Jangan Kata Pelanggan Tidak Betul


Sebagai orang bisnes, yang menjadi prioriti kita adalah membuat pelanggan dengan suka hati menyerahkan duitnya kepada kita. Makin kerap dia datang, makin banyak dia serahkan duitnya kepada kita.

Apabila bisnes kita menerima banyak pelanggan, maka banyaklah kerenah pelanggan. Ini adalah perkara yang bagus.

Fikirkan duit pelanggan, jangan fikirkan kerenahnya.
Justeru jangan berkata apa-apa yang boleh menyebabkan pelanggan tidak datang lagi.

Banyak pelanggan suka komplen, itu tidak betul, ini kurang elok, itu mahal sangat, ini tidak cantik....

Walaupun kita betul, walaupun kita tahu bahawa pelanggan tidak betul, tetapi jangan berkata apa-apa yang bermaksud: "Awak tidak betul."

Jangan jawab komplen pelanggan dengan menerangkan mengapa dia tidak betul. Dengar dan katakan, "Ya...."
 

Bagi kita orang bisnes, yang paling penting pelanggan itu mestilah suka datang lagi, dan datang lagi, dengan membawa lebih banyak duit bagi diserahkannya kepada kita.

Kalaupun kita berjaya membuktikan kepada pelanggan kita itu bahawa dia tidak betul, tetapi jika bisnes kita rugi, apa gunanya?

Berikan peluang kepada pelanggan yang mahu berasa dia lebih pandai daripada kita dan dia sahaja yang betul.

Berikan apa yang dia mahu. Kita ambil apa yang kita mahu, yakni duitnya.

Kata pepatah, burung mahukan ulat, maka berikan ulat kepada si burung. Kita sendiri mahukan burung....