Menolong Bisnes Orang Lain Supaya Maju


Apabila kita berniaga, banyak peniaga lain di sekeliling kita mungkin menganggap kita adalah pesaing mereka. Ini kerana mereka termakan dengan cakap-cakap kononnya jikalau kita mahu berjaya dalam perniagaan kita mestilah pandai bersaing.


Budaya Asia, khususnya budaya Melayu adalah budaya kooperatif, bukan budaya kompetitif. 

Dalam budaya kooperatif, anggotanya mengutamakan nilai-nilai kerjasama dan tolong menolong. Ini sangat berbeza dengan budaya kompetitif yang percaya jika mahu berjaya kita perlu mengalahkan orang-orang lain.

Salah satu cara bagaimana kita dapat mengelakkan bisnes kita daripada dianggap sebagai pesaing yang mesti dikalahkan oleh para peniaga lain di sekeliling kita adalah dengan banyak membantu bisnes mereka.

Cari peluang di mana kita dapat membantu peniaga lain supaya perniagaan mereka maju. Tolong mereka dengan apa-apa cara sahaja. Jangan tunggu sehingga mereka minta tolong baru kita tolong. Mulakan dengan kita menolong mereka.

Memberi maklumat yang relevan dengan perniagaan adalah cara menolong yang sangat baik. Apabila kita mempunyai maklumat, berikan maklumat itu tanpa diminta.

Sesiapa sahaja yang pernah kita tolong tidak akan memusuhi kita. Malah mereka akan membalas budi kita dengan menolong kita apabila mereka lihat kita memerlukan pertolongan. Jadi mereka tidak akan menganggap kita sebagai pesaing, sebaliknya mereka akan layan kita sebagai rakan seperniagaan mereka sendiri.



.