Mencari Pengalaman Berniaga


Bagi tuan yang mempunyai rancangan mahu menjadi bisnesman, ada baiknya tuan bekerja dahulu dengan syarikat yang aktivitinya serupa dengan bisnes yang tuan mahu ceburi.

Sebagai contoh, tuan mahu membuka kedai buku, ada baiknya tuan bekerja dahulu dengan syarikat pengedar buku, ataupun syarikat rangkaian kedai buku.

Dengan demikian tuan mempunyai peluang mendapatkan gambaran dan maklumat yang sangat berharga tentang dunia bisnes buku. Ini membantu tuan mengelakkan daripada melakukan kesilapan-kesilapan yang amat asas apabila memulakan bisnes sendiri.

Inilah yang dilakukan oleh kedai-kedai makan ataupun restoran Mamak. Mereka yang membuka kedai makan Mamak semuanya pernah bekerja dalam kedai Mamak lain. Itulah sebabnya kita takkan berjumpa kedai makan Mamak tutup bisnes!

Lain ceritanya dengan kedai makan Melayu....



Membuka Bisnes kerana Didorong oleh Harapan Palsu


Banyak orang terjun ke dalam dunia bisnes disebabkan mereka terdorong oleh harapan-harapan palsu. Akibatnya, mereka bukan mendapat keuntungan malah semakin kerugian.

Harapan-harapan palsu itu mungkin datang dari dalam diri kita sendiri, ataupun mungkin datang dari luar, yakni akibat termakan cakap orang-orang lain yang memberikan harapan-harapan palsu.

Golongan yang paling banyak terjebak oleh harapan palsu adalah mereka yang mempunyai masalah kewangan.

Orang-orang yang mengalami masalah selalu tidak cukup duit cenderung mempunyai harapan palsu bahawa dengan masuk dunia bisnes maka dia akan mendapat banyak duit.

Ataupun, seseorang itu masuk dunia bisnes sebab terpengaruh oleh orang lain - (biasanya kawan sendiri) - yang mengajaknya masuk bisnes dengan memberikan cerita yang muluk-muluk tentang peluang membuat banyak duit dengan cara yang amat mudah.

Apabila kita masuk bisnes kerana terdorong oleh harapan-harapan palsu, akibatnya kita akan kehilangan lebih banyak duit kerana:

1. Kita tidak memilih dengan hati-hati jenis bisnes yang sesuai dengan pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan kecenderungan kita.

Sebaliknya, kita memasuki jenis bisnes yang kita yakin duit akan masuk dengan cepat dan mudah. Padahal itu hanyalah harapan palsu. Dalam dunia sebenar, tidak ada bisnes yang dapat menghasilkan keuntungan besar dengan cepat dan mudah.

2. Kita tidak melakukan sebarang siasatan terlebih dahulu sebelum memasuki sesuatu bisnes itu.

Sebagai contoh kita tidak bertanya dahulu dengan orang-orang yang pernah terpedaya.

Sebaliknya kita telan bulat-bulat cakap orang yang mempengaruhi kita supaya masuk bisnesnya.

3. Kita tidak berfikir secara kritikal terhadap idea-idea, dorongan dan nasihat yang kita terima.

Orang yang mengajak kita buat bisnes itu seringkali adalah orang yang kita percayai, jadi kita terima bulat-bulat cakap-cakap dan nasihatnya.

Kita tidak ambil kira bahawa orang itu sendiri tidak pernah terlibat dalam dunia bisnes, oleh itu cakap-cakapnya adalah cakap kosong, walaupun bunyinya macam cakap orang bijaksana....


Tekanan Kejayaan


Apabila seseorang itu membuat keputusan tidak mahu bekerja makan gaji, sebaliknya mahu memulakan bisnes sendiri, salah satu tekanan psikologi besar yang dialaminya adalah tekanan mahu membuktikan bahawa keputusannya itu terbukti lebih baik.

Tekanan itu datang daripada keperluan menjaga maruahnya di hadapan ibu bapa, isteri, anak-anak, adik-beradik, dan kaum keluarganya. Tekanan juga datang daripada rakan-rakan sekerjanya dahulu dan jiran tetangga.

Justeru dia tertekan mahu membuktikan bahawa sebagai peniaga dia lebih berjaya daripada hidup makan gaji. Sebagai bukti, dia sudah mampu memiliki apa yang dia tidak mampu miliki semasa makan gaji.

Ini adalah salah satu faktor mengapa banyak peniaga cepat-cepat membeli kereta yang lebih besar dan lebih mahal daripada kemampuannya waktu itu.

Jadi, dia hanya mampu kereta kancil tetapi dia membeli Proton Waja, ataupun dia hanya mampu Proton Waja tetapi dia membeli Proton Perdana.

Akibat daripada tindakan membeli bukti-bukti kejayaan palsu itu, wang yang sepatutnya digunakan bagi tujuan perniagaan, seperti membayar sewa, gaji dan hutang-hutang pembekal, terpaksa digunakannya bagi membayar kereta besar itu.