peniaga lain di sekeliling kita adalah dengan banyak membantu bisnes mereka.

Cari peluang di mana kita dapat membantu peniaga lain supaya perniagaan mereka maju. Tolong mereka dengan apa-apa cara sahaja. Jangan tunggu sehingga mereka minta tolong baru kita tolong. Mulakan dengan kita menolong mereka.

Memberi maklumat yang relevan dengan perniagaan adalah cara menolong yang sangat baik. Apabila kita mempunyai maklumat, berikan maklumat itu tanpa diminta.

Sesiapa sahaja yang pernah kita tolong tidak akan memusuhi kita. Malah mereka akan membalas budi kita dengan menolong kita apabila mereka lihat kita memerlukan pertolongan. Jadi mereka tidak akan menganggap kita sebagai pesaing, sebaliknya mereka akan layan kita sebagai rakan seperniagaan mereka sendiri.



.

Pentingnya Insurans Sosial dalam Kejayaan Bisnes


Insurans sosial (social insurance) adalah polisi insurans yang sangat penting dalam dunia bisnes dan kerjaya.

Polisi insurans jenis ini tidak ada dijual oleh wakil2 takaful, TETAPI dapat 'dibeli'. Cara membelinya adalah dengan menanam budi di mana-mana kita berada.

Apabila kita memerlukan bantuan, mereka yang pernah menerima budi kita tidak akan membiarkan kita. Inilah yang diistilahkan sebagai insurans sosial.

Dalam dunia bisnes, ada idiom yang berbunyi 'kawan tolong kawan'.

Kawan-kawan kita adalah insurans sosial kita. Mereka adalah sumber bantuan yang lebih mahal harganya daripada pinjaman bank.

Tetapi tidak semua kawan akan membantu bisnes kita, hanya kawan-kawan yang pernah kita tolong sahaja yang akan membalas budi pertolongan kita itu.



.