Jangan Gunakan Budaya Kampung Dalam Perkhidmatan Pelanggan Kaya


Orang berduit makan nasi lemak. Orang tidak berduit pun makan nasi lemak.

Menjual nasi lemak bungkus kepada pelanggan berduit adalah sangat menguntungkan. Mereka mampu membeli lebih banyak, pada kualiti yang lebih baik, dan dengan membayar harga yang lebih tinggi. 

Hasilnya margin keuntungan kita lebih lebar.

Menjual nasi lemak bungkus kepada pelanggan kaya tidak boleh dilakukan dengan cara-cara yang serupa dengan menjual nasi lemak kepada pelanggan tidak kaya.

Salah satu aspek yang perlu diberikan perhatian apabila kita hendak memasuki pasaran orang kaya adalah isu budaya.

Orang yang mempunyai duit banyak mampu memilih, manakala orang yang tiada berduit tidak mampu memilih. 

Hak memilih adalah hak orang yang berduit. Semakin banyak duit yang kita miliki semakin banyak pilihan yang terbentang di hadapan kita.

Orang kaya juga mampu membiayai kerenah citarasa mereka masing-masing, manakala orang miskin tidak mampu memiliki citarasa. 

Citarasa adalah kemewahan yang hanya mampu dimiliki dengan wang yang banyak.

Contoh staf yang mempunyai interaksi secara direct dengan pelanggan adalah:

a. Staf kaunter pendaftaran
b. Staf kaunter pembayaran
c. Jurujual
d. Telefonis
e. Pegawai perhubungan di lobi hotel
f. Promoter di rak pameran
g. Pelayan restoran
h. Doktor dan jururawat

Majoriti staf kaunter lazimnya bukan anak-anak keluarga kaya. Malah majoritinya datang dari keluarga berasal dari kampung ataupun pekan-pekan kecil di luar bandar. 

Justeru budaya yang mereka ketahui adalah budaya kehidupan di kampung dan pekan-pekan kecil. 

Budaya kampung sangat berbeza daripada budaya masyarakat kaya raya di bandar-bandar utama. 

Akibatnya,  staf yang berbudaya kampung itu menjalankan tugas melayan kerenah pelanggan kaya raya dengan menggunakan unsur-unsur budaya kampung.   

Dari satu segi staf kita perlu memberikan perkhidmatan yang memenuhi citarasa pelanggan yang kaya, tetapi dari satu segi lain staf kita tidak tahu ciri-ciri budaya masyarakat kaya, maklumlah mereka sendiri tidak datang daripada golongan kaya.

Staf yang tidak datang daripada latar belakang budaya orang-orang kaya perlu diberikan pengenalan dan latihan tentang cara-cara yang betul melayan kerenah budaya pelanggan bandar yang kaya-raya.


.