Brand & Branding


Apabila mahu melakukan kerja-kerja branding, pertama-tama jawab soalan ini:
"Apakah idea di sebalik brand produk saya?"
Brand kita adalah 'tag-line' kita.
Contoh tag-line Air Asia adalah "Now everybody can fly." Jadi, idea di sebalik tag-line itu memang sangat mudah difahami.
Dulu tag-line Zaitun Industri adalah 'Tanpa Was-Was'. Idea di sebalik tag-line itu juga sangat jelas.
Tag-line kita wajib menyimpulkan janji kita kepada pelanggan. Dengan janji itu barulah akan tercipta hubungan-jiwa antara pelanggan dan brand kita.
Janji Zaitun = Tanpa Was-Was
Janji Air Asia = Now Everybody Can Fly
Janji PTS = Memandaikan Bangsa
Janji PAS = PAS For All
Tag-line mesti pendek. Dapat dicetak pada kad bisnes kita.

Uji Produk

Banyak orang terjun ke dalam dunia bisnes dengan tidak tahu apa-apa tentang apa yang laku dan apa yang tidak laku.

Mereka terjun dengan angan-angan semata-mata, bukan dengan maklumat.

Mereka mendengar orang bercakap bisnes begini, begini, lalu mereka main percaya sahaja cakap orang itu, lalu mengeluarkan duit modal.

Mereka terjun ke dalam bisnes dengan menggunakan sangka-sangkaan. Mereka sangka produk mereka akan laku keras, akan mudah dijual, dan dia akan jadi kaya.

Mereka terus membayangkan kepada siapa produk itu akan dijualnya.

Ini silap besar! Belum apa-apa kita sudah memikirkan kepada siapa produk kita mahu dijual.

Pertanyaan yang betul adalah, siapalah agaknya yang mahu produk macam ini, dengan harga macam ini?

Uji dahulu sangkaan kita itu. Test dahulu. Betulkah ada orang mahu membeli produk kita itu, dengan harga itu?

Tunjukkan produk kita, tanya orang itu, mahukah dia membelinya?

Jangan tanya 1 ataupun 2 orang sahaja. Tanya banyak orang.

Customer Service & Budaya

Customer service dan kaitannya dengan tingkah laku kultural....

Dalam buku-buku pandual cutomer service terbitan US, disebut 'treat your customer with respect' - layan pelanggan dengan hormat.

Dalam Budaya Melayu Tinggi, ada 2 konsep yang macam serupa tetapi sebenarnya sangat berbeza:

1. Menghormati orang
2. Memuliakan orang

Orang yang kita hormati belum tentu kita muliakan.

+ Apabila kita menghormati seseorang itu, kita setakat tidak melayan dia dengan cara yang salah.

Sebagai contoh, kita tidak menyerahkan barang kepadanya menggunakan tangan kiri. Kita gunakan tangan kanan.

+ Apabila kita memuliakan seseorang itu, kita bukan setakat melayan dia dengan betul.

Sebagai contoh, kita bukan hanya menyerahkan barang kepadanya menggunakan tangan kanan, malah kita letakkan tapak tangan kiri kita di bawah tangan kanan kita.

Sambil menyerahkan barang itu, kepala angguk sedikit. Mulut berkata, "Terima kasih, tuan."

Hati pelanggan mana tidak tertawan.....

Sektor Speaking & Training

Sektor speaking dan training dalam bahasa Melayu kini semakin sesak dengan banyaknya pemain-pemain baru yang menceburi sektor ini.

Ruang bergerak semakin sempit. Bajet training dalam kementerian dan kerajaan semakin kecil akibat dasar berjimat cermat.

Pemain baru masuk dengan menawarkan speaker dan produk baru.

Radio dan televisyen menjadi media pilihan bagi memasarkan wajah-wajah speaker baru. Terbukti penampilan dalam media massa adalah berkesan.

Kek sektor training adalah kek yang dapat diperbesarkan. Semua trainer yang mempunyai modul-modul yang baik dapat hidup selesa. Caranya adalah dengan mengamalkan strategi bekerjasama.

Ambil sebagai contoh, Tuan Ir Ahmad Jais AsSyazili suka mem-promote modul rakan-rakan lain dalam industri training.

Langkah mem-promote modul orang lain adalah taktik yang sangat berkesan bagi mem-promote bisnes kita sendiri.

Apabila kita promote modul orang lain kepada klien kita, hasilnya klien kita itu akan nampak kita sebagai orang yang baik. Dia menjadi suka membeli modul kita!

Jangan Bersaing

Apabila kita membuka gerai ataupun kedai makan yang sederet dengan kedai-kedai lain, jangan gunakan sikap bersaing dengan kedai-kedai jiran.

Gunakan sikap bekerjasama dan saling tolong-menolong dengan jiran-jiran.

Promot bisnes orang lain yang sama-sama berkedai dengan kita. Sambil kita menjual menu kita sendiri, promot juga menu di kedai jiran.

Apabila kita mempromot bisnes jiran-jiran kita, mereka akan membalas budi kita dengan mempromot bisnes kita pula.

Jangan bergaduh dengan jiran sebelah-menyebelah. Jangan memburuk-burukkan bisnes jiran kita.

Katakan kepada pelanggan kita, "Kalau tuan mahu minum air kendondong asam boi yang sedap, saya boleh tolong orderkan dari restoran sebelah ini. Memang sedap!"

Pelanggan kita suka, towkay kedai jiran kita pun suka!

Ekonomi Terima Kasih

Apabila kita menjual produk ataupun servis, buat sampai pembeli kita berasa terhutang budi kepada kita disebabkan apa yang dibelinya itu benar-benar diperlukannya, menyelesaikan masalahnya, dan membawa banyak manfaat kepadanya.

Inilah asas 'ekonomi terima kasih'.

Sebagai orang bisnes, kita memikul tanggungjawab melindungi pelanggan kita daripada mengalami kerugian dan kesusahan akibat membayar harga produk ataupun yuran yang kita kenakan.

Berniaga dalam 'ekonomi terima kasih' adalah jalan yang panjang sebelum bisnes kita menjadi besar. Namun pada akhirnya, berniaga cara jalan panjang begini adalah sangat selamat.

Gen X vs Gen Y

Sewaktu saya menemubual Tuan Bukhari Ramli untuk siaran RBC, ahli strategist yang sangat berilmu itu, beliau menerangkan beberapa perkara penting.

Menurut beliau, dalam pemikiran strategi tradisional yang diamalkan oleh ahli-ahli strategist generasi-X, mereka diajar supaya mengamalkan strategi mazhab kompetisi, yakni strategi bersaing.

Dalam mazhab strategi kompetisi, objektif strategi adalah mengalahkan, malah kalau boleh memusnahkan, pihak-pihak lain yang kita anggap sebagai kompetitor kita.

Di sebalik mazhab kompetisi itu adalah andaian bahawa mereka bersaing bagi mendapatkan bahagian terbesar kek-ekonomi yang ada.

Beliau menerangkan, mazhab generasi-Y menolak ajaran-ajaran strategi kompetisi oleh generasi-X.

Generasi-Y menganuti mazhab strategi kolaborasi.

Di sebalik mazhab kolaborasi adalah andaian bahawa semua orang berupaya mencipta kek-kek baru untuk diri mereka sendiri, asalkan sahaja mereka tidak tamak!

Bagimanakah kita dapat mencipta kek-kek baru itu? Inilah yang diajarkan oleh Tuan Bukhari Ramli kepada coachee-coachee beliau.

Tips Permission Marketing

Website dan blog bisnes kita adalah alat kita mendapatkan orang supaya berminat dengan produk dan servis kita. Mula-mula mereka berminat sahaja, lama-lama mereka membeli.

Berikut adalah tip dari pakar Permission Marketing (PM):

1. Mereka mestilah mahu berkali-kali masuk dan membaca blog kita, bukan sekali klik dan selepas itu tidak mahu klik lagi.

2. Mereka juga mestilah mahu rekomen kepada kawan-kawan mereka supaya klik blog bisnes kita.

Salah satu strategi yang dapat digunakan supaya semakin hari semakin banyak klik blog bisnes kita adalah dengan menggunakan 'strategi bercerita'.

Tuan Bukhari Ramli menerangkan cerita yang sesuai digunakan bagi menarik banyak bakal pelanggan membaca blog bisnes kita adalah cerita-cerita yang menaikkan kepercayaan mereka terhadap diri kita dan terhadap produk kita.

Apakah material cerita yang bagus digunakan dalam blog bisnes, sehingga orang suka berkali-kali masuk blog kita?

Ini akan diterangkan dengan terperinci apabila tuan bercoaching dengan mana-mana pakar PM.

Apakah Itu Permission Marketing?

Apakah perlunya strategi PM digunakan apabila kita menggunakan internet bagi menjual produk dan perkhidmatan kita?

Biar saya terangkan dengan cara mudah....

Dulu-dulu pemilik kedai runcit, pemilik kedai gunting rambut, pemilik kedai kopi di kampung kenal semua pelanggannya. Mereka tahu banyak maklumat pelanggan.

Mereka tahu nama-nama setiap pelanggan, berapa umurnya, di mana rumah setiap pelanggan, dia anak siapa, apa pekerjaannya, siapa isterinya, berapa anaknya, apa hobinya, siapa sahabat baiknya, siapa yang mereka benci, apa citarasanya dll.

Towkay kedai runcit, kedai gunting rambut dan kedai kopi itu juga mengambil masa bercakap-cakap dengan setiap pelanggannya apabila mereka datang membeli.

Ini berbeza dengan pemilik hipermarket yang tidak kenal pembeli yang datang membeli di hipermarketnya.

Hipermarket mempunyai bajet periklanan yang sangat besar, sehingga berjuta-juta ringgit setahun. Bisnes kecil tidak mampu meniru cara hipermarket mempromosi bisnesnya.

Permission Marketing adalah strategi berniaga ala-ala si pekedai runcit di kampung.

Dengan menggunakan strategi PM, kita membina hubungan yang rapat dengan pelanggan dan klien kita. Caranya adalah dengan mendapatkan banyak info berkenaan diri pelanggan kita melalui website bisnes kita.

Info berkenaan pelanggan dan klien kita membolehkan kita menambat hati mereka dengan lebih efektif!

Website yang menggunakan strategi PM tidak boleh serupa macam website biasa-biasa yang tidak menggunakan strategi PM.

ABS mempunyai seorang pakar membangunkan website PM. Beliau adalah Tuan Bukhari Ramli.

Branding

Nama asal buah kiwi adalah goose berry.

goose = itik angsa

Nama 'kiwi fruit' itu dicipta apabila buah liar yang tumbuh dalam semak di New Zealand itu mahu dieskport sebagai buah komersial yang premium.

Banyak makanan Melayu diberi nama yang mudah diingat, tetapi nama-nama itu tidak sesuai digunakan sebagai label produk premium.

taik itik
taik tikus
batang buruk
sarang semut
telur katak

Peniaga Melayu boleh membuat re-branding....

Jangan jual 'kuih gulung'
Jual 'bantal peluk Saloma'

Duta Produk

Pada masa ini banyak peniaga menggunakan konsep 'duta produk' bagi memasarkan produk keluaran syarikat mereka.

Kos menggunakan duta produk adalah relatif mahal, oleh itu ia meningkatkan kos pengeluaran, dan menaikkan harga jualan.

Sebelum memilih duta produk, kenal pasti ciri-ciri produk kita itu dahulu.

Katakanlah kita mahu memasarkan produk kecantikan herbal, dan kita mahu menggunakan wajah seorang seniwati lagenda berusia emas sebagai duta.

Apakah seniwati itu duta yang sesuai?

+ Jika produk kecantikan itu ditargetkan kepada peminat seniwati lagenda berusia emas, apakah perempuan-perempuan usia emas membeli produk-produk kecantikan?

+ Jika produk kecantikan itu ditargetkan kepada perempuan-perempuan muda, apakah mereka kenal dan meminati seniwati lagenda berusia emas itu?

Bagi tujuan berfikir....

Katakanlah, kita perasan bahawa ada peluang kita mengeluarkan produk sup dalam tin yang dijamin halal.

Pada masa ini semua sup dalam tin adalah produk yang dikeluarkan oleh syarikat antarabangsa, walaupun mempunyai logo halal.

Sup dalam tin yang ada semuanya sup Amerika, tidak ada sup perisa tempatan.

Kita pun mendapat idea mahu menjual sup segera dalam tin dengan perisa tempatan, dan dijamin halal.

STEP 1: Kaji tingkah laku produk sup dalam tin.

STEP 2: Kaji tingkah laku pasaran sup dalam tin.

STEP 3: Tetapkan position sup yang kita akan keluarkan dan pasarkan.

Kesilapan Mula Meniaga

Salah satu kesilapan peniaga yang baru mula berniaga adalah, kita menjual produk yang kita pandai buat. Kita pandai membuat video editing, kita pun buka bisnes video editing.

Produk yang kita pandai buat itu mungkin pasarannya sangat kecil. Sebagai contoh, kita pandai membuat dodol, lalu kita pun membuka bisnes dodol.

Akibatnya, kita terpaksa membuat sendiri apabila ada tempahan. Sampai bila kita mahu berlengas-lengas di hadapan api dodol?

Pilih produk yang membolehkan kita semakin lama berniaga, semakin kita dapat berniaga sambil goyang kaki.

Membuat serbuk kari adalah contoh perniagaan yang dapat dimulakan dengan modal sangat kecil. Lama-kelamaan bisnesnya boleh semakin membesar, membesar, membesar.

Kalau kita tidak pandai membuat serbuk kari, kita boleh belajar. Kita boleh test dahulu. Test sampai jadi!

Apabila semua orang yang menge-test melaporkan serbuk kari kita sedap, kita boleh mula mengeluarkannya.

Mula-mula kita terpaksi giling sendiri serbuk kari kita, kemudian kita mampu membeli mesin pengisar kecil, kemudian kita mampu membeli mesin pengisar yang lebih besar, lama-lama boleh buka kilang.... Dan duit masuk sambil kita duduk-duduk goyang kaki... (Hehe! Kilang kita itu boleh kita serahkan kepada menantu kita. Dia take over!)

Ciri Pembelian Produk

Sesetengah perniagaan mempunyai potensi membesar tanpa had. Ia boleh dimulakan secara kecil-kecilan, kemudian perlahan-lahan ia membesar, membesar dan membesar. Contohnya, perniagaan mengeluarkan serbuk kari. Peniaganya boleh memiliki kilang besar.

Manakala ada jenis perniagaan yang tidak dapat berkembang. Sebagai contoh perniagaan urut-mengurut.

Apabila mahu berniaga dengan menjadi pembuat dan pengeluar produk konsumer, ada beberapa ciri produk yang perlu diambil kira sebelum membuat pilihan:

1. Ada produk yang jualannya bermusim. Contohnya, ketupat segera. Apabila musim raya, jualannya tinggi, pada masa lain jualannya slow....

2. Ada produk yang jualannya sepanjang tahun, tetapi pasarannya kecil. Contohnya, kek hari jadi.

3. Ada produk yang jualannya sepanjang tahun dan pasarannya besar. Contohnya, kicap makan nasi.

4. Ada produk yang dibeli sekali seumur hidup. Contohnya, kawah besar.

5. Ada produk yang dibeli berkali-kali oleh pembeli yang sama. Contohnya, sabun basuh pinggan.

Jika kita mahu menjual cup-cake, apakah ciri pembelian cup-cake?

Sistem Consignment

Ada yang bertanya, "Apa itu sistem consignment?"

Beginilah....

Tuan membuat kerepek muruku. Tuan hantar 20 bungkus ke kedai runcit di tempat tinggal tuan.

Tuan letakkan sendiri, susun sendiri kerepek muruku di rak dalam kedai runcit itu.

Pada hujung minggu tuan pergi ke kedai runcit itu. 10 bungkus kerepak tuan terjual. Bungkusan yang ada bersepah-sepah.

Tuan pun letakkan 10 bungkus lagi, susun semua bungkusan elok-elok. Begitulah tiap-tiap minggu tuan lakukan.

Ada satu masa, semua bungkusan muruku tuan habis licin. Tetapi towkay kedai tidak peduli pun mahu beritahu tuan supaya hantar bekalan baru!

Pada 30hb, tuan beritahu towkay kedai runcit itu 52 bungkusan muruku yang terjual.

Towkay itu pun membayar tuan harga 52 bungkusan itu selepas ditolak diskaun 40%.

Begitulah sistem consignment.

Sistem Jualan Kredit

Tip menggunakan sistem jualan kredit....

Jualan sistem kredit adalah sangat tidak digalakkan. Biar barang tidak laju keluar dari setor, asal kita dapat duit tunai.

Risiko tutup bisnes disebabkan oleh gagal mengutip hutang memang amat tinggi.

Syarikat yang sudah sangat besar dan memiliki brand peringkat nasional yang sangat terkenal pun masih boleh tumbang disebabkan oleh gagal mengutip hutang dari agen-agennya.

+ Berikan kredit hanya selepas orang itu sudah membeli tunai produk kita selama 3 tahun.

+ Semak rekod orang itu daripada peniaga-peniaga lain yang mempunyai urusan bisnes dengan dia.

Bagi menggalakkan orang itu membeli tunai:

1. Beri potongan yang lebih tinggi
2. Tawarkan sistem sale-or-return SOR

WARNING! Jualan sistem kredit tidak boleh melebihi had 10% daripada jumlah besar jualan.

Syok Sendiri II

Pengeluar produk Melayu banyak mengalami fenomena produk gagal dipasarkan. Salah satu faktornya adalah desain-produk.

Apabila mendesian penampilan produk kita, yang cantik di mata kita belum tentu cantik di mata bakal pembeli.

Kita bukan menjual produk kita kepada diri kita sendiri!

Buat kajian apa citarasa pembeli. Pergi ke hipermarket, tengok tingkah laku orang membeli barang.

Sebagai contoh, Maggi mee ada mengeluarkan mi segera yang ditargetkan kepada remaja lelaki. Pada bungkusannya itu digunakan imej remaja lelaki yang rock dan cool!

Katakanlah kita mahu membuka kedai kek.

Kita mahu menjual kek-kek hari jadi jenis cash-and-carry, yakni bukan yang ditempah lebih awal dengan diterangkan desain yang mereka mahu.

Perhatikan siapa yang datang membeli kek hari jadi cash-and-carry. Ibu-ibu muda? Remaja? Nenek-nenek? Citarasa mereka berbeza-beza.

Syok Sendiri I

Kita mahu mengeluarkan teh herba menguruskan badan dengan harga RM75 sekotak yang berisi 30 uncang.

Apabila menentukan channel distribusi teh herba kita itu, kita tidak boleh syok sendiri.

Kita syok sendiri dengan berkata di dalam hati, "Daku akan edarkan teh ini melalui kedai rambut, spa, butik, dan farmasi."

Banyak pengeluar Melayu berfikir syok sendiri.

Cara yang betul:

Sebelum teh herba itu dikeluarkan, pergi dahulu ke channel-channel yang ditargetkan itu. Tanya mereka dahulu, apakah mereka berminat menjual teh herba kita itu. Dengar apa kata mereka....

Tiap-tiap channel mempunyai cirinya sendiri. Produk kita belum tentu sesuai dengan ciri bisnes channel itu.

Sebagai contoh, produk yang berharga lebih RM20 sangat sukar dijual dalam kedai runcit kampung.

Jadi, towkay kedai runcit tidak mahu mempamerkan teh herba kita. Buat menyemakkan rak kedainya sahaja!

Saluran Pengedaran

Banyak peniaga Melayu mengeluarkan produk dengan tidak menentukan saluran pengedaran.

Apabila mengeluarkan produk yang akan diedarkan dalam pasaran, faktor channel (saluran) pengedaran adalah sangat penting. Tidak boleh tidak, mesti ditetapkan sebelum produk dikeluarkan.

Sebagai contoh, apakah channel distribusi yang akan digunakan untuk produk teh herba untuk menurunkan berat badan?

+ Individu agen?
+ Kedai internet?
+ Kedai runcit di kampung dan pekan kecil?
+ Warung makan?
+ Restoran?
+ Kedai kek?
+ Kedai gunting rambut?
+ Spa?
+ Klinik perubatan alternatif?
+ Butik?
+ Kedai jahit?
+ Mini market milik Cina di bandar sederhana besar?
+ Rangkaian supermarket di bandar-bandar utama?

Gambaran Salah Sektor Training

Banyak yang mempunyai gambaran salah berkenaan sektor training.

Sebagai contoh, banyak yang menyangka jika kita suka memegang mikrofon, pandai bercakap di hadapan orang, maka kita boleh berjaya sebagai trainer.

Pandai bercakap bukan syarat utama kita dapat survive dalam sektor training.

Sektor training adalah serupa dengan sektor-sektor lain. Hanya produk training yang baik yang dapat survive dalam pasaran.

Seperti halnya dalam apa jua bisnes, kita perlu tahu apa jenis-jenis produk yang paling laku dalam pasaran training. Kemudian, kita perlu mencipta produk itu.

Sebagai contoh, 'produk pengurusan masa' dan 'pengurusan kerja' adalah produk yang baik pasarannya. Ia laku sepanjang tahun. Baik sektor kerajaan mahupun sektor swasta, mereka membeli 2 modul ini.

Sesudah mempunyai produk yang baik, kita perlu mempakejkan produk kita itu.

Sesudah dipakejkan, kita perlu me-market-kan produk kita itu.

Seperti bisnes lain, apabila kita me-market-kan produk training kita, salesman kita memerlukan 'marketing kit' yang akan dibawa bersamanya, dan akan diserahkan kepada pengurus jabatan latihan.

Banyak kali kita berjumpa trainer yang berhenti kerja dan menceburi sektor ini sebagai trainer profesional. Selepas mendapat beberapa job, mereka gagal mendapat lebih banyak job.

Salah satu faktornya adalah mereka tidak menjalankan kerja-kerja marketing dengan berkesan.

Design Thinking

Bangsa Jepun, Korea dan China mempunyai kelebihannya sendiri dari segi berfikir dibandingkan dengan bangsa-bangsa Barat.

Otak orang Barat sangat pintar berfikir secara logikal, analitikal dan kritikal. Dalam pemikiran bisnes, mereka terlalu menekankan analisis angka-angka.

Logik analitikal dan kritikal menghasilkan persaingan. Buku-buku bisnes tulisan pakar Barat mengajar cara-cara bersaing dalam bisnes.

Otak bangsa-bangsa Timur kurang kagum dengan analisis angka-angka. Mereka lebih pintar menggunakan design thinking.

Design thinking adalah thinking yang menghasilkan strategi-strategi. Ini yang mendorong kejayaan ahli-ahli strategist Jepun, Korea dan China mengalahkan strategi yang digunakan oleh syarikat-syarikat Amerika dan Eropah dalam banyak sektor.

Pada masa ini univeriti-universiti ternama di Amerika sudah mula mengajarkan design thinking di fakulti bisnes mereka.

Langkah Memulakan Bisnes

Tentang langkah-langkah menceburkan diri ke laut bisnes....

1. Syarikat pertama adalah tempat belajar berniaga. Pilih sektor perkhidmatan. Modalnya kecil. Apabila lingkup, mudah bangun semula. Yang penting pengetahuan dan kesilapan asas berniaga sudah diketahui.

2. Dari awal sudah difikir-fikirkankan bisnes ke-2 yang akan dibuka pada tahun ke-4. Fikirkan bidang-bidang yang melibatkan jual beli. Pelajari bidang-biang itu daripada rakan-rakan yang aktif dalam bidang-bidang tersebut. Mulakan bermentor dengan old-timer.

3. Jalankan bisnes pertama selama 3 - 4 tahun. Kemudian, serahkan bisnes itu kepada orang lain supaya mengurskannya. Dijual pun boleh. Ditutup sahaja pun boleh.

4. Buka bisnes kedua pada tahun ke-4 ataupun ke-5. Pilih bidang trading produk keperluan harian, tetapi jual beli produk keluaran orang lain. Bukan produk yang dibuat sendiri. Dalam fasa ini belajar menjadi pengedar produk-produk itu.

5. Kemudian, belajar trading produk-produk yang premium.

6. Pada tahun ke-10 belajar trading pada peringkat eksport-import.

Perbezaan Sales & Marketing

Tentang apa itu 'sale', apa itu 'marketing'....

Dua perkara ini amat berlainan. Macam epal dan oren. Namun banyak orang masih keliru.

Saya menubuhkan penerbit PTS. Saya tidak pandai menjual buku, biar pun sebiji buku saya tidak pandai menjualnya.

Sebaliknya, setiap hari saya melakukan kerja-kerja marketing.

Orang bisnes tidak perlu pandai menjual. Dia wajib pandai buat marketing.

Kerja menjual adalah kerja orang lain. Tetapi kerja-kerja marketing, kita kena buat sendiri.

Sehinggalah apabila syarikat kita sudah mempunyai banyak duit, barulah kita ambil ambil pegawai khas bagi menjalankan tugas marketing.

Panjang Akal & Hutang

Apabila orang muda berani membuat berhutang banyak dari bank ataupun MARA atas rasional mahu memulakan bisnes, berapa teori psikologi dapat digunakan bagi menerangkan tingkah laku yang tidak rasional itu.

Adalah tidak rasional apabila seseorang yang tidak mempunyai ilmu dan pengalaman berniaga berani mencagarkan hartanah keluarga demi berhutang.

Tingkah laku 'tidak rasional' itu yang kemudian muncul berkali-kali semasa dia menjalankan perniagaannya. Dia akan membuat banyak keputusan dan tindakan tidak rasional. Itulah yang menghasilkan kegagalan bisnes.

Salah satu ciri tingkah laku individu yang kurang rasional adalah dia bersikap impulsif apabila membuat keputusan.

Dalam budaya Melayu, ciri psikologi 'rasional' itu disebut dengan istilah 'panjang akal'.

Produk dan Perkhidmatan

Dalam bisnes, istilah 'produk' digunakan kepada produk benda-benda fizikal dan juga servis.

Mencipta produk fizikal adalah lebih mudah daripada mencipta produk servis.

Nabi Muhammad tidak pernah berniaga dengan menghasilkan produk fizikal.

Selama-lama beliau berniaga, beliau hanya menjual services.

Semasa masih berumur 8 tahun Nabi sudah menjual servis menjaga kambing.

Pada usia 12 tahun beliau berkuli dalam rombongan saudagar import-eksport.

Pada usia 18 tahun beliau membuka syarikat perkhidmatan 'fund management'.

Beliau menjalankan fund management dengan amat berjaya sehingga menjadi kayaraya sehingga beliau bersara pada umur 38 tahun.

Membesarkan dan Meluaskan Bisnes

Orang bisnes mahu MEMBESARKAN bisnesnya. Dari gerai makan mahu membuka restoran.

Apabila bisnes sudah membesar, orang bisnes mahu MELUASKAN bisnesnya. Dari restoran mahu membuka kilang pengeluaran kari dan sambal dalam tin.

Pelaburan bagi MEMBESARKAN bisnes adalah lebih selamat, sebab antara gerai makan dan restoran, kita masih dalam sektor yang sama. Cuma kategorinya sahaja yang lain.

Tetapi pelaburan MELUASKAN bisnes adalah sangat berisiko!

Salah satu punca kita tersilap membuka bisnes baru sebagai perkembangan bisnes yang ada sekarang adalah disebabkan kita tidak tahu bisnes kita sekarang ini dalam kategori apa dan dalam sektor apa.

Contohnya, bisnes kita sekarang adalah kilang menjahit tudung untuk pengedar-pengedar tudung. Kemudian kita membuka kedai pakaian.

Kilang tudung adalah dalam sektor pengeluaran, atau manufacturing. Kedai pakaian adalah dalam sektor peruncitan, atau retail.

Gerai makan dan restoran adalah dalam kategori restoran. Kilang membuat kari dan sambal dalam tin adalah dalam kategori pembuatan, atau manufacturing.

Pembesaran bisnes jenis melompat ke sektor lain macam ini adalah sangat tinggi risikonya!

Ambil sebagai contoh:

Saya menerbitkan buku. Jadi orang nampak buku. Orang juga nampak kilang yang mencetak buku.

Justeru, logik mengatakan bagus sekali saya membuka syarikat percetakan. Dengan itu saya dapat mencetak sendiri buku-buku yang saya terbitkan.

Namun, penerbitan dan percetakan adalah 2 sektor yang berlainan. Ibarat buah manggis dan buah terung. Yang satu buah di jual di pasar buah. Yang satu sayuran di jual di pasar sayuran.

Buku adalah sejenis media. Jadi penerbit buku adalah dalam sektor media.

Disebabkan buku terletak dalam industri media, maka saya melabur dalam pembukaan stesen radio internet.

Dari kaca mata orang biasa, buku dan radio sangat berbeza!

Musim Produk

Tiap-tiap produk mempunyai musimnya, ataupun season-nya.

Pada masa ini orang membuat cup-cake di sana-sini. Selepas season cup-cake, cake apakah agaknya yang akan masuk pasaran?

Produk-produk macam cup-cake sudah menjadi komoditi. Ia sangat mudah ditiru oleh sesiapa sahaja.

Dalam bisnes komoditi, hanya ada 2 posisi:

1. Kita yang memulakan season

Pada posisi ini produk kita masih 'premium'. Kita mesti buat duit cepat-cepat sebelum peniru berebut-rebut masuk pasaran dan menjatuhkan harga.

2. Kita yang ikut-ikutan season

Apabila kita berada pada posisi ikut-ikutan, bersediakan bekerja teruk-teruk bagi mendapatkan pulangan yang sedikit.

--------

Nota kaki:

Produk yang terus laku dalam pasaran dapat terus kekal disebabkan aktiviti marketing yang berterusan.

Colgate, Coca-Cola, Milo, Breeze, dll terus kekal disebabkan produk-produk itu terus diiklankan.

Harga Tidak Tetap

Tip bisnes...

Dalam bisnes ada apa yang disebut 'prinsip harga tak tetap'.

Kita boleh meletakkan berapa sahaja harga yang kita sukai ke atas produk kita.

Berapa pun harga yang kita letakkan, orang tetap sanggup membayarnya apabila kita dapat membuktikan kepada orang itu bahawa harga itu sesuai dengan dompetnya.


Belajar Dari Pesaing Bisnes

Banyak kursus usahawan mengajar pesertanya bagaimana mahu survive dalam bisnes dengan cara bersaing dengan pesaing.

Dengan jurulatih mengajarkan strategi-strategi persaingan dengan tujuan mahu mengalahkan para pesa
ing. Hasilnya banyak peniaga melakukan pelbagai cara hendak menjatuhkan bisnes pesaing mereka.

Meskipun kita berjaya menjatuh bisnes pesaing kita, itu tidak menjamin bisnes kita sendiri akan menjadi lebih laku dan kita lebih berjaya.

Ada satu lagi strategi bersaing yang lebih efektif. Di sini kita pelajari apa yang dilakukan oleh pesaing kita sehingga produknya begitu laku dan bisnesnya begitu berjaya.

Kemudian kita lakukan perkara yang sama tetapi dengan cara yang lebih murah, lebih mudah dan lebih cantik hasilnya.

Sekolah Bisnes Ainon Mohd

Apabila tuan masuk belajar di sekolah ini, antara mata pelajarannya....

1. Bagaimana menjalankan bisnes dalam pasaran terbuka, tanpa mengharapkan kontrak kerajaan.

2. Bagaimana membesarkan bisnes dengan mengaplikasi strategi menolong bisnes pesaing-pesaing kita sendiri.

3. Bagaimana memulakan bisnes dengan satu sen pun tidak meminjam dari MARA ataupun bank.

4. Bagaimana memilih agen yang layak dan yang tidak layak diberi kemudahan kredit.

5. Bagaimana memenangi hati pembekal Cina dan bagaimana mendapatkan dukungan mereka dalam pasaran.


Silabus sekolah bisnes ini akan diajarkan melalui blog ini.

Nantikan update seterusnya...

Ingin Belajar Tentang Bisnes?

Belajar lebih lanjut tentang bisnes di blog-blog berikut:

  1. Betul-betul Bisnes - Memuatkan tips dan kisah daripada beberapa usahawan berpengalaman
  2. Firdaus Ariff - Pelajari konsep-konsep baru bisnes seperti Business Model Canvas, Lean Startup, Permission Marketing dan Tipping Point.