Jangan Bunuh Bisnes Pesaing


Banyak pakar strategi bisnes Barat yang menyamakan bisnes dengan peperangan. Banyak sekali buku-buku tulisan ahli strategi bisnes Barat yang mengajarkan mazhab "perang bisnes". Sampai-sampai ada buku yang mengajarkan bagaimana menggunakan prinsip-prinsip peperangan oleh Tsun Tze dalam bisnes.

Saya peribadi tidak menganuti fahaman 'bisnes adalah peperangan'.

Saya tidak akan masuk bisnes dengan membunuh bisnes sesiapa. Malah saya akan tolong orang lain mengembangkan bisnes mereka, meskipun mereka berniaga dalam sektor yang sama dengan saya sendiri. (Itu yang mendorong saya membuka blog saya ( http://universitipts.com ) di mana saya kongsikan apa-apa yang saya tahu berkenaan bisnes penerbitan buku.)

Tidak ada nas, baik dalam Quran mahupun hadith, yang menganjurkan supaya kita bersaing dan saling 'bunuh membunuh' dalam bisnes.

Nabi Muhammad adalah seorang bisnesman, namun tidak ada catatan hadith di mana beliau menganjurkan kita supaya berniaga dengan semangat peperangan, ataupun dengan menggunakan strategi dan taktik peperangan.

Meskipun strategi flanking digunakan dalam strategi peperangan, namun saya menganjurkan supaya kita belajar melakukan flanking dalam bisnes kerana flanking tidak semestinya "mengalahkan pesaing" apatah lagi "membunuh pesaing".

Sebaliknya, flanking membolehkan kita memasuki teritori Budak Besar. Itu sahaja. Maksudnya, kita bukan hendak bersaing dengan budak-budak besar itu. Kita cuma hendak 'membuka kedai' dalam padang di mana mereka sudah membuka kedai besar.

Dengan cara mem-flanking Budak-budak Besar itu, mereka tidak akan mati. Mereka terus membesar. Pada waktu yang sama bisnes kita juga survive, dan dapat membesar.