Pelanggan Datang Mencari Kepuasan Psikologi dan Emosi


Pelanggan kita adalah manusia biasa. Apabila mereka datang, mereka bukan hanya datang kerana perlukan produk ataupun perkhidmatan yang kita tawarkan. Kalau itu yang mereka cari, mereka boleh mencari di tempat-tempat lain juga.

Pelanggan datang mencari 2 kepuasan:

(1) Kepuasan daripada barang ataupun produk yang dibeli daripada peniaga.

Kepuasan ini dapat diperoleh daripada mana-mana peniaga yang menawarkan produk yang serupa.

Sebagai contoh, pelanggan kita mencari ubat gigi Colgate. Dia boleh mendapatkan Colgate yang serupa di mana-mana kedai yang menjualnya.

Ataupun, pelanggan kita mencari perkhidmatan dry-cleaning untuk baju kotnya. Dia juga boleh mendapatkan perkhidmatan itu daripada kedai dobi lain.

(2) Kepuasan psikologi dan emosi daripada interaksinya dengan peniaga.

Tidak ada 2 peniaga yang dapat memberikan kepuasan yang serupa kepada seseorang pelanggan.

Tidak ada 2 peniaga yang mengucapkan kata-kata yang serupa, ataupun memberikan senyuman yang serupa kepada seseorang pelanggan.

Keupayaan kita mengenalpasti apa keperluan psikologi dan emosi pelanggan sangat mempengaruhi selama mana, dan sekerap mana, seseorang pelanggan itu akan terus meneruskan datang kepada kita.