Membesarkan dan Meluaskan Bisnes

Orang bisnes mahu MEMBESARKAN bisnesnya. Dari gerai makan mahu membuka restoran.

Apabila bisnes sudah membesar, orang bisnes mahu MELUASKAN bisnesnya. Dari restoran mahu membuka kilang pengeluaran kari dan sambal dalam tin.

Pelaburan bagi MEMBESARKAN bisnes adalah lebih selamat, sebab antara gerai makan dan restoran, kita masih dalam sektor yang sama. Cuma kategorinya sahaja yang lain.

Tetapi pelaburan MELUASKAN bisnes adalah sangat berisiko!

Salah satu punca kita tersilap membuka bisnes baru sebagai perkembangan bisnes yang ada sekarang adalah disebabkan kita tidak tahu bisnes kita sekarang ini dalam kategori apa dan dalam sektor apa.

Contohnya, bisnes kita sekarang adalah kilang menjahit tudung untuk pengedar-pengedar tudung. Kemudian kita membuka kedai pakaian.

Kilang tudung adalah dalam sektor pengeluaran, atau manufacturing. Kedai pakaian adalah dalam sektor peruncitan, atau retail.

Gerai makan dan restoran adalah dalam kategori restoran. Kilang membuat kari dan sambal dalam tin adalah dalam kategori pembuatan, atau manufacturing.

Pembesaran bisnes jenis melompat ke sektor lain macam ini adalah sangat tinggi risikonya!

Ambil sebagai contoh:

Saya menerbitkan buku. Jadi orang nampak buku. Orang juga nampak kilang yang mencetak buku.

Justeru, logik mengatakan bagus sekali saya membuka syarikat percetakan. Dengan itu saya dapat mencetak sendiri buku-buku yang saya terbitkan.

Namun, penerbitan dan percetakan adalah 2 sektor yang berlainan. Ibarat buah manggis dan buah terung. Yang satu buah di jual di pasar buah. Yang satu sayuran di jual di pasar sayuran.

Buku adalah sejenis media. Jadi penerbit buku adalah dalam sektor media.

Disebabkan buku terletak dalam industri media, maka saya melabur dalam pembukaan stesen radio internet.

Dari kaca mata orang biasa, buku dan radio sangat berbeza!

0 comments: