Jangan Hendak Bermesra-Mesra dengan Pelanggan Berduit


Dalam memberikan perkhidmatan pelanggan, ada tingkah laku yang sentiasa betul. Sebagai contoh, tingkah laku melayan semua pelanggan dengan cara-cara yang memuliakan mereka adalah sentiasa betul. 

Semua orang mahu dirinya dimuliakan.

Ada pula tingkah laku yang belum tentu sentiasa betul. Sebagai contoh, tingkah laku melayan pelanggan dengan layanan mesra belum tentu betul. Sesetengah pelanggan suka dirinya dilayan dengan layanan mesra. Ada yang tidak suka. 

Tidak semua orang suka bermesra-mesra dengan orang lain.

Masyarakat Asia sangat mementingkan status. Itulah sebabnya isu hormat-menghormati menjadi sangat penting. 

Dalam budaya Asia, peraturan pergaulan antara dua orang yang bukan anggota keluarga adalah sangat ketat. 

Dalam budaya Islam Islam pula, peraturan pergaulannya adalah lebih ketat lagi. Oleh itu, apabila pelanggan kita mempunyai tanda-tanda bahawa dia seorang yang kuat pegangan agamanya, cara melayan pelanggan itu hendaklah lebih berhati-hati.

Dalam budaya Melayu seseorang itu tidak boleh bersenda-gurau dan usik-mengusik dengan orang yang tidak dikenali, atau
pun orang yang bukan anggota keluarga sendiri, ataupun dengan orang yang bukan kenalan rapat sendiri. Perbuatan seperti itu dianggap tidak sopan, tidak manis, malah biadab.

Disebabkan peraturan budaya Asia yang sangat ketat, dalam menjalankan urusan bisnes, jangan bermesra-mesra dengan pelanggan yang bukan kenalan rapat kita sendiri. 


Dalam lain perkataan, jangan layan pelanggan yang bukan kenalan rapat kita itu sebagaimana kita melayan pelanggan yang sudah selalu datang membeli dari kedai kita.

Mereka tidak suka perbuatan itu kerana mereka anggap kita tidak menghormati mereka. Dalam budaya Melayu, orang yang dikatakan sopan adalah orang yang pandai membuat orang-orang lain berasa diri mereka dan kedudukan mereka dihormati.

Kepada pelanggan yang tidak kita kenali dengan rapat, jangan sekali-kali kita memanggil mereka dengan kata panggilan kekeluargaan seperti 'kakak', 'abang', 'pakcik' dan 'makcik' kerana mereka bukan anggota keluarga kita.

Gunakan panggilan yang membesarkan mereka, seperti 'tuan', 'puan', 'cikpuan', 'encik', 'saudara' dan 'saudari'.