Baju Penjual Nasi Lemak


Baju yang dipakai oleh penjual adalah salah satu faktor yang berfungsi sebagai iklan.

Saya melakukan pemerhatian antara dua penjual nasi lemak perempuan. Kedua-dua perempuan menjual nasi lemak dan sedikit kuih-kuih dengan membuka meja di bawah payung di tepi jalan di sebuah kawasan perkilangan.

Kedua-duanya memakai tudung.

Yang seorang sentiasa memakai baju kurung yang bersih dan bergosok. Beliau tidak berapa cantik, dan usinya sudah lebih 40 tahun. Tudungnya jenis skarf, dan beliau memakai pin tudung yang cantik. Kasutnya jenis selipar murah tetapi bersih. Lebih banyak kereta dan motorsikal berhenti di gerainya, dan jualannya lebih cepat habis.

Yang seorang lagi lebih muda, kulitnya lebih cerah, tetapi dia suka memakai seluar dan T-shirt. Tudungnya jenis serkup sahaja. Dia kerap memakai selipar jepun sahaja.



Menjual adalah Kerja Mudah


Orang yang belum pernah berniaga lazimnya menyangka bahawa kerja yang paling susah adalah menjual.

Bukan, bukan menjual yang paling susah. Menjual adalah kerja yang paling senang. Semua orang boleh menjual. Apa-apa sahaja dapat dijual.

Dalam bisnes, ada dua proses yang berbeza. Satu menjual. Satu lagi mengutip bayarannya.

Kalau kita menjual aiskrim menggunakan motosikal, proses menjual dan mengutip bayaran berlaku pada waktu yang sama.

Dalam bisnes besar, amalan jual-bayar serentak itu tidak berlaku. Segala-galanya menggunakan sistem kredit – jual beli secara hutang.

Kerja yang paling susah dalam perniagaan adalah MENGUTIP HUTANG!

Jurujual Tidak Perlu Banyak Bercakap


Sebenarnya, banyak orang dilahirkan dengan mempunyai bakat menjadi jurujual, tetapi mereka tidak memasuki bidang ini. Sebaliknya mereka makan gaji.

Bidang kejurujualan adalah sangat menguntungkan kerana kita berpeluang menikmati pendapatan yang tidak ditetapkan oleh pihak lain.

Antara faktor mengapa mereka tidak memasuki profesion kejurujualan adalah disebabkan mereka mempunyai banyak salah sangka berkenaan profesion ini.


Bagi menjadi seorang jurujual, kita hanya memerlukan bakat dan kemahiran menjual.

Kemahiran menjual memerlukan bakat dan kemahiran mempengaruhi orang-orang lain.

Kita tidak memerlukan bakat petah bercakap, dan bakat tak malu bercakap. Kita dapat mempengaruhi orang dengan cara diam, tutup mulut, tak bercakap-cakap.

Tetapi banyak jurujual (yang belum menerima latihan profesional) cuba menjual dengan banyak bercakap, terutamanya jurujual perempuan.

Tingkah laku banyak-cakap mudah menyebabkan orang menjadi benci. Lelaki Melayu khususnya tidak suka perempuan banyak cakap....

Orang Bisu pun Dapat Menjual


Siapa kata menjadi jurujual kita wajib petah bercakap?

Pada suatu masa saya sedang makan di dalam restoran Mamak.

Ada seorang gadis Cina berdiri di depan restoran itu. Di bahunya dia menyandang beg yang berisi setokin lelaki dan setokin perempuan.

Tangan kanannya memegang sampel-sampel setokin yang dijualnya.

Tangan kirinya pula memegang kertas yang ditulis: "I can't speak." (Saya tidak dapat bercakap.)

Seperti banyak orang lain yang keluar restoran lalu singgah membeli setokinnya, semasa saya keluar saya juga pergi kepadanya dan membeli sepasang setokinnya.





Risiko Memberi Komisen Berdasarkan Jualan


Dalam banyak syarikat, komisen jualan hanya diberikan kepada salesman. Tujuannya adalah bagi mendorong salesman menjual dengan sebanyak-banyaknya.

Di syarikat seperti itu, jumlah komisen yang diberikan kepada salesman itu dikira daripada jualan yang mereka buat. Semakin banyak yang mereka dapat jual, semakin banyak komisen yang mereka terima.

Formula ini mempunyai risiko yang sangat ketara. Disebabkan salesman diberi komisen berdasarkan "jualan", maka fokus mereka adalah pada "menjual". Dengan objektif mahu menaikkan sales, mereka mungkin melakukan pelbagai cara - (cara betul, dan cara salah) - semata-mata bagi merekodkan "sales".

Saya tahu bagaimana seorang salesman di sebuah penerbitan berjaya menaikkan jumlah sales-nya. Dia berpakat dengan kedai-kedai buku supaya membuat bulk-display. Kedai-kedai buku itu pun membuat pesanan 50 naskhah bagi judul yang hendak dijadikan bulk-display.

Dengan cara itu, si salesman berjaya menaikkan jumlah sales-nya dengan mendadak. Komisennya pada bulan itu pun naik mendadak. Tetapi 3 bulan kemudian buku-buku itu dipulangkan oleh kedai buku sebab tidak laku, sedangkan komisen sudah dibayar kepadanya....

Nota: Di PTS komisen dibayar kepada semua staf, bukan kepada salesman sahaja. Komisen dikira berdasarkan jumlah hutang yang dapat ditagih pada bulan itu.




.

Menjual Diri Kita


Diri kita adalah modal perniagaan yang paling penting peranannya, bukan modal duit, bukan juga modal produk.

Dalam proses jual-beli, ada fasa-fasanya:

FASA 1: Orang membeli diri kita dahulu.

FASA 2: Mereka membeli produk ataupun perkhidmatan kita.

Dalam fasa1, apabila orang itu menaruh kepercayaan kepada kita, itu bermakna dia sudah membeli kita.

Cara yang paling mudah bagi kita mendapatkan kepercayaan orang adalah dengan menjadi orang yang bersifat al-Amin, yakni 'yang amanah'.

Selepas fasa 1 ini, di mana orang yakin bahawa kita seorang yang amanah, maka hasilnya amat mudah kita memasuki fasa 2, yakni fasa menjual produk kita kepadanya.

Banyak kedai dan jurujual menjual barang-barang yang serupa. Namun, pelanggan akhirnya memilih bagi membeli daripada kedai ataupun jurujual yang mereka percayai sahaja.